Lana Nodin akan buat kemunculan


Ketia usia cahaya mata kesayangan, Gia Quinn McKienzie mencecah dua tahun, pelakon seksi Lana Nodin kini sudah bersedia untuk memeriahkan kembali industri seni tanah air.

Biarpun belum ada sebarang tawaran lakonan diterima, Lana yakin kelibatnya dalam drama-drama masih dirindui peminat setia yang sentiasa mengikuti perkembangannya di media sosial.

"Selepas Gia sudah besar sedikit barulah saya yakin untuk kembali aktif berlakon. Tapi kalau boleh biarlah tawaran yang diterima kelak tidak mengambil masa penggambaran yang panjang memandangkan keluarga masih menjadi keutamaan saya.

"Lagipun ramai peminat yang merindui watak-watak jahat lakonan saya. Kata mereka sukar mencari pelakon baharu yang mampu membawa watak antagonis dengan baik.

"Komen-komen sebeginilah yang membuatkan saya semakin berkobar-kobar untuk membuat 'comeback' bagi melepaskan rindu," kata Lana kepada Sinar Harian.

Selain sibuk mengikuti suaminya, David McKienzie berulang-alik antara Amerika Syarikat dan beberapa negara lain atas tuntutan kerja, Lana turut mengisi masa lapang dengan menulis blog bagi merakamkan perjalanan dan kehidupannya.


"Menerusi blog ini saya menulis banyak perkara seperti tip-tip mengembara, berkongsi resipi, petua membesarkan anak dan banyak lagi. Minat menulis blog berkembang selepas ramai pengikut di Instagram bertanyakan hal-hal yang saya kongsikan.

"Jadi lebih mudah untuk saya menulis blog kerana secara langsung boleh menjadi rujukan kepada mereka," tambah Lana mengenai blognya yang boleh dilawati di laman sesawang steemit.com.

Dalam perkembangan terkini, nama Lana kembali menjadi sebutan apabila dikaitkan dengan pergaduhannya bersama penyanyi veteran, Norshila Amin ketika sama-sama berniaga di Singapura.

Namun, atas nasihat peguam, Lana mengambil langkah tidak memberikan komen mengenai hal ini dan memaklumkan akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat bagi mendedahkan cerita daripada pihaknya.

Post a Comment

Previous Post Next Post