Abam Bocey mahu ramai anak


Benar kata orang, takdir Allah adalah rahsia paling indah dan sempurna yang tidak dapat diduga oleh makhluk bergelar manusia. Ia telah disusun cantik dan menjadi lebih istimewa terutama dalam hal yang melibatkan jodoh perkahwinan.

Begitulah boleh diibaratkan kisah cinta antara pelawak yang terkenal menerusi kumpulan trio lawak Bocey iaitu Abam yang mengakhiri zaman bujang pada tanggal 8 Disember lalu.

Tanpa pernah menduga, wanita yang dikenali sebagai Siti Norhidayah Mohd. Ali menerusi laman sosial Facebook sekitar empat tahun lalu kini menjadi suri dalam taman hati Abam atau nama lengkapnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd. Redzuan.

“Alhamdulillah, dengan sekali lafaz saya sah menjadi suami kepada Siti Norhidayah. Saya juga bersyukur semua urusan kami dipermudahkan. Jika dahulu saya seorang tetapi kini telah berdua dan ia merupakan hari paling bahagia buat saya.

“Biarpun baru tiga hari melangkah ke fasa baharu dalam hidup, namun ia benar-benar membuatkan saya teruja dan terharu,” kata Abam ketika dihubungi Kosmo! pada hari Ahad lalu.

Mengimbau kembali detik-detik bahagia pernikahan mereka, ujar lelaki berusia 29 tahun itu, tepat pada pukul 5.35 petang dia sah menjadi suami kepada wanita yang juga dipanggil Hidayah.

Acara akad nikah disempurnakan oleh Imam Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam, Selangor, Kamal Sahlan yang mewakili bapa pengantin perempuan, Mohd. Ali Bahtin.

Pada majlis berkenaan, pasangan merpati dua sejoli itu menarik perhatian dengan mengenakan persalinan minimalis berwarna putih. Abam menyerahkan mas kahwin sebanyak RM3,000, wang hantaran berjumlah RM13,888 serta sembilan dulang hantaran berbalas 11 dulang oleh pengantin perempuan.

Dalam pada itu, Hidayah turut menerima seutas rantai leher sebagai hadiah perkahwinan. Tidak ketinggalan, sepanjang majlis berlangsung, Abam setia ditemani dua orang rakan baiknya yang juga merupakan anggota kumpulan Bocey iaitu Fad dan Achey.


Memahami

Sengaja diajak menyelak kembali lembaran detik perkenalan antara Abam dan isterinya, lelaki itu tertawa besar.

Biarpun dalam kepenatan setelah melayan sekitar 5,000 peminat dan penduduk setempat yang hadir memeriahkan majlis resepsi sebelah perempuan di Taman Air Manis, Sabak Bernam sehari selepas majlis akad nikah berlangsung, kongsi Abam, segalanya bermula menerusi perkenalan di laman Facebook.

“Setiap hari saya mendapat banyak permintaan untuk menjadi rakan di laman Facebook. Seperti biasa saya akan menerima sahaja permintaan mereka tanpa memilih.

“Saya juga tidak sedar bila Hidayah menjadi rakan di Facebook tetapi disebabkan kerap bertegur sapa, hal itu membuatkan kami semakin selesa berkawan,” ceritanya.

Tambah pemenang kategori Pelawak Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 itu, sesi perkenalan antara mereka di Facebook berlangsung selama setahun sebelum kedua-duanya yakin untuk saling bertukar nombor telefon dan berhubung melalui aplikasi WhatsApp.

Selepas itu, pada bulan September lalu Abam menghantar rombongan merisik Hidayah, 26, yang merupakan seorang kerani akaun syarikat swasta di Kuala Lumpur.

“Dalam tempoh berkenaan, saya akui sangat jarang bertemu dengan Hidayah. Hubungan kami lebih banyak terjalin menerusi alam maya sehingga saya menyatakan isi hati untuk menyunting dirinya sebagai isteri pada awal tahun ini.

“Sejujurnya sikap isteri yang begitu memahami kerjaya saya, tidak kuat cemburu dan tidak banyak kerenah membuatkan saya terpikat kepadanya,” kongsi Abam yang mengikat tali pertunangan pada pagi sebelum akad nikah berlangsung.

Anak

Dalam kegembiraan bergelar suami, pelakon drama rantaian Saka Sisters itu turut ditebak soal kritikan netizen yang sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan kepada isterinya.

Sebagai seorang lelaki yang memiliki tubuh badan gempal, Hidayah dikatakan menerima Abam hanya kerana populariti lelaki itu sebagai seorang pelawak terkenal. Hidayah juga didakwa memilih Abam kerana lelaki itu berharta.

“Saya tidak kisah dengan kata-kata netizen kerana kami berkenalan sejak sebelum saya menyertai rancangan realiti lawak Bintang Mencari Bintang di TV3 pada tahun 2013,” tuturnya ringkas.

Terus melanjutkan bicara, seperti pasangan lain, Abam turut tidak ketinggalan disoal tentang keinginan untuk mendapatkan cahaya mata sebagai tanda cinta antara mereka.

Tidak meletakkan sebarang jumlah, ujarnya, jika boleh dia dan Hidayah mahu memiliki anak yang ramai. Selain itu, mereka juga belum memikirkan lokasi yang sesuai sebagai lokasi bulan madu.

“Apabila orang bertanya tentang anak, selagi boleh pastinya saya inginkan anak yang ramai kerana ia pasti membuatkan keluarga lebih meriah.

“Buat masa ini, saya juga belum memikirkan lokasi untuk berbulan madu kerana tidak mengambil cuti lama. Selepas ini, kami akan memulakan kehidupan sebagai suami isteri seperti pasangan lain dan bekerja seperti biasa,” katanya yang begitu menggemari sup tulang masakan isterinya.

Sebelum mengakhiri perbualan, kongsi Abam, majlis menyambut menantu akan diadakan pada 20 Januari depan. Bagaimanapun, lokasinya belum ditentukan lagi.

“Jika tiada sebarang masalah, kemungkinan besar majlis resepsi bagi menyambut menantu akan diadakan di rumah saya yang bertempat di Gombak, Kuala Lumpur.

“Sebarang perubahan akan diberitahu kemudian,” katanya.

Kemudian, jauh di corong telefon, dalam nada ceria, Abam menitipkan sesuatu. Ringkas, namun ia adalah harapan paling besar yang ditanam oleh seorang ‘penghulu’ dalam kampung yang dibinanya.

“Doakan agar perkahwinan saya ini diberkati dan berkekalan sehingga akhir hayat,” tutupnya mesra.

Tempoh empat tahun berkenalan mengenali hati budi secara dalam diam, akhirnya tanggal 8 Disember lalu menjadi tarikh bermakna saksi penyatuan cinta pelawak terkenal, Abam dan isterinya, Siti Norhidayah.

Post a Comment

Previous Post Next Post