Kesibukan bergelar anak seni tidak sesekali membataskan kehidupan aktres popular, Siti Saleha dalam melaksanakan tuntutan rumah tangga.
Malah, selebriti berusia 27 tahun ini mengakui tanggungjawabnya juga berubah selepas bergelar isteri kepada kepada pegawai kerajaan, Ahmad Lutfi Azhar, sejak Julai lalu.
"Paling utama, dah tentu tanggungjawab saya juga berubah dan ia merupakan satu perkara semula jadi.
"Saya rasa, setiap orang yang mahu melangkah ke alam rumah tangga, perlulah bersedia dan tahu apa yang kena buat dan tak boleh main-main," katanya pada Sinar Harian.
Bukan itu sahaja, pelakon filem Terbaik Dari Langit ini juga memperlahankan seketika momentum kerjaya seninya.
"Keutamaan saya, bukan lagi berlakon secara back to back. Saya juga banyak terbabit dalam kerja amal dan menghadiri pelbagai acara bersama suami.
"Namun, semua itu ada hikmah berguna kerana saya dapat meluangkan lebih masa dengan suami," katanya.
Pun begitu, pelakon yang mencipta nama menerusi drama bersiri Nora Elena ini mengakui bertuah apabila keluarga mertuanya sangat bersikap terbuka.
"Buat masa ini, saya menetap bersama ibu dan bapa mertua saya. Lagipun, suami saya anak tunggal.
"Saya bukanlah seorang isteri yang terlalu manja sehingga tak boleh berdikari, tetapi saya juga bukan sempurna dan masih banyak yang perlu diperbaiki.
"Alhamdulillah, ibu dan bapa mertua sangat membantu dalam soal ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Siti Saleha bakal muncul dalam drama bersiri, Mandatori adaptasi novel thriller tulisan Ramlee Awang Murshid.
"Saya suka akan watak dan jalan cerita dalam drama ini kerana ia membawa sesuatu yang berbeza.
"Ini adalah naskhah pertama yang saya bawa dalam genre crime thriller dan ia memang sangat menyeronnokkan kerana saya dapat lari daripada watak yang stereotaip," katanya.
Selain Siti Saleha, drama bersiri enam episod ini turut dibintangi Aeril Zafrel, Iedil Putra, Alvin Wong, Amerul Affendi, Chew Kin Wah dan Vanidah Imran dan bakal menemui penonton menerusi saluran Astro First Eksklusif (480) dengan hanya RM19.10 mulai 14 Disember depan.