Anzalna Nasir Populariti bukan lagi keutamaan


Apabila menyertai industri seni, populariti bagaikan menjadi satu kemestian bagi mana-mana selebriti selepas bakat. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru berjinak-jinak.

Namun ada juga sesetengah selebriti melihat populariti bukan kepentingan mahupun keutamaan dalam karier seni mereka.

Dan begitu jugalah yang dirasai pelakon, Anzalna Nasir.

Tidak terburu-buru membolot apa jua tawaran yang tiba, jelas wanita berusia 29 tahun ini, biarpun hanya satu tawaran setahun, ia tidak menjadi masalah besar buatnya.

“Untungnya zaman kini kita sudah ada media sosial dan walaupun jarang muncul di kaca TV mahupun layar perak, peminat masih boleh ikuti perkembangan kita.

“Saya pula jenis tak suka susahkan orang, kalau dah terikat dengan satu job, saya akan tumpu projek itu saja.

“Begitu jugalah dengan karier saya tahun ini, apabila saya hanya fokus penggambaran Dendam Aurora. Saya rasa tidak rugi terima hanya satu tawaran sahaja.

“Kalau ia tidak jadi rezeki saya, ia rezeki orang lain,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk terbaru keluarannya Bye Bye Zit di Empire MediSpa, Ampang, baru-baru ini.

Menerusi produk penjagaan muka itu, Anzalna bersama penerbit Global Station Sdn Bhd, Adila Ramly bergandingan juga bersama kakak Adila, Alia berganding bahu keluarkan produk spray digunakan untuk cegah pembiakan bakteria dan memberi nafas kepada kulit untuk percepatkan proses self-healing.

Bercerita lanjut mengenai produk berkenaan, Anzalna berkata, dia guna produk itu selepas dicadangkan Adila.

"Adila ada masalah kulit apabila dia guna make up pasti mukanya naik jerawat. Kebetulan ketika penggambaran drama Dendam Aurora, dia perasan kulit saya makin bermasalah dari hari ke hari.

"Lagipun saya ni jenis kedekut nak keluarkan belanja lebih untuk produk penjagaan wajah dan hanya cuci wajah sahaja. Malah saya tak berbelanja lebih RM50 untuk produk penjagaan muka.

"Jadi bila dia cadangkan, saya cuba mana tahu ia serasi dan Alhamdulillah, selepas dua bulan, saya mula nampak hasil dan jerawat saya makin mengecut," jelasnya.

Anzalna berkata, atas kebaikan itulah, dia tidak kisah keluarkan belanja dan bekerjasama dengan Adila.

"Saya sebelum ini tidak pernah jadi duta penjagaan wajah. Kalau saya sendiri tak guna, saya tak akan suggest pada orang lain.

"Jadi bila produk ini berkesan, saya mahu bantu orang yang ada masalah kulit muka seperti saya. Malah dari ujian yang kami buat, ramai serasi dengan produk ini," ujarnya yang juga mengeluarkan produk berasaskan penjagaan rambut, Anzel Hair Tonic.

Nikmati masa berdua

Sementara itu, berkongsi kehidupannya selepas mendirikan rumah tangga, Anzalna berkata, dia tidak tertekan apabila banyak pihak tanya cahaya mata.

Jelas Anzalna, masa terluang yang ada digunakan sebaiknya untuk bercuti bersama suami tercinta, Hanif Zaki dan juga keluarga.

“Itulah untungnya bila ada masa senggang kerana saya dapat luang lebih banyak masa bersama keluarga dan suami.

“Untuk tahun ini sahaja, saya sempat ke London, Jepun dan Insya-ALLAH akan ke Jepun lagi penghujung tahun ini bersama keluarga mertua.

"Saya tidak tertekan orang sering tanya soal cahaya mata, lagipun saya setahun setengah berkahwin. Saya percaya bila tiba masanya akan ada juga rezeki buat kami,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post