Siti Nurhaliza dapat ilham cipta lagu untuk anak di bilik mandi


Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 37, yang kini sedang hamil enam bulan memberitahu bakal merakamkan sebuah lagu khas buat anak sulungnya yang dijangka lahir pada bulan Mac depan.

Jelas Siti, beliau mula mencipta beberapa melodi lagu teristimewa buat anaknya itu sejak bulan lalu.

“Setakat ini, saya sudah ada tiga melodi yang pada awalnya dicipta secara humming. Tinggal lagi untuk tulis liriknya saja. Bagaimanapun, kita pastinya mahukan yang terbaik dan saya serahkan pada komposer nanti. Meski ada tiga pilihan, saya akan pilih satu saja yang terbaik untuk dirakamkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian. di pelancaran program CTDK-ATION di Great Eastern Mall, Kuala Lumpur semalam.

Ujar Siti lagi, dia mendapat ilham untuk mencipta melodi berkenaan secara spontan ketika berada di bilik mandi.

“Boleh dikatakan lagu ini sebagai hadiah buat baby yang bakal lahir dan ibu bapa lain pun nanti boleh nyanyikan lagu tersebut pada anak mereka juga. Tajuknya masih lagi belum ada. Insya-ALLAH saya akan rakamkannya sebelum bersalin nanti,” katanya.

Bercerita mengenai jantina anak pula, Siti merahsiakannya bagi menghormati permintaan suami.



“Soal umumkan jantina anak, masih belum ada tarikh tertentu. Kalau suami beri lampu hijau daripada suami dan dia okay untuk berkongsi, saya pun okay,” jelas Siti yang turut membayangkan akan membuka akaun instagram untuk anaknya itu.

"Saya okay saya untuk itu (buka Instagram anak). Sebab media sosial adalah medium terbaik untuk rekod segala gambar yang boleh dijadikan sebagai kenangan," akuinya jujur.

Siti ditemui di pelancaran program CTDK-ATION di Great Eastern Mall, Kuala Lumpur semalam.

CTDK-ATION merupakan sebuah program realiti yang bakal memaparkan perjalanan harian rombongan keluarga besar penghibur ini yang bercuti di tiga buah negara iaitu Portugal, Sepanyol dan Dubai.

CTDK-ATION bakal bersiaran selama 10 episod di saluran Astro Ria dan Ria HD mulai 29 Disember depan, jam 9.00 malam.

Post a Comment

Previous Post Next Post