
Sekitar awal bulan November lalu, nama Nadzmi Adhwa menjadi bualan apabila dia ditahan reman oleh pihak polis di sebuah stesen minyak di Setiawangsa, Kuala Lumpur bersama seorang rakan dan adiknya atas tuduhan memiliki ganja.
Menerusi kenyataan pihak polis, bahan terlarang berkenaan disembunyikan di dalam sebuah tin kecil dan disorokkan di bawah tempat duduk pemandu dalam keretanya.
Biarpun penahanan tersebut berlaku kurang daripada tempoh 24 jam, namun ujian air kencing menunjukkan bahawa pelakon drama bersiri Hati Perempuan itu positif dadah.
Adhwa atau nama sebenarnya, Nadzmi Adhwa Nor Adzmi sebelum ini pernah memberikan penjelasan tentang kes penahanannya. Dia berkata, dadah berkenaan milik rakannya dan mengakui berada dalam situasi yang salah ketika kejadian berlaku.
Bagaimanapun, lelaki berusia 25 tahun itu tidak menjelaskan secara lanjut mengenai ujian air kencingnya dan impak yang diterima selepas namanya sedikit kotor apabila dikaitkan dengan najis dadah.
Bertemu dengan Adhwa pada majlis sidang akhbar khas yang diadakan di pejabat syarikat pengurusannya, MindOrder di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, pengacara Jalan-Jalan Makan Angin itu akhirnya mengambil peluang untuk menceritakan hal sebenar.
Buat kali yang kedua, dia menafikan dirinya pernah terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Jelas Adhwa, sepanjang hayatnya, dia tidak pernah menyentuh bahan terlarang tersebut, apatah lagi mempunyai keinginan mahu mencuba.
Selain itu, Adhwa turut mengakui bahawa syarikat pengurusannya terpaksa menanggung kerugian sehingga RM80,000 disebabkan beberapa projek yang dibatalkan setelah namanya dikaitkan dengan kes tersebut.
KOSMO!: Sebelum ini Adhwa pernah menjelaskan bahawa anda terperangkap ketika penahanan pihak berkuasa dilakukan ke atas anda dan sahabat. Boleh kongsikan cerita sebenar bagaimanakah penahanan tersebut berlaku?
ADHWA: Penangkapan tersebut berlaku sekitar pukul 1.30 pagi sewaktu saya sedang menunggu wakil pihak pengurusan untuk mengambil barang. Ketika itu, rakan saya dan adik ada di dalam kereta. Secara tiba-tiba, saya dikejutkan oleh kedatangan pihak polis dan setelah kereta diperiksa, mereka menemui ganja di bawah tempat duduk.
Adakah ganja tersebut milik anda?
Tidak sama sekali. Ia milik rakan saya yang turut sama berada dalam kereta. Saya sendiri tidak tahu bagaimanakah bahan terlarang tersebut berada dalam kenderaan saya.
Jadi, apakah penjelasan anda selepas ujian air kencing yang dijalankan terhadap anda positif?
Barangkali ada salah faham pada laporan tersebut. Saya bersih daripada dadah dan tidak pernah cuba untuk terlibat dengannya. Cuma, saya berada dalam situasi yang salah dengan individu yang tidak sepatutnya.
Apakah reaksi kedua ibu bapa anda apabila mendapat tahu tentang perkara ini?
Sudah tentu mereka sedih dengan perkara yang telah berlaku. Saya berasa bersyukur kerana mereka masih menerima saya seadanya selepas mengetahui perkara sebenar.
Bagaimanapun, mereka kini sedikit tegas dengan saya selepas insiden tersebut.
Disebabkan saya masih tinggal sebumbung dengan mereka, saya perlu pulang ke rumah sebelum pukul 10 malam jika tidak terlibat dengan sesi penggambaran. Selain itu, bapa akan menghantar dan menjemput pulang setiap kali keluar ke mana-mana.
Tidakkah anda sedar rutin tersebut berlaku disebabkan kepercayaan mereka yang semakin pudar terhadap anda?
Ya, saya sedar kebebasan telah ditarik balik. Namun, perkara telah berlaku dan saya telah berjanji kepada mereka untuk tidak mengulanginya lagi.
Adakah penahanan tersebut memberi impak terhadap kerjaya anda sebagai pelakon?
Seperti yang dimaklumkan oleh pihak pengurusan, beberapa kontrak lakonan dan pelantikan duta telah dibatalkan selepas nama saya dikaitkan dalam kes tempoh hari. Pihak syarikat kerugian sekitar RM80,000 disebabkan pembatalan kontrak tersebut.
Bagaimanakah pula anda mahu mengembalikan kepercayaan penerbit dan pengarah selepas ini?
Apa yang saya harapkan, mereka melihat kualiti kerja dan disiplin saya sebagai pelakon. Sebagai seorang yang masih baharu, saya sendiri perlu memperbaiki dan menjaga diri supaya perkara sebegini tidak berulang. Sejujurnya, cukuplah sekali saya lalui kontroversi seperti ini.