Media Sosial - Faizal mengakui kepentingan media sosial pada masa kini, tetapi berasa kurang bersetuju dengan cara penerbit mengambil pelakon kerana melihat pengikut yang ramai.
Pada usia 50 tahun dan selepas lebih tiga dekad watak ikonik iaitu Roy dalam filem Gila-Gila Remaja diperkenalkan kepada khalayak, siapa sangka anak seni yang melakonkan karakter tersebut, Faizal Hussein masih lagi setia mengatur langkah sebagai aktor bahkan memegang watak peneraju dalam filem tempatan.
Datanglah berapa ramai aktor masa kini yang bermodalkan wajah tampan atau sosok sasa, pemilik nama sebenarnya, Mohd. Faizal Hussin, itu tetap mempunyai penggemarnya yang tersendiri. Hal itu adalah kerana beliau mempunyai karisma dan kualiti yang cukup luar biasa sebagai seorang pelaku seni.
Tempoh 42 tahun mengabdikan diri sebagai seorang pelakon, Faizal mempunyai pegangan dan resipi tersendiri untuk terus kekal menjalar berkongsi bakat kepada peminat.
“Saya tidak pernah puas berlakon. Pada usia sekarang, banyak lagi watak yang saya dambakan belum menjadi kenyataan,” ujarnya yang mula berlakon filem menerusi karya berjudul Darah Panglima Merdeka terbitan Film Productions pada tahun 1972.
Muncul dengan filem ke-40 lakonannya berjudul KL Wangan arahan Pekin Ibrahim yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 21 Disember lalu, beliau teruja bercerita tentang pengalamannya masih memegang watak utama pada usia memasuki 50-an.
Kata lelaki kelahiran Gombak, Selangor itu, beliau sentiasa mengamalkan sikap sabar dan menghindari perasaan tamak sewaktu menerima tawaran lakonan.
“Ramai pelakon muda sekarang amat bersikap mudah ‘terlena’ dengan kejayaan yang mereka kecapi. Bukan salah mereka tapi saya lihat, apabila terlalu sibuk berlakon, mereka lupa diri dan kualiti memang tiada.
“Macam saya sendiri, sejak mula berlakon lebih 40 tahun lalu, saya hanya akan mengambil kerja berlakon mengikut kemampuan. Satu kerja dalam masa, itu yang saya amalkan sehingga hari ini,” getus bapa kepada Fazrick Faizal dan Fazryn Faizal itu.
Mengukuhkan pegangannya itu, Faizal lebih menitikberatkan soal kualiti lakonan berbanding populariti atau penampilan luaran yang menjadi ‘kegilaan’ muka-muka baharu zaman sekarang.
“Seperkara lagi, saya perasan sekarang pelakon-pelakon muda masa kini sibuk membesarkan otot mereka. Mungkin pada hemat mereka, itu akan membuatkan mereka semakin laku pada mata produser atau macam mana.
“Bagi saya, apa yang penting adalah kekuatan dalaman seseorang pelakon. Orang kata, kuatkan dahulu ‘kejantanan’ dalaman. Bukan berniat mendabik dada, saya tiada otot besar, tapi saya sudah berlakon lebih 40 filem dan terus melahirkan kualiti lakonan yang baik.
“Lagipun, di Malaysia heroinnya bukan sosok tinggi-tinggi seperti di Hollywood. Kalau heronya sudah terlalu sado, ingin mencari heroin pun menjadi satu masalah. Senang cerita, lagi natural, lagi bagus,” jelas Faizal.
Memegang watak sebagai Rudi dalam KL Wangan, beliau berkata banyak perkara yang terpaksa dikorbankan dan tidak kisah andai orang melabelnya sebagai ‘hero tua’.
“Pada usia sekarang, saya masih lagi mencari rezeki dengan berlakon siang dan malam. Selama dua bulan saya fokus berlakon dalam filem ini. Terima kasih kepada Pekin yang masih percaya kepada bakat lakonan saya.
“Orang mahu kritik, kritiklah. Walaupun saya tua, ketahanan fizikal sewaktu dalam set penggambaran masih lebih hebat daripada segelintir pelakon muda. Kebanyakan masa saya tidak perlu bantuan pelagak aksi untuk melakukan babak aksi. Lebih baik saya buat sendiri,” jelas pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) menerusi filem Bunohon itu.
Media sosial
Mengakui kepentingan bergerak selari dengan arus kemodenan khususnya media sosial, Faizal mempunyai pendapatnya tersendiri berkenaan media sosial.
Pada hematnya, suasana dunia hiburan yang banyak ditampung kuasa media sosial dalam kalangan pelaku seni hari ini boleh memberi impak positif, tetapi tidak kurang membunuh periuk nasi mereka yang terlalu obses terhadap penggunaan medium tersebut.
“Bagi saya, media sosial seperti Instagram adalah untuk tujuan publisiti seseorang artis. Misalnya kalau ada drama atau filem terbaharu, tidak salah diuar-uarkan melalui medium itu.
“Kalau sudah hari-hari berkongsi gambar atau video, orang pun mula muak. Satu perkara saya paling tidak suka apabila produksi filem atau drama memilih pelakon berdasarkan bilangan pengikut di Instagram,” kata Faizal yang bakal muncul dengan filem berjudul Kalla arahan Wan Hasliza.
Dijentik persoalan tentang kesediaan dirinya untuk mengarah filem, Faizal mengakui mempunyai keinginan untuk ke arah tersebut namun masih belum bersedia.
“Biarlah orang yang benar-benar layak duduk di bangku kerusi pengarah. Saya ada keinginan namun, rasa belum layak untuk bergelar pengarah.
Buat masa sekarang, saya masih selesa bekerja di depan kamera dan itu akan saya lakukan selagi masih mempunyai kudrat dalam bidang ini. Insya-Allah,” kata Faizal menutup bicara.
Lebih 40 tahun bergelumang dalam bidang perfileman dan drama tempatan, Faizal Hussein melontarkan pandangan kritisnya tentang senario dunia lakonan masa kini yang kian berkembang namun dibatasi beberapa perkara yang kurang dipersetujuinya.