Debaran Gegar Vaganza Liza Hanim, Firman, Hazami


Fotografi peserta Gegar Vaganva Liza Hanim, Firman dan Hazami

Tinggal tiga hari sahaja lagi sebelum konsert akhir Gegar Vaganza (GV) musim keempat dilangsungkan.

Pada hemat khalayak, lima finalis yang bakal berentap iaitu Aishah, Hazami, Tia Jinbara, Liza Hanim dan Lan pastinya sedang bertungkus lumus membuat persiapan bagi memastikan setiap perincian yang dibuat pada persembahan masing-masing mampu menarik perhatian barisan juri.

Sungguhpun debaran malam penentuan makin memberi impak terhadap fokus para peserta tetapi ia bukan suatu perkara yangmerisaukan Liza Hanim, finalis kegemaran yang dijangka melangkah ke pentas akhir sejak sebelum bermula konsert pertama lagi.

Menurut penyanyi berusia 38 tahun itu, dia berasa sangat bersyukur kerana diberikan peluang sejauh ini oleh pihak juri.

Namun ujar Liza, kalah atau menang tidak menjadi ukuran memandangkan setiap peserta yang terpilih ke pusingan final mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri.

“Kalau boleh, saya tidak mahu memikirkan sangat tentang pertandingan. Ia berikutan sepanjang hampir lapan minggu bertanding, pengalaman menyertai GV telah melebihi jangkaan saya sebelum ini.

“Selain membuka peluang untuk saya kembali menyanyi, platform pertandingan sebegini juga dapat memberi saya kesempatan untuk bersaing secara sihat, sementelah mempelajari sesuatu yang baru daripada peserta lain,” katanya membuka bicara.

Penyanyi yang pernah mencipta nama menerusi beberapa lagu hits seperti Getaran Cinta Di Jiwa, Andainya Aku Bersuara dan Gelisah Mimpi itu bagaimanapun mengharapkan supaya peminat tidak meletakkan jangkaan yang terlalu tinggi terhadapnya.

“Ketika diumumkan sebagai peserta GV, peminat telah mula meletakkan harapan yang sangat tinggi dan hanya mahu melihat persembahan terbaik daripada saya.

“Apa yang boleh saya katakan, saya akan cuba sehabis baik supaya peminat dan penonton GV terhibur dengan persembahan saya pada minggu konsert akhir nanti,” katanya.

Ditanya bagaimanakah perasaan ketika mendapat tahu penyanyi kegemarannya, Aishah turut sama menyertai GV, Liza hanya tertawa besar sambil mengenang kembali momen lucu tersebut.

“Sewaktu hadir ke sesi taklimat, saya terpandang kelibat Aishah. Secara 
serta-merta, saya terus mahu mengalah dan pulang kerana gentar bertanding dengan kak long kawasan!” ujarnya berseloroh.


Namun, kegentaran itu hanya singgah seketika kerana Liza melihat penglibatan Aishah sebagai pembakar semangat untuknya terus maju ke hadapan.

“Ia merupakan suatu penghormatan buat saya kerana dapat sama-sama bertanding dengan penyanyi yang saya idolakan sejak kecil,” ujarnya lagi.

Berkongsi sedikit mengenai perancangannya selepas tamat GV, Liza bakal melahirkan single terbaharu yang dicipta oleh penyanyi dan komposer Hafiz Hamidun.

“Insya-Allah, saya akan memasarkan single terbaharu selewat-lewatnya awal tahun depan.

“Masih belum diberikan judul, lagu tersebut masih mengekalkan signatur nyanyian saya seperti dahulu tetapi disuntik dengan susunan muzik terkini,” katanya.

Ilmu
Bagi penyanyi kelahiran Indonesia, Firman Siagian, penglibatannya menerusi GV merupakan sebuah pengalaman yang paling berharga sepanjang bergelar penyanyi.

Mantan vokalis kumpulan The Fly itu menjelaskan, dia bersetuju menerima ‘pinangan’ pihak Astro beberapa bulan lalu disebabkan oleh kehadiran Datuk Ramli MS sebagai juri tetap rancangan berkenaan.

Tutur Firman, 39, selain berilmu dan berpengalaman, maestro muzik yang mesra disapa dengan panggilan Tok Ram itu turut kritis dalam memberikan ulasan terhadap persembahan setiap peserta terlibat.

“Ketika diajak untuk menyertai GV, perasaan saya pada waktu itu sedikit berbolak-bolak. Saya jelaskan pada pihak Astro bahawa saya bukanlah penyanyi yang mahir bertanding.

“Sejurus selepas dipujuk oleh pihak pengurusan dan pada masa yang sama mendapat tahu Tok Ram turut terlibat sebagai juri, saya terus memberikan persetujuan.

“Beliau merupakan seorang individu yang saya kagumi kerana sifat profesionalnya ketika menjalankan tugas,” ujar Firman.

Melanjutkan bicara, penyanyi yang lahir daripada pertandingan Indonesian Idol musim kedua itu turut mengagumi sifat teliti yang sering diamalkan oleh Tok Ram.

“Selain profesional, beliau juga mementingkan kesempurnaan. Saya sering bertanyakan kepadanya tentang cara yang betul untuk bersaing dalam GV.

“Ternyata, sepanjang lapan minggu bertanding, banyak yang telah saya peroleh daripada perkongsian beliau,” ujarnya yang telah menganggap peserta lain sebagai sahabat baiknya.

Bercakap sebagai satu-satunya penyanyi dari Indonesia yang pernah menyertai program tersebut, Firman menjelaskan, dia tidak teragak-agak untuk mengesyorkan GV kepada rakan-rakan artis di tanah kelahirannya.

“Saya perhatikan, objektif GV dalam mengangkat kembali penyanyi lama dalam sebuah program berhasil. Lihat sahaja bintang-bintang yang pernah bertanding sebelum ini.

“Mereka kembali membina nama dan menarik perhatian kelompok peminat baharu,” tutur Firman yang tidak menolak untuk berkarier di Malaysia jika ada yang mahu melihatnya membina nama di sini.

Seronok

Jika Firman menjadikan Tok Ram sebagai salah satu sebab untuk menyertai GV, lain pula ceritanya dengan Hazami, penyanyi yang disebut khalayak sebagai antara yang paling konsisten.

Menurut pelantun lagu Mungkir Bahagia itu, penyertaannya dalam GV dipengaruhi oleh permintaan ibunya dan juga peminat.

Kata pemilik nama lengkap, Norkamal Hazami Ahmad itu, selepas menolak lamaran pihak Astro beberapa kali, Hazami akhirnya menjadikan musim keempat sebagai platform untuk membuat kemunculan kembali.

“Saya menerima lamaran Astro disebabkan oleh galakan keluarga dan peminat. Pada masa yang sama, saya berharap agar penglibatan saya dapat membuatkan mereka gembira. Maklum sahajalah, saya sudah lama menyepikan diri.

“Lama-kelamaan, saya sendiri naik seronok sepanjang program ini berlangsung. Kru yang terlibat sangat menyenangkan dan produksi juga berjalan dengan sangat lancar. Ia suatu pengalaman yang menyeronokkan,” kata penyanyi berusia 42 tahun itu sambil tersenyum.

Mengulas mengenai skeptikal banyak orang yang melabelkan Hazami sebagai terlalu bagus untuk bertanding, komposer dan penerbit lagu itu menjelaskan, tujuan asalnya menyertai GV adalah untuk menyanyi dan menghiburkan penonton.

“Benar, selain menyanyi saya juga merupakan seorang komposer dan penerbit. Saya juga pernah bergelar juri dalam beberapa pertandingan nyanyian berskala besar.

“Namun, keberadaan saya di sini adalah sebagai seorang penyanyi. Jadi, biarlah saya menjalankan tanggungjawab sama seperti penyanyi lain,” katanya lagi.

Ditanya adakah ilmu sebagai komposer dan pemuzik banyak membantunya untuk maju setapak ke hadapan berbanding peserta lain, ini jawapan Hazami.

“Tok Ram selalu cakap yang cara nyanyian saya terlalu merdu. Dalam erti kata lain, nyanyian saya terlalu teratur.

Sehingga beliau meminta saya untuk tidak terlalu menjaga kerana ia bukan sahaja akan kedengaran lebih semula jadi tetapi turut menambah karakter dalam nyanyian,” ujar Hazami yang bersetuju dengan pendapat tersebut.

Enggan meletakkan sebarang sasaran terhadap pentas akhir GV, Hazami berkata, dia hanya mahu memberikan persembahan istimewa agar ia dapat diingati oleh peminat.

“Saya suka dengan pentas nyanyian dan cuba untuk melupakan bahang pertandingan seketika. Perkara yang paling penting adalah saya mahukan semua penonton terhibur dengan persembahan saya nanti,” katanya.

Konsert akhir GV musim keempat bakal disiarkan secara langsung dari Pinewood Iskandar Malaysia Studios, Johor pada 17 Disember ini pukul 9 malam.

Tidak meletakkan sebarang sasaran untuk bergelar juara, Liza Hanim, Firman dan Hazami menyandarkan program Gegar Vaganza sebagai platform untuk menimba pengalaman selain menggerakkan kembali karier nyanyian mereka yang pernah tertangguh sedikit masa lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post