Ada bakat tapi penampilan kurang, sukar untuk diterima dalam industri hiburan. Tapi itu dulu, sedikit demi sedikit tanggapan itu mula berubah.
Kalau dulu program realiti mesti yang ada rupa lebih mendapat perhatian walaupun hakikatnya kurang dari segi bakat.
Berbeza dengan mereka yang ada bakat tetapi penampilan kurang. Itu memang biasa hingga ada yang tersingkir awal kerana kuasa undian penonton tidak mampu mempertahankan mereka untuk terus berjuang hingga ke akhir.
Lalu wujud program realiti Bukan Sekadar Rupa tapi hanya mampu bertahan seketika. Bagaimanapun program Gegar Vaganza (GV) mengubah senario ini apabila tahun lalu Azharina diumumkan juara dan terbaru, GV4 yang berakhir Ahad lalu mengangkat Aishah.
Begitu juga dengan AF Megastar mengangkat Idayu yang pernah ditendang awal ketika berjuang pada pentas Akademi Fantasia musim ketiga (AF3).
Itu bezanya jika program realiti memberi kuasa kepada juri profesional untuk membuat pilihan. Lainlah kalau berlaku mainan dalaman apabila penganjur turut campur tangan memilih juara yang mereka inginkan.
Bak kata pepatah, hanya jauhari yang kenal manikam hingga barisan juri, Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang, Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Rosyam Nor meletakkan Aishah di tempat pertama diikuti Liza Hanim, Lan Solo, Hazami, Firman dan Tia Jinbara.
Bagaikan kebetulan pula kerana ikut susunan kemunculan mereka malam itu, Aishah paling akhir sebelum Liza, Lan, Hazami, Firman dan Tia.
Aishah atau Wan Aishah Wan Ariffin, 52, pernah mencipta nama di luar negara apabila menyertai kumpulan Fan Club di New Zealand ketika menyambung pengajian dalam jurusan Sains Politik di Universiti Auckland. Kumpulan itu turut dianggotai Paul Moss (gitar), Malcolm Smith (keyboard), Dave Larsen (dram) dan Glenn Peters (bass).
Lagu Sensation menaikkan namanya sebagai penyanyi wanita pertama Malaysia yang berjaya ke peringkat antarabangsa dan pernah menduduki carta Billboard Hot 100 menerusi lagu Don't Make Me Fall Alone pada 1990.
Ketika di puncak, Aishah pulang ke tanah air pada 1990 begitu juga dengan Paul Moss berhijrah ke Malaysia menjadi penerbit dan penggubah lagu.
Sejak itu, bermulalah kegemilangan Aishah di negara sendiri menghasilkan satu demi satu album hingga diangkat sebagai legenda pop negara dengan deretan lagu-lagu popular dan album terlaris.
Dua lagunya menang di Anugerah Juara Lagu iaitu Janji Manismu ciptaan Adam Ahmad mengalahkan Suci Dalam Debu (Iklim) dan Sejati (Awie) serta Cinta Beralih Arah ciptaan Jari Idris dan lirik Habsah Hassan.
Aishah juga tidak terlepas daripada kontroversi apabila tidak mengundang media ketika perkahwinan pertamanya pada 1992 begitu juga perkahwinan kedua yang dirahsiakan.
Hasil perkahwinan itu, Aishah dikurniakan dua anak lelaki, Armand Azhari (lahir 1993) dan Azhad Ahlami (lahir 1998).
Perkahwinan ketiga dengan Faizal Sazali Zulkifli pada 2010 juga mengundang kontroversi apabila berlangsung secara rahsia di Thailand Selatan.
Ia hanya dimaklumkan kepada umum ketika pelancaran album Anak tetapi berakhir dengan perceraian pada 2012.
Aishah juga beberapa kali berpindah syarikat rakaman bermula dengan BMG (1990-2004), Sony BMG (2004-2008) dan Sony Music Entertainment Malaysia (1990).
Pada 2013, Aishah membabitkan diri dengan politik dan bertanding untuk kerusi Parlimen Jempol pada Pilihan raya umum Malaysia 2013 (PRU13).
Apakah pada PRU14 yang dikatakan bakal diadakan Februari tahun depan, Aishah akan bertanding sekali lagi? Kali ini senarionya berbeza kerana Aishah kembali mengumpul ramai peminat selepas GV4 berbeza ketika PRU13 yang mana ketika itu namanya agak sepi.