Amerul Affendi idam watak playboy!


Biarpun lakonannya sering mendapat perhatian penonton, Amerul Affendi kerap ditawarkan watak antagonis dan pembantu.

Tidak terkilan, namun aktor berusia 31 tahun ini bagaimanapun mengakui teringin untuk memegang karakter seorang hero dalam sesebuah naskhah.

"Saya belum lagi berpeluang bawa watak anak orang kaya yang suka berfoya-foya dan playboy.

"Saya rasa nak juga sebut dialog-dialog yang macam itu. Nak juga try (ketawa)," katanya.

Bagaimanapun, pelakon filem Polis Evo ini bagaimanapun menyedari kekurangannya daripada segi rupa paras membantutkan hasratnya itu.

"Mungkin, rupa saya ini tak sesuai dengan watak-watak jiwang. Itu saya kena reda.

"Tapi, saya juga kena cuba menyakinkan orang dengan muka macam ini. Lagi-lagi, lepas potong rambut ini," katanya.

Bukan itu sahaja, pelakon filem Bunohan ini juga menolak mengikut trend sesetengah artis yang giat membina badan menjadi ‘sado’ bagi menarik perhatian umum.


Pemilik nama penuh, Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi ini hanya akan membina badan jika diperlukan bagi membawa watak yang diberikan dalam drama atau filem yang dibintanginya.

"Saya secara peribadnya lebih selesa untuk bersedia dalam apa saja watak yang bakal dibawakan.

"Kalau nak badan saya gemuk atau kurus, barulah saya buat. Semuanua bergantung kepada kehendak watak," katanya.

Dalam perkembangan lain, Amerul bakal muncul dalam drama bersiri, Mandatori adaptasi novel thriller tulisan Ramlee Awang Murshid.

Drama bersiri arahan Razaisyam Rashid ini turut dibintangi Aeril Zafrel, Siti Saleha, Iedil Putra, Alvin Wong, Chew Kin Wah dan Vanidah Imran.

Ia bakal menemui penonton menerusi saluran Astro First Eksklusif (480) dengan hanya RM19.10 mulai 14 Disember depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post