Wan, Mell 
Matius mahu lima anak


Merancang untuk berbulan madu ke New Zealand, bagaimanapun hasrat tersebut perlu dilupakan seketika kerana Wan dan Mell terikat dengan komitmen bersama kumpulan masing-masing yang bakal muncul dengan material baharu.

Pantas waktu bergulir buat pasangan yang baru sebulan bergelar suami isteri, Mohammad Safwan Hasnan dan vokalis kumpulan Sakura Band, Melly Matius. Dalam tempoh tersebut, banyak perkara baharu yang dipelajari oleh dua anak seni itu.

Mohammad Safwan atau Wan yang merupakan gitaris kumpulan 6ixth Sense semakin mengerti tanggungjawab yang dipikulnya sebagai seorang suami. Katanya, dia juga banyak belajar daripada isterinya, Melly atau mesra disapa sebagai Mell.

“Banyak perbezaan yang berlaku sejak berkahwin. Sebelum kahwin, kita fikir pasal diri sendiri sahaja. Sekarang, ingin buat apa-apa perkara, kena berbincang dulu.

“Misalnya, kalau ingin cuci baju, kena cuci baju isteri sekali,” ujar Wan berseloroh ketika ditemui Kosmo! pada majlis resepsi perkahwinannya yang berlangsung di Bangi Golf Resort, baru-baru ini.

Lebih besar, dia juga harus membimbing isteri yang merupakan seorang mualaf dan Wan bagaimanapun bersyukur kerana Mell amat penyabar dan tidak segan bertanya.

“Selepas kahwin, Mell amat rajin untuk mendalami agama. Contohnya, kadang-kadang saya sendiri belum solat, dia sudah solat terlebih dahulu. Banyak lagi perkara yang perlu dipelajarinya, namun perlahan-lahan dia menjadi Muslim yang lebih baik.

“Dari segi hal rumah tangga, dia suka belajar memasak daripada ibu. Masakannya yang paling saya suka ialah ayam masak kicap. Banyak perubahan, kalau dahulu, kentang yang dimasak keras, sekarang sudah empuk dan sedap,” katanya lagi sambil ketawa.

Sementara itu, tutur Mell, dia banyak meringankan mulut andai kurang pasti tentang sesuatu perkara berkaitan Islam.

“Mell sendiri lebih suka bertanya kepada orang yang arif daripada merujuk di internet. Banyak lagi yang saya tidak tahu tentang Islam. Macam solat pun, saya masih belajar dan memperbaiki diri.

“Suami banyak memberi bimbingan dan sokongan dalam hal itu. Dia tidak garang namun amat tegas. Lebih seronok lagi, ibu mertua saya merupakan seorang ustazah dan andai tidak tahu tentang sesuatu perkara, dia antara orang pertama yang menjadi rujukan saya,” terang Mell yang popular dengan lagu Polaroid.

Diusik pertanyaan tentang imejnya selepas bergelar isteri dan saudara baharu, Mell tidak mahu tergopoh-gopoh mengubah imejnya namun berjanji akan menjaga batas sebaik mungkin.

“Sudah menjadi isteri, banyak perkara yang harus dipertimbangkan. Perlahan-lahan saya berubah ke arah yang lebih baik,” jelas Mell, 29.



Bulan madu, anak

Mengenai perancangan berbulan madu, Wan dan Mell ingin berbulan madu di New Zealand, namun masih terikat dengan kekangan kerja sehingga awal tahun depan.

“Kumpulan 6ixth Sense dan Sakura Band dalam perancangan menyiapkan album terbaharu. Kalau sudah punya masa terluang, kami ingin berbulan madu seperti pasangan suami isteri lain,” jelas Wan.

Mengulas tentang perancangan cahaya mata, Wan sudah merancang untuk mempunyai lima orang anak.

“Saya sudah bincang dengan Mell, saya ingin lima orang anak. Bagaimanapun, kita memang tidak tahu soal rezeki. Kalau diperkenankan rezeki untuk dapat anak awal, kami tidak akan menolak.

“Kalau ada rezeki, ada. Bagaimanapun, sampai tahun 2019, Mell ada beritahu kepada saya yang dia ingin fokus soal kerjaya dulu. Tengoklah bagaimana rezeki yang Allah bagi,” tutur Wan lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post