Demi meraih populariti segera pada zaman serba canggih ketika ini, kisah tular di media sosial mungkin jalan pintas paling mudah yang boleh diambil oleh segelintir artis demi mencapai sebarang matlamat.
Inilah yang berlaku kepada penyanyi baharu, Nabila Razali. Sejak tiga minggu, kisah cintanya dengan pelakon muda, Aedy Ashraf telah mendapat perhatian meluas daripada peminat.
Siapa sangka rupa-rupanya apa yang dilihat, bahkan dipertontonkan secara meluas dalam laman Instagram termasuk gambar berdua dan video menangis kekecewaan itu sebenarnya hanyalah lakonan bagi menjayakan watak demi sebuah muzik video single baharu Nabila bertajuk Pematah Hati.
Setiap teka-teki yang bermain dalam fikiran peminat tentang status hubungan dua pucuk muda itu terjawab apabila wanita bernama Nur Nabila Razali membuat pengakuan tentang ‘lakonan cinta’ mereka pada majlis pelancaran muzik video Pematah Hati di Red Box Plus, Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Saya menyedari ramai yang bertanya dan mempertikaikan tentang apa yang saya lakukan dalam Instagram bersama Aedy. Ingin saya beritahu di sini bahawa semua itu sekadar gimik muzik video Pematah Hati.
“Pada mulanya kami tidak merancang ia akan menjadi kisah tular sebesar ini, namun sejak pertama kali saya memuat naik gambar bersama Aedy tiga minggu lalu, ia mendapat sambutan luar jangkaan. Jadi, pihak pengurusan melihat ia sebagai satu cara untuk mempromosi muzik video Pematah Hati,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran tersebut.
Risiko
Keputusan yang diambil oleh Nabila untuk menggunakan gimik lakonan bercinta sebagai langkah promosi boleh dikatakan sebagai suatu tindakan yang berani kerana secara tidak langsung ia seperti menipu para peminat.
Jika tidak diuruskan dengan baik, tindakan sebegitu boleh menjadi titik kemusnahan kepercayaan peminat terhadap kerjayanya yang baru hendak meningkat naik dalam industri.
Nabila bagaimanapun sudah bersedia dengan segala kecaman atau kritikan kerana setiap keputusan yang diambil untuk kariernya sudah melalui proses perbincangan yang teliti dan serius.
Kata pemilik Ijazah Sarjana Muda Senibina Kejuruteraan dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu, setiap artis mempunyai cara tersendiri untuk melonjakkan nama dalam industri dan sebagai artis baharu, dia cuba melihat percaturan tersebut dari sudut positif.
“Sebuah publisiti buruk masih sebuah publisiti untuk seorang selebriti. Ya, saya akui bahawa kali ini nama saya tular kerana benda yang kurang baik tetapi orang mula mengenali siapa Nabila Razali.
“Namun, itu tidak bermakna saya akan mengamalkan taktik sama untuk produk yang seterusnya. Seperti yang saya jelaskan tadi, ini bukanlah perancangan asal, cuma saya mengikut arus keadaan demi menjayakan muzik video, itu sahaja,” terangnya lagi.
Ditanya adakah percaturan yang diambil tersebut dirasakan tidak membuatkan hilangnya kepercayaan peminat, sekali gus mengecewakan pengikut setia yang sudah mengharapkan hubungan dengan Aedy benar-benar sebuah realiti, harapan Nabila cuma satu. Dia berharap, peminat faham apa yang cuba dilakukannya.
Bagi pelakon Hikayat Cinta Si Pematah Hati ini, secara logiknya dia tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada mengiakan atau menafikan tentang cintanya dengan lelaki itu.
“Saya bukanlah menipu, cuma tidak berterus terang sahaja dengan mereka, jadi ada perbezaannya di situ. Saya mohon maaf jika ada yang terasa hati atau kecewa dengan gimik ini, saya cuma menghayati karakter sahaja,” titipnya satu per satu.
Pematah Hati
Selesai dengan huraian panjang lebar tentang perjalanan ‘cinta’ olok-olok dengan Aedy, Nabila sempat berkongsi rasa dan harapannya untuk single Pematah Hati ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong yang dilancarkan sejak Julai lalu.
Bagi penyanyi berusia 25 tahun itu, meskipun lagu tersebut kerap diputarkan di corong radio dan semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat, namun semua itu belum cukup untuk namanya benar-benar terpahat dan dikenali ramai.
Tambah anak kelahiran Selangor itu, sejak kisah cintanya tular di media sosial barulah orang mula mencari siapa Nabila Razali dan mempedulikan lagu Pematah Hati, sekali gus ternanti-nanti pelancaran muzik video rasmi kelak.
“Agak sukar untuk menempatkan nama Nabila Razali dalam hati peminat sekarang kerana kebanyakan mereka lebih menggemari kelompok penyanyi lagu-lagu balada yang mendayu.
“Saya akui agak cemburu dengan kejayaan penyanyi yang lebih baharu daripada saya, namun mendahului daripada banyak segi dan membina tapak yang kukuh dalam industri.
“Namun, saya percaya setiap orang ada rezeki dan ruang yang sudah ditakdirkan untuk mereka, jadi saya tidak akan berputus asa,”katanya penuh harapan.
Biarpun secara peribadinya meminati lagu-lagu melodi 1990-an seperti yang sedang digilai peminat sekarang. Nabila bagaimanapun selesa dengan genre pop dan tidak akan berubah demi memenuhi permintaan orang.
“Saya percaya selera muzik cepat berubah dan sebagai penyanyi, saya perlu mempunyai pendirian tegas dalam pemilihan genre yang ingin diperjuangkan jika mahu bertahan lama dalam industri,” ujarnya menutup perbualan.