
Bernikah buat kali keempat, satu impian besar yang ditanam sekuatnya di dalam hati pelawak ini adalah mahu mahligai yang dibina kekal ke akhir hayat. Dia tidak mahu lagi hidup sebagai seorang duda, atau mendirikan rumah tangga yang perlu diakhiri dengan cerita duka.
Sebagai seorang lelaki, kata Tauke Jambu atau nama sebenarnya, Zamratul Amri Zakaria, 40, sudah melalui tiga kali episod berumah tangga yang kurang baik, dia mahu pernikahan dengan Nadia Mohd. Effendi menjadi cinta terakhir buatnya.
Tauke dilihat menadah tangan tanda bersyukur sebaik akad nikah dijalankan dengan hanya sekali lafaz. Dinikahkan oleh Imam dan jurunikah Masjid Al I’itisam, TTDI Jaya, Mohd Fairus Shuaib yang mewakili bapa pengantin perempuan, Mohd. Effendi Mamat, Tauke dan Nadia sah menjadi suami isteri tepat pukul 11.55 pagi di De’ Laman Event Space, Shah Alam, Selangor.
Biarpun di hadapan khalayak Tauke selalu mempamerkan dirinya sebagai seorang pelawak yang tidak pernah kering menggeletek hati peminat dengan humornya, ironi, lelaki itu juga hanya manusia biasa. Sewaktu ditemu bual media, ada rasa sebak yang bertandang di dalam hatinya.
“Alhamdulillah, semuanya lancar dan saya berharap ‘perjalanan’ baharu kami sebagai suami isteri akan dipermudahkan. Saya juga berdoa ikatan perkahwinan kali ini akan kekal hingga ke syurga,” begitu kata Tauke sewaktu ditemui media.
Di sisinya, wanita yang baru berusia 28 tahun itu tersenyum manis. Menikahi Tauke yang sudah menjadi tunangannya sejak Disember 2015 akan membuka ‘pintu’ baharu dalam kehidupannya.
Pada mata Tauke, Nadia adalah wanita yang banyak bersabar dengan karenahnya dan matang. Tanpa berselindung, dia mengaku banyak berkenalan dengan wanita sebelum mengakhirinya dengan ikatan perkahwinan.
“Saya bukan lelaki nakal tetapi suka berkawan dan mencari keserasian. Nadia adalah wanita yang penyabar dan mampu bertahan dengan sikap saya,” kata Tauke.
Pada majlis pernikahan yang dihadiri kaum keluarga serta sekitar 100 orang tetamu, Tauke menyerahkan RM300 sebagai mas kahwin manakala wang hantaran sebanyak RM30,000.
Pengantin perempuan turut menyerahkan tujuh dulang hantaran dan dibalas lima dulang oleh pihak lelaki.