Hugh Jackman Senandung The Greatest Showman


Wajah penuh bulu dengan dua bola mata garang barangkali visual paling tepat untuk menggambarkan sifat kelelakian yang ada pada aktor bernama Hugh Jackman.

Biarpun kebanyakan berpendapat imej tersebut tidak sesuai untuk digayakan oleh seorang aktor gred A, namun, ia merupakan pelaris paling berharga yang mungkin tidak ada pada pelakon Hollywood lain.

Disebabkan imej kusut masai itu dan ditambah dengan raut wajah serta ketinggiannya yang mencecah 188 sentimeter, Jackman atau nama lengkapnya, Hugh Michael Jackman mula diberi kepercayaan untuk memegang watak ikonik komik X-Men, Wolverine.

Sepanjang 10 tahun menjayakan watak tersebut menerusi sembilan buah francais filem X-Men, Jackman dikatakan sebagai satu-satunya pelakon yang layak dan mampu untuk membawakan imej mutant tersebut.

Ada juga yang menyifatkan Jackman sudah sebati dengan karakter Wolverine, sehingga menjadikan penampilannya dalam filem lain tidak dipandang serius. Namun, ia bukanlah satu masalah besar buat Jackman untuk lari daripada telahan peminat.

Sebagai contoh, menerusi filem Les Miserables (2013), Jackman membuktikan bahawa dia mampu menjayakan filem bertemakan muzikal tanpa sebarang masalah. Lebih manis, Jackman berjaya merangkul anugerah dalam Golden Globe Awards pada tahun 2013 bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem yang sama.

Terus menguatkan lagi portfolio seninya dengan filem sedemikian, Jackman akan muncul dengan sebuah lagi naskhah muzikal yang diadaptasi daripada kisah benar pemilik sirkus yang cukup berpengaruh, P.T Barnum, yang meninggal dunia pada usia 80 tahun.

Ironi, naskhah yang diberi judul The Greatest Showman dan bakal ditayangkan pada 28 Disember depan itu ditayangkan selepas tujuh bulan legasi sirkus milik Barnum, Barnum & Bailey Circus yang diusahakan sejak tahun 1871 ditutup.

Jackman bercerita tentang watak P.T Barnum yang merupakan pencetus legasi hiburan awam serta pandangannya mengenai naskhah berbentuk muzikal secara keseluruhan.

KOSMO!: Jackman, bolehkan anda cerita tentang watak PT Barnum dalam filem ini?

JACKMAN: Pertama, filem ini bukanlah sebuah adaptasi yang jalan ceritanya seratus peratus sama dengan kisah sebenar. Ia diinspirasikan daripada watak PT Barnum, seorang usahawan yang membangunkan Barnum & Bailey Circus. Bagaimanapun, apa yang kami persembahkan dalam filem ini adalah perkara atau elemen yang ingin ditonton oleh beliau. Barnum merupakan seorang yang berinovasi, dan berjaya mengubah industri hiburan seperti apa yang ada pada hari ini.

Apakah yang menarik tentang watak Barnum yang boleh diaplikasikan dalam hidup anda?

Beliau merupakan antara individu terawal yang memperkenalkan perjudian loteri. Sedikit sejarah mengenai beliau, ketika Barnum bekerja di sebuah kedai serbaneka, dia membeli 500 biji botol kaca dengan harga AS$1 (RM4). Dalam masa sama, dia turut menjual tiket loteri dan menawarkan hadiah misteri kepada pembelinya. Hadiah tersebut termasuklah botol yang baru dibelinya tetapi telah diikat reben sebagai tanda kemenangan. Menurut Barnum, orang awam hanya mahu menang, tetapi tidak terlalu menghiraukan hadiah yang dimenangi. Bagi saya, beliau merupakan seorang yang bijak dan ketika itu, Barnum baru berusia 16 tahun.

Bagaimanakah pula pengalaman bekerja dengan Michelle Williams yang membawakan watak Charity Barnum, isteri kepada PT Barnum?

Dia merupakan seorang aktres yang sangat bagus. Selain pernah terlibat dengan Broadway berjudul Cabaret pada 2014, dia juga sering menjayakan naskhah-naskhah berat untuk layar lebar. Variasi watak yang dijayakannya sebelum ini membuatkan saya yakin bahawa karakter tersebut sangat bersesuaian dengannya.



Anda dan Zac Efron yang memainkan watak Phillip Carlyle dilihat agak rapat di set penggambaran. Bagaimana pertama kali bekerja dengannya dalam sebuah produksi berskala besar?

Kami berkenalan dalam satu tempoh agak lama, iaitu ketika proses latihan yang dijalankan selama sembilan minggu. Sejujurnya, dia sangat fokus ketika bekerja dan tahu apa yang dimahukan. Audiens akan menyukai Zac dan saya katakan ini bukan kerana dia pernah terlibat dengan High School Musical pada tahun2006. Zac benar-benar bagus dan dia sangat profesional.

Selain Efron, anda juga bekerja buat pertama kalinya dengan Zendaya. Adakah dia berkongsi kualiti yang sama dengan Efron ketika sesi penggambaran?

Persembahan Zendaya di hadapan kamera sangat mengagumkan dan jelas sekali, dia bakal menjadi seorang bintang filem yang besar suatu hari nanti. Hal ini kerana, dia mempunyai kebolehan lakonan luar biasa dan kamera sangat menyukainya! Percaya atau tidak, Zendaya menyebabkan saya menjadi popular dalam kalangan rakan-rakan anak perempuan saya, Ava Eliot yang kini berusia 12 tahun.

Rata-rata rakan Ava datang ke set kerana mahu berjumpa dengannya. Saya masih ingat reaksi Ava sewaktu memberitahu saya akan bekerja dengan Zendaya. Ketika itu, mulut Ava ternganga luas tanda tidak percaya. Sejak insiden tersebut, saya mulai faham mengapakah Zendaya begitu digemari oleh kebanyakan remaja perempuan.

Anda berasal daripada pentas teater muzikal dan debut lakonan anda adalah menerusi watak Gaston menerusi pementasan Beauty And The Beast pada 1995. Anda juga terlibat dengan produksi Sunsert Boulevard (1996) dan terbaharu Broadway To Oz (2015). Sebagai pelakon filem dan teater, apakah kualiti yang perlu ada pada sesebuah muzikal?

Pada pendapat saya, semuanya bergantung pada muzik yang bagus. Selain itu, perkembangan watak juga perlu seiring dengan skor atau lagu dalam muzikal tersebut. Jika dilihat kembali, ada beberapa emosi yang tidak boleh dizahirkan dengan kata-kata. Justeru, cara terbaik adalah menerusi muzik dan nyanyian. Muzikal boleh diibaratkan seperti Gunung Everest yang terisi dengan muzik, imej, visual dan juga tarian.

Siapakah yang mencipta lagu untuk filem ini?

Justin dan Benj adalah duo yang bertanggungjawab mencantikkan muzikal ini dari sudut bunyi. Sejujurnya, saya sudah lama menggemari karya mereka, sejak sebelum mereka memenangi Anugerah Akademi untuk filem muzikal La La Land.

Adakah anda berpendapat La La Land memberi momentum berbeza terhadap filem muzikal ini?

Sudah tentu. La La Land membuatkan orang yang tidak menggemari muzikal untuk jatuh cinta dengan genre berkenaan. Jadi, saya mahukan situasi yang serupa dengan The Greatest Showman. Saya mahu penonton berasa gembira dan ceria selepas menonton filem ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post