Didie Alias rindu 
jadi penyeri acara


Usia bukan penghalang buat Didie untuk menabur bakti sebagai pengacara majlis.

Lama rasanya tidak melihat aksi anak seni bernama Didie Alias menjadi pengacara program-program hiburan berskala besar. Bertemu dengan Didie atau nama sebenarnya, Fadzilah Mohd. Ali pada sidang akhbar Lefest Grand Finale di Flora Terrace, Kuala Lumpur baru-baru ini, banyak perkara yang dibicarakan wanita berusia 45 tahun itu.

Katanya, dia sangat merindui untuk menjadi ‘penyeri’ sebagai pengacara dalam majlis-majlis berprestij seperti Anugerah Planet Muzik dan Anugerah Bintang Popular.

“Memang terpancul perasaan rindu, namun peluangnya tidak ada. Mungkin kerana saya sudah berusia dan penganjur acara-acara besar lebih memberi tumpuan kepada bakat-bakat baharu sekarang. Bagaimanapun, komitmen saya tidak pernah berubah walaupun sudah semakin berusia.

“Saya cuma sedikit hairan mengapa tidak lagi dijemput untuk menjadi pengacara. Secara peribadi, saya merasakan pengacara yang ada sekarang, kalau setakat ‘tercegat’ atas pentas baca skrip baik tidak payah. Mengapa tidak, gabungkan pengacara lama dan baharu dalam satu majlis, itu lagi bagus,” ujar Didie yang memuji komitmen dan bakat beberapa pengacara muda seperti Jihan Muse, Sherry Alhadad dan Zulin Aziz.


Nenek

Berkongsi lanjut perkembangan terkini, Didie mendedahkan dirinya bakal menjadi seorang nenek tidak lama lagi apabila anak sulungnya, Dhaniyah kini hamil.

“Saya terkejut kerana tidak sangka akan menjadi nenek pada usia sekarang. Mereka (keluarga) pun memberi kejutan kepada saya sewaktu memberitahu bahawa saya akan menjadi nenek. Budak-budak zaman sekarang memang suka memberi kejutan,” kata pelakon filem aksi Boss itu.

Didie menjelaskan walaupun usia semakin mencemburui dirinya dan bakal bergelar nenek tidak lama lagi, dia tetap akan mengayuh langkah sebagai anak seni dalam bidang lakonan dan pengacara.

“Kalau orang tanya, adakah saya akan terus menggayakan fesyen pelik-pelik andai sudah menjadi nenek. Jawapan saya mudah, selagi diberikan kudrat, saya tetap akan buat apa yang saya mampu buat.

“Mungkin fesyen saya selepas ini meletakkan cucu di atas kepala (ketawa). Siapa tahu. Insya-Allah, Dhaniyah akan bersalin sekitar Mac tahun depan, ” terang Didie sambil berseloroh.

Grand Finale Lefestour

Bercakap mengenai Lefestour, Didie memberitahu ia adalah acara penutup bagi 2017 selepas menjelajah ke 10 buah negeri di seluruh Malaysia sepanjang tahun ini.

Menariknya kata Didie, selain menampilkan lebih 200 usahawan online yang menawarkan pelbagai barangan, pihaknya turut menjemput seramai 30 selebriti bagi memeriahkan acara.

“Sebagai acara penutup, terdapat kelainan dalam Lefestour yang terakhir ini.

“Kami akan menganjurkan sebuah pertunjukan fesyen dalam dewan yang terpanjang menerusi koleksi pereka fesyen Azhar Zainal,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia memberitahu penampilan barisan model terkenal juga akan memperagakan fesyen di pentas.

Dia menambah, antaranya termasuk Nasha Aziz, Amber Chia, Tini dan penampilan istimewa Datuk Rosyam Nor.

“Lebih menarik, pakaian yang diperagakan nanti akan dilelong kepada pelanggan-pelanggan bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada badan kebajikan,” tambahnya.

Sementara itu, Didie yang cukup popular memadankan fesyen futuristik yang mendapat inspirasi daripada penyanyi pop Lady Gaga berkata, pihaknya juga merancang untuk memberi penghargaan kepada selebriti kelahiran negeri Melaka pada acara itu sebagai menghargai sumbangan mereka kepada industri hiburan tempatan.

“Saya sendiri merupakan anak jati Melaka. Bahkan, masih ramai artis-artis seperti Abon, Remy Ishak, Zur Eda, Ziana Zain dan ramai lagi berasal dari Melaka yang ingin kita raikan.

“Selain aktiviti beli-belah, kita juga akan mengadakan pelbagai aktiviti seperti cabutan bertuah tahunan bernilai hampir RM200,000, Lefestour karaoke dan konsert mini,” jelasnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post