Prestasi nyanyian Zaiton Sameon masih baik


Siapa sangka, biarpun sudah hampir 27 tahun tidak mengadakan sebarang persembahan pentas berskala besar, sambutan yang diterima oleh penyanyi Zaiton Sameon bersempena dengan penganjuran Showcase Nostalgia Bersama Zaiton Sameon sangat menggalakkan.

Sejak dibuka penjualan awal Disember lalu, tiket bagi meja VVIP berharga RM2,000 dan meja VIP (RM1,500) bagi persembahan yang akan diadakan di Restoran Rebung, Kuala Lumpur pada 1 Januari depan telah habis dijual.

Bertemu dengan Zaiton di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini, penyanyi berusia 61 tahun itu berkata, dia berasa teruja apabila diberitahu mengenai jualan tiket yang sangat memberangsangkan.

Dalam masa yang sama, Zaiton turut menyifatkan Showcase Nostalgia Bersama Zaiton Sameon sebagai platform bagi membuktikan bahawa dia masih boleh menyanyi dan mengendalikan sebuah persembahan dengan baik.

KOSMO!: Apa khabar Zaiton? Bagaimana dengan kesihatan anda?

Alhamdulillah, saya berada dalam keadaan sihat. Cuma kaki kiri saya yang terseliuh sekitar beberapa bulan lalu masih dalam proses rawatan.

Adakah kecederaan tersebut bakal mengganggu persiapan anda untuk mengadakan persembahan kelak?

Tidak sama sekali. Buat masa ini, kaki saya sedang beransur pulih. Lagipun, persiapan nyanyian yang dilakukan tidak terlalu berat. Jadi, saya yakin ia tidak mengganggu kelancaran persembahan saya kelak.

Apakah perasaan anda apabila dapat bertemu dengan peminat setelah sekian lama tidak menganjurkan persembahan pentas?

Sejujurnya, saya sangat teruja! Khabarnya, peminat dari Singapura juga bakal menyaksikan persembahan saya nanti. Saya berjanji akan memberikan persembahan terbaik untuk mereka.



Anda sering dikritik tidak mampu untuk mengendalikan sebuah persembahan dalam jangka masa lama. Dalam pada itu, anda turut dikatakan tidak mampu menyanyi sejak mengalami kemalangan jalan raya pada 21 Februari 1990. Adakah anda bersedia sepenuhnya untuk berhadapan dengan kritikan?

Saya akui sejak mengalami kemalangan, ramai yang memandang rendah keupayaan saya untuk menyanyi. Ada juga yang mengandaikan daya ingatan saya juga semakin lemah akibat kemalangan tersebut.

Namun, mereka tidak tahu yang saya masih boleh menyanyi dengan baik. Justeru, jika ada yang masih ragu-ragu dengan prestasi saya, sila datang ke showcase dan mereka boleh nilaikan sendiri.

Apakah yang boleh dijangka oleh peminat pada hari persembahan itu nanti?

Menerusi persembahan yang dijangka akan bermula pada pukul 2 petang itu, peminat boleh menyaksikan saya menyanyi lagu-lagu popular seperti Menaruh Harapan, Kabut Serangkai Mawar, Menadah Impian dan sebuah lagu baharu berjudul Rindu Pelukan Bonda yang menampilkan rakan duet Syed Wafa. Selain itu, ada beberapa rakan artis yang akan memeriahkan majlis.

Tiket-tiket paling mahal telah habis dijual. Bagaimanakah pula dengan kategori tiket yang lain?

Tiket berharga RM150 bagi perseorangan masih berbaki sekitar 20 peratus. Bagi yang ingin mendapatkan tiket, boleh berhubung terus dengan pembantu saya, Ika di talian 019-761 1406.

Post a Comment

Previous Post Next Post