Zul Ariffin, Zahirah MacWilson tidak berhubung


Zul Ariffin bersama kekasihnya yang juga pelakon Zahirah MacWIlson.

Kejayaan filem Tombirou, Penunggu Rimba (TPR) yang berjaya meraih kutipan sebanyak RM7 juta dalam tempoh dua minggu tayangan bermula 12 Oktober lalu dan sambutan hangat terhadap drama rantaian Titian Cinta telah menjadikan nama Zul Ariffin rancak diperkatakan.

Bukan sekadar aktiviti seninya yang menarik perhatian peminat, namun kisah peribadi pelakon berusia 31 tahun itu turut mencuri tumpuan terutama melibatkan kekasih hatinya, Zahirah Macwilson pada bulan lalu.

Pertikaian antara Zahirah dengan pelakon Kamal Adli dan Emma Maembong lantas mengheret nama aktor bertubuh sasa itu sehinggakan ada yang menjangkakan hubungan Zul dan teman wanita telah berakhir.

Mengakui tidak gembira dengan kewujudan berita tersebut, Zul bagaimanapun mengharapkan agar Zahirah dapat memberi penjelasan lebih terperinci tentang punca perkara tersebut berlaku.

Dalam pada itu, dikhabarkan insiden tersebut juga telah mengganggu perancangan Zul untuk mendirikan rumah tangga dengan Zahirah yang juga anak kepada pelakon popular sekitar era 1990-an, Zainol Macwilson.

Katanya, dia mengambil sikap untuk mendiamkan diri kerana enggan mencampuri urusan kerjaya dengan peribadi, sekali gus mengganggu aktivitinya yang ketika itu sedang mempromosikan filem TPR.

KOSMO!: Bagaimanakah reaksi Zul terhadap sambutan menggalakkan daripada peminat terhadap filem Tombirou, Penunggu Rimba (TPR) dan drama rantaian Titian Cinta di samping pelakon Farah Nabila?

ZUL ARIFFIN: Alhamdulillah saya berasa gembira apabila eksperimentasi mempamerkan konsep berbeza dalam filem tersebut (tampil dengan memakai topeng sepanjang aksi) berbanding karya komersial mendapat sambutan dalam kalangan peminat. Saya juga berasa bersyukur apabila peminat memberikan pujian terhadap kedua-dua karya tersebut.

Selepas filem TPR, adakah anda akan terlibat dengan sebarang produk dalam tempoh masa terdekat ini?

Buat masa sekarang saya sedang menjalani penggambaran filem Hantu Kak Limah 2 sebagai pelakon jemputan. Pembabitan dalam karya ini merupakan satu genre baharu buat saya tetapi perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada pengarah, Mamat Khalid untuk menentukan. Kemudian, saya mungkin akan berehat seketika sebelum kembali sibuk menjalani penggambaran pada tahun hadapan.

Beralih kepada kisah peribadi, adakah pertikaian antara kekasih anda, Zahirah Macwilson dengan pelakon Kamal Adli dan Emma Maembong mengganggu perjalanan kerjaya seni?

Saya rasa insiden itu tidak mengganggu tetapi agak sedikit terjejas apabila ia berlaku sewaktu sedang sibuk mempromosikan filem TPR. Secara peribadi saya bersyukur apabila isu tersebut telah berakhir dan biarlah mereka terlibat sahaja yang menyelesaikannya.

Bagaimanakah reaksi anda saat mengetahui perkara tersebut berlaku?

Sekiranya bercakap mengenai topik tersebut, pastinya saya berasa tidak gembira. Tambahan, saya hanya mengetahui perkara tersebut menerusi laporan media.

Adakah anda berasa marah apabila diajukan pertanyaan mengenai perkara itu?

Sukar untuk saya komen sama ada marah atau tidak kerana ia melibatkan perasaan. Jadi, lebih baik pandangan atau segala yang berkaitan mengenai perkara itu hanya saya sendiri mengetahuinya.

Zahirah juga tidak berada di Malaysia buat masa sekarang kerana menjalani penggambaran di luar negara. Justeru, saya akan menunggunya pulang dan mengharapkan agar dia dapat memberikan penjelasan lebih terperinci mengenai perkara ini.

Menurut Zahirah, insiden tersebut telah diselesaikan memandangkan kalian berempat juga telah bertemu dan membincangkan mengenai perkara berkenaan. Namun, melihat reaksi sekarang, anda seperti masih tidak berpuas hati. Mengapa?

Memang kami ada bertemu, namun saya hanya dipanggil untuk menjadi saksi dan mendengar perbincangan mereka. Terima kasih juga kepada mereka kerana sudi menjelaskan kepada saya.

Sejujurnya saya ingin mengetahui apa punca dan tujuan pertikaian itu berlaku. Adakah ia disebabkan untuk projek baharu mereka, publisiti, meraih undian mahupun ingin mengeratkan hubungan sesama artis.

Adakah perkara ini menjejaskan hubungan anda dan Zahirah?

Tidak dinafikan hampir beberapa minggu kami tidak berhubung antara satu sama lain. Sekiranya ingin menjelaskan mengenai hubungan, buat masa sekarang tiada apa yang ingin dikatakan kerana saya masih mengharapkan penjelasan daripadanya.

Apakah nasihat anda kepada mereka bertiga?

Saya telah melalui perkara ini dalam industri terlebih dahulu. Insiden seperti ini bukan sesuatu yang baik untuk kerjaya termasuk juga buat pelakon baharu. Pada saya sekiranya terlibat dalam drama, cuba jayakan karya sebaik mungkin dan bukan buat ‘drama’. Paling utama, jaga tingkah laku di lokasi dan juga selepas selesai penggambaran.

Adakah perkara ini secara tidak langsung mengganggu perancangan anda untuk berkahwin pada tahun hadapan?

Tiada komen untuk hal itu. Lebih baik tanyakan soalan tersebut kepada bapa Zahirah sendiri.

Post a Comment

Previous Post Next Post