Definisi Cinta Ferhad


Ferhad bersama penulis lirik single terbaharunya Irma.

Tersingkir awal daripada program Gegar Vaganza musim keempat (GV4), bukan penghalang buat penyanyi kelahiran Singapura, Ferhad untuk terus menyumbang suara dalam lapangan seni muzik tempatan.

Bahkan, lelaki berusia 46 tahun itu dalam perancangan membikin single terbaharu berjudul Definisi Cinta yang dijangka dilancarkan pada Februari tahun hadapan.

Pelantun lagu Kasih Berubah itu memberitahu program GV4 merupakan platform terbaik dalam meraih publisiti apabila sudah lama tidak mengeluarkan album dan single terbaharu.

Biarpun, berasa sedikit hampa apabila menjadi peserta pertama tersingkir dalam program berkenaan, Ferhad memberitahu mungkin ia bukan rezeki buat dirinya.

“Saya sedikit terkejut apabila terdapat penyingkiran dalam minggu berkenaan. Ia berikutan pada mulanya, dimaklumkan tiada penyingkiran.

“Sudah tentu terdapat perasaan kecewa apabila sudah memberikan yang terbaik tetapi terpaksa meninggalkan program itu pada minggu kedua,” ujarnya ketika ditemui di Studio Utusan baru-baru ini.

Ferhad atau pemilik nama sebenar, Ferhad Iberhim itu memberitahu dia sama sekali tidak merajuk apabila tersingkir awal daripada program berkenaan.



Single baharu

“Sebelum menyertai program berkenaan, saya masih lagi aktif dalam dunia muzik tanah air. Begitupun, saya lebih banyak terlibat dalam memenuhi undangan majlis-majlis korporat dan makan malam.

“Selain masih melontarkan suara untuk khalayak umum, saya juga menjadi pengacara,” katanya.

Diajak berbicara mengenai single baharu berjudul Definisi Cinta, kata Ferhad menerusi karya tersebut dia pertama kali menggunakan khidmat komposer lain.

“Ini merupakan kali pertama saya menggunakan khidmat komposer untuk menggubah lagu. Sebelum ini, saya akan menggubah sendiri lagu tetapi berlainan kali ini kerana ingin memberi peluang kepada komposer baharu.

“Saya tertarik dengan gubahan melodi dan lirik lagu berkenaan. Lagu berjudul Definisi Cinta ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh seorang rakan, Irma Shida Abu Samah,” katanya.

Kali terakhir bapa kepada dua cahaya mata itu mengeluarkan lagu adalah pada tahun 2014 berjudul Selamat Tinggal untuk program Maharaja Lawak Mega.

Dia memberitahu artis perlu memiliki single untuk terus relevan dalam industri terutama apabila platform media sosial semakin diguna pakai dalam mempromosi hasil-hasil karya.

“Saya berasa ini merupakan masa yang sesuai untuk menghasilkan single baharu. Sebagai penyanyi, kita perlu menerima hakikat dan perubahan bahawa media baharu banyak memainkan peranan dalam memperkenalkan sesuatu produk.

“Saya berharap peminat sedia ada dan baharu dapat menerima single terbaharu kelak kerana akan memberikan yang terbaik dalam pembikinannya,” ujarnya.

Sementara itu, penggubah lagu Definisi Cinta, Irma Shida memberitahu dia selesa apabila dapat bekerjasama bersama Ferhad.

“Meskipun saya yang menggubah dan menulis lirik lagu berkenaan tetapi artis memainkan peranan penting dalam menyampaikan cerita dan memberi jiwa kepada karya ini.

“Pada awal pembikinan lagu ini, saya telah membayangkan Ferhad sebagai penyanyinya. Disebabkan itu, saya telah memberi rekod awal kepadanya sama ada dia berminat untuk menyanyikan lagu Definisi Cinta tersebut,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post