Sabrina Ali senang bersendirian


Lepas dua kali melalui kegagalan rumah tangga, pelakon Sabrina Ali, 37, kini tidak meletakkan perkahwinan sebagai keutamaan dalam hidupnya.

Sebaliknya, jelas pelakon yang bakal tampil dengan filem terbaru Makrifat Cinta ini, dia mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tiga anaknya yang sedang membesar.

Sabrina yang ditemui pada majlis pelancaran sidang media pratonton treler Makrifat Cinta, baru-baru ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Shahrin Mohd Abdul Halim pada Mei 2006 dan berpisah pada pertengahan 2010. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Ariyana yang kini berusia sembilan tahun.

Sabrina kemudian bernikah buat kali kedua dengan Syed Amirul Syed Ahmad pada 2011, namun bercerai pada Ogos 2014. Mereka dikurniakan dua anak lelaki, Syed Aryan Khan, 6, dan Syed Adrian Khan.

Bercerita lanjut mengenai keputusan dibuat, Sabrina berkata, dia tidak mahu mengulangi kesilapan yang berlaku dalam hidupnya dulu.

“Ia mungkin bukan kesilapan tetapi sejujurnya saya fobia untuk bernikah lagi selepas berhadapan dengan perceraian sebanyak dua kali. Saya takut ia akan terjadi lagi buat kali ketiga,” katanya.

Menurut pelakon yang sebelum ini tampil dalam filem pecah panggung, Khurafat dan Munafik, selepas empat tahun hidup sebagai ibu tunggal dan membesarkan anak-anak sendirian, dia berasakan hidup dilalui lebih tenang.



“Bagaimanapun apa yang saya katakan ini membabitkan apa yang sedang saya lalui sekarang. Mungkin akan datang, rencana Allah itu lain dan saya bertemu jodoh.

“Andai perkara itu berlaku saya menerimanya dengan tangan terbuka. Mungkin dengan perkahwinan ketiga nanti situasinya berbeza. Sudah tentu saya sendiri mendoakan perkara yang baik-baik untuk saya dan anak-anak.

“Setakat ini, saya tidak mempunyai teman istimewa. Mungkin hati saya sendiri sudah berat untuk menerima mana-mana lelaki. Kalau setakat kawan-kawan biasa, adalah,” katanya.

Pada masa sama, dia cuba membina masa depan bersama anak-anak dengan menceburi bidang perniagaan. Buat permulaan Sabrina akan tampil dengan pewangi jenama sendiri iaitu Sphere Sabrina.

“Kerjaya dalam lakonan ini tidak menentu, jadi saya bercadang untuk cuba melakukan perkara lain dan saya akan tampil dengan pewangi jenama sendiri yang bakal dilancarkan Januari depan,” katanya.

Bercerita mengenai pembabitannya dalam filem Makrifat Cinta, ternyata Sabrina dan pelakon utama filem itu, Syamsul Yusof tidak boleh dipisahkan. Sebelum ini Sabrina juga membintangi filem arahan dan lakonan Syamsul.

Sabrina berkata, keserasian bekerja dengan sepupunya itu membuatkan dia tidak keberatan untuk menerima tawaran membintangi Makrifat Cinta.

“Seperkara lagi mengapa saya terima tawaran untuk berlakon dalam Makrifat Cinta adalah kerana watak. Buat pertama kalinya saya melakonkan watak guru sepanjang saya menjadi pelakon.

“Memang sejak dulu saya agak cerewet kalau berlakon. Kalau boleh saya tidak mahu membawakan watak sama yang pernah saya jayakan. Bagi saya, watak sebagai guru dalam filem ini agak menarik,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post