Jodoh bukan sesuatu yang mudah untuk dijangka. Meski pada awalnya berusaha mengikat janji setia sehingga hujung nyawa, jika bukan dengan izin Tuhan ia akan terlerai juga.
Namun itu tidak menjadi penamat kepada sebuah kisah cinta. Apa yang diambil, ia akan dipulangkan dengan sesuatu yang jauh lebih berharga. Itu janji Tuhan kepada mereka yang pernah berdepan dengan kesulitan dan kesukaran dalam hidup.
Itu mungkin kata-kata yang dapat digambarkan kepada perjalanan kisah peribadi penyanyi Indah Ruhaila sebelum selamat bergelar isteri kepada pilihan hatinya dalam satu majlis akad nikah yang diadakan pada Ahad lalu.
Dengan sekali lafaz, Indah selamat bergelar isteri kepada Ahmad Shariff Ahmad Taufik, 36, tepat pukul 9.30 pagi dalam sebuah majlis yang diadakan secara tertutup di Bizmilla Wedding Center, Subang Jaya, Selangor.
Sekitar Jun lalu, Indah akhirnya meleraikan teka-teki tentang pertunangannya bersama jejaka yang dikenali sebagai Mr. R selepas dia mengumumkan ikatan itu terputus sejak Mac lalu.
Bagaimanapun, Indah tidak mendedahkan mengapa ikatan pertunangan yang dibina selama empat tahun itu berakhir di tengah jalan.
Enggan menoleh ke belakang dengan cerita duka semalam, Indah mahu melakar kisah bahagia dalam catatan hidupnya bersama lelaki yang telah dijodohkan untuknya oleh Tuhan.
Bahagia
Lelaki itu ialah Shariff, yang hanya dikenalinya selama tempoh enam bulan sebelum mengambil keputusan bernikah dengannya.
“Shariff adalah lelaki terbaik yang hadir dalam hidup saya. Dia tidak sempurna tetapi matang dan pandai melakukan keputusan dalam hidup.
“Dia ada perkara yang tidak ada pada diri saya. Kriteria itulah yang membuatkan saya menerima dia sebagai suami. Pendek kata, kami melengkapi kekurangan masing-masing,” ujar pemilik nama lengkap Siti Ruhailah Hussein itu ceria.
Bukan niat mahu berahsia tentang hari bahagianya apabila majlis dilangsungkan secara tertutup dan dihadiri kaum keluarga serta teman rapatnya sahaja, Indah menjelaskan ia dilakukan atas permintaan kedua-dua belah keluarga.
“Tiada niat untuk menyembunyikan hari bahagia kami, tetapi semua ini dilakukan demi menghormati permintaan keluarga kedua-dua belah pihak saya dan suami.
“Saya harap semua memahami keputusan ini dan terima kasih kerana terus menyokong karier seni saya,” ujarnya yang merupakan penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia 2013 (AF2013).
Biarpun tidak segah majlis perkahwinan selebriti lain, namun Indah tetap bersyukur kerana segala perancangan untuk mendirikan rumah tangga berjalan lancar.
Bahagia namun dalam masa sama gementar untuk melalui fasa perubahan status sebagai seorang isteri, apa yang diharapkan penyanyi lagu Percayalah itu hanya sebuah perkahwinan bahagia yang berkekalan hingga ke syurga.
“Saya maklum dunia perkahwinan bukannya menjanjikan perkara yang indah-indah sahaja. Saya tetap berharap kami dapat melaluinya dengan kuat untuk mendepani hari depan yang mencabar.
“Tanggungjawab seorang isteri sangat besar. Cuma saya kena pandai jaga diri, status dan juga agama agar dapat menjaga nama baik suami dan keluarga,” tuturnya.
Berbeza dengan pasangan mempelai lain yang memilih untuk tampil gah dengan busana mewah dan majlis meriah, sebaliknya berlaku kepada Indah apabila dia mengambil keputusan tampil minimalis dengan menyarung sehelai busana polos berwarna putih.
Tanpa dihiasi bunga-bunga kerawang atau batu permata sarat yang lazimnya menjadi seni pada mana-mana baju pengantin, busana yang direka oleh pereka Seth & Luna itu menjadi perhatian peminat.
Ditanya tentang perkara itu, Indah berkata, ia bersesuaian dengan peribadi dirinya yang gemar bersederhana dalam apa jua perkara.
“Saya memang seorang yang sederhana dan tidak suka sesuatu yang sarat. Kalau orang tanya apa perkahwinan impian, inilah yang diimpikan. Sederhana dari semua aspek termasuklah busana dan tanpa memakai sebarang perhiasan seperti tiara dan aksesori lain.
“Walaupun ringkas tetapi ia tetap nampak menyerlah kerana rona fabrik yang dipilih adalah putih,” jelasnya yang masih belum memilih lokasi untuk berbulan madu pada Januari tahun depan.
Karier
Berbicara tentang perjalanan kariernya selepas bergelar isteri, Indah bersyukur kerana suami seorang yang sangat memahami dan sentiasa menyokong kerjaya seninya.
Tetap aktif sebagai penyanyi, Indah bakal muncul dengan single terbaharu ciptaan sepenuhnya oleh Hael Husaini.
Berkongsi lanjut, penyanyi berusia 30 tahun itu berkata, single keempat tersebut berbeza daripada lagu terdahulu kerana ia bergenra rancak.
“Insya-Allah dalam masa terdekat single keempat saya akan dikeluarkan. Kalau tiga single terdahulu semuanya balada, kali ini saya mahu keluar dari zon selesa dan mencuba perkara baharu kerana bidang muzik sangat luas untuk diteroka.
“Semua orang tahu saya boleh menyanyi lagu balada, tetapi ironinya jiwa saya memang ke arah genre rancak. Selepas tamat AF, peminat melihat saya banyak keluar dengan lagu rancak dan secara tidak langsung ia sudah sinonim dengan saya,” katanya.
Selain itu, Indah juga tidak menolak untuk tampil dengan lagu duet pada masa akan datang. Cuma apa yang ada dalam fikirannya kini adalah impian menghasilkan lagu bersama kumpulan The Lomas yang dianggotainya bersama Amira Othman, Nabila Razali dan Aisyah Aziz.
“Secara jujurnya, saya suka tampil bersama penyanyi berkumpulan kerana dari situ akan timbul pelbagai idea dan boleh buat macam-macam untuk kembangkan muzik. Cuma buat masa ini semuanya sedang sibuk dengan jadual masing-masing,” ujar Indah.