Ajak tidak marah dengan komen makian dan cacian daripada netizen.
Pelawak Ajak Shiro memberitahu dia terbuka dengan kritikan membina daripada netizen selain tidak mengambil kisah dengan komen berbaur makian atau cacian terhadapnya.
Ajak atau Mohd Hanaffi Razak, 33, berkata, jika seorang selebriti itu tidak dapat menerima pandangan dan kritikan adalah lebih baik tidak menceburi bidang seni.
"Yang mana kritikan membina saya akan ambil tapi komen yang makian, cacian dan melibatkan keluarga benda itu saya tak marah dan tak ambil kisah.
"Tambah-tambah pula jadi artis, kalau tak boleh terima teguran, jangan jadi artis," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kritikan segelintir pihak yang membandingkan kredibilitinya mengendalikan program Melodi dan hos terdahulunya, Awal Ashaari, Ajak berkata, perkara itu tidak adil.
Gandingan pertama Ajak dan Janna menerima pelbagai reaksi.
Ini kerana kata Ajak, dia masih baharu mengacarakan Melodi namun memahami apabila ada membandingkannya dengan Awal.
"Bila awak menilai saya yang masih baru dengan Awal yang sudah enam tahun mengendalikan program itu, pada saya tidak adil.
"Orang memang akan membezakan dan membandingkan sebab itu sikap manusia dan kita tak boleh buat semua orang suka kita.
"Tapi bila kita tahu majoriti menyokong itu sudah memadai. Saya tak marah dan tak hirau pun dengan kritikan negatif," ujarnya.
Ajak dan Janna Nick mula mengambil alih program tersebut pada 7 Januari lalu selepas Awal dan AG mengumumkan mengundurkan diri daripada program tersebut.
Dalam perkembangan lain, Ajak kini berentap dengan lima pelawak iaitu Abam Bocey, Achey Bocey, Issey, Mark Adam dan Shuk dalam program Bintang Bersama Bintang (BBB).
Kemeriahan Bintang Bersama Bintang 2018 dengan pelawak terkenal.
Menurutnya, tujuan dia memasuki program tersebut bukan untuk bertanding tetapi hanya untuk berseronok bersama teman-teman rapatnya.
"Saya jarang keluar di kaca televisyen semenjak kerja dengan radio. Kali terakhir pun masa Maharaja Lawak Mega 2017.
"Bila program BBB ini buat konsep baharu. Semuanya artis solo dan ramai kawan rapat yang masuk. Program ini tidak ada penyingkiran dan saya anggap ia bukan untuk bertanding.
"Saya tak nak bertanding. Kita hanya untuk berseronok dan alang-alang saya nak meningkatkan lagi mutu dalam lawak jenaka," katanya.
Program yang menampilkan AG sebagai pengacara itu akan bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam bermula pukul 10 malam setiap Ahad.