Pemuzik bebas, Mohd. Radzi Abdul Wahid, 29, mengakui telah berkahwin dengan pelakon popular, Izreen Azminda pada 8 Ogos lalu.
Radzi atau lebih dikenali dengan panggilan Ude memberitahu, dia akan memberi penjelasan tentang perkahwinannya dengan Izreen, 32, dalam sebuah majlis yang bakal berlangsung pada minggu hadapan.
“Saya akan buat majlis doa selamat minggu hadapan dan akan menjelaskannya nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Ude turut mengakui wanita yang tampil membuat pengakuan di sebuah portal berita semalam adalah isteri pertamanya, Intan Liana Saleh, 30.
Pemuzik yang kini berkhidmat bersama program Gegar Vaganza musim keempat itu turut mengharapkan agar mereka diberi ruang privasi kerana bimbang akan mempengaruhi emosi kedua-dua isterinya.
“Harap pihak luar tidak campur tangan. Intan serta Izreen adalah isteri saya dan sebagai suami, beri saya peluang untuk menguruskan sendiri isteri dan keluarga saya,” jelasnya yang turut menafikan rumah tangga bersama isteri pertama menghadapi masalah setelah berkahwin dengan pelakon drama rantaian 7 Suami itu.