Sherry Alhadad jadi diri sendiri


Inspirasi

Mengakui pernah berputus asa pada awal kemunculan dalam bidang seni, namun berbekalkan semangat tinggi, Sherry berusaha untuk memperbaiki kelemahan dan membina semangat.

Dalam satu temu bual sekitar tiga tahun lalu, wanita itu pernah ditanya tentang impian yang ingin dicapainya dalam industri seni.

Optimis jawabnya, dia inginkan mempunyai sebuah program bual bicara sendiri. Barangkali itu tanda aras buatnya. Kini impian berkenaan benar-benar menjadi realiti apabila Sherry Al Hadad dilamar Primework Studios untuk mengendalikan The Sherry Show.


Ternyata peluang dan ruang yang diberikan kepada wanita berbadan gempal penuh berkeyakinan itu digunakan sebaik mungkin. Dia bukan sahaja bijak mencorak menjadikan rancangan tersebut lebih santai, bahkan turut memberi inspirasi kepada penonton.

“Apabila dipanggil bagi mengendalikan rancangan ini, saya tidak perlu tunggu lama untuk beri kata putus bersetuju dengan cadangan mereka.

“Sejujurnya saya benar-benar terharu dengan peluang ini. Pada masa sama ia tetap mewujudkan rasa gementar kerana bukan sahaja melibatkan saya seorang, malah stesen,” katanya ketika ditemui usai rakaman The Sherry Show episod keempat di Studio 1, Glenmarie, Shah Alam baru-baru ini.

Berkongsi perasaan pertama kali mengendalikan rancangan dengan nama sendiri, ujar pemilik nama Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad itu, pada mulanya dia berasa kekok sehingga terlalu berjaga-jaga terutama dalam pertuturan.

Begitupun selepas ditegur oleh pihak produksi untuk bersifat lebih alami dan mendapat momentum perjalanan rancangan, dia semakin seronok dan selesa menjadi diri sendiri dalam rancangan berkenaan.

“Sebelum ini saya sudah biasa mengacara tetapi rancangan itu tiada kena mengena dengan nama saya. Pada masa sama ia membuatkan saya sentiasa berjaga-jaga dan terfikir, adakah apa yang dilakukan ini sudah terbaik?

“Selepas ditegur, saya cuba memperbaiki kelemahan diri dan semakin lama semakin selesa bergerak di atas pentas berinteraksi dengan tetamu undangan, penonton serta pemuzik,” terangnya tersenyum.

Terdahulu, The Sherry Show yang mula ditayangkan sejak 19 November lalu pada setiap hari Ahad pukul 10 malam, merupakan rancangan bual bicara berbentuk hiburan santai. Ia padat dengan pelbagai topik menarik antaranya Cer Citer, Ada Berani? Ok Mari! dan 11 Soalan.

Signatur

Berbicara soal persamaan antara rancangan kendaliannya dan program The Sarimah Show yang pernah bersiaran menerusi slot sama sekitar bulan Februari lalu, Sherry menguntum senyuman.

Bagaikan dapat menjangka pasti ada pihak yang akan membuat perbandingan antara Sherry dan Sarimah dalam mencorak rancangan, ujar wanita berusia 33 tahun itu, dia selesa menjadi diri sendiri dan tidak terikut dengan mana-mana gaya pengacaraan orang lain.

“Saya juga pernah menjadi tetamu undangan dalam episod pertama The Sarimah Show. Tidak dinafikan, program berkenaan mempunyai signatur tersendiri, tambahan pula dengan aura yang dimiliki Sarimah.

“Saya pula lebih kepada program santai, banyak gelak ketawa dan perkara spontan. Seperti yang dikatakan, saya mahu menjadi diri sendiri, apa yang dilihat penonton itulah diri saya,” katanya yang mengurangkan tontonan rancangan lain sebagai rujukan dalam mengacara.

Tidak mahu menjadikan The Sherry Show sekadar rancangan hiburan kosong, tambah pelakon telefilem Yam Melaram itu lagi, dia juga mahu memberi inspirasi kepada masyarakat agar sentiasa yakin dengan diri sendiri.

Sehubungan itu, Sherry turut mencipta sepotong ‘tagline’ untuk rancangan berkenaan yang berbunyi, The Sherry Show, be yourself..bam!

“Saya akui di negara kita bagaikan ada satu ‘taboo’ tentang etika dan tatacara yang perlu dijaga sehingga membuatkan seseorang tidak berani keluar daripada kepompong mereka. Perkara itu membuatkan mereka selalu merasa rendah diri.

“Saya selalu menerima mesej daripada peminat yang menanyakan soal keyakinan diri. Malah, saya juga memang suka melihat sesuatu yang boleh memberi inspirasi kepada orang lain.

“Melalui rancangan ini saya mahu tunjukkan kepada masyarakat agar percaya dan yakin dalam setiap perkara hendak dilakukan, namun masih berpegang pada batas tersendiri,” tuturnya panjang lebar.

Rindu
Melihat rezeki bidang pengacaraan yang mendominasi kerjaya seninya, sengaja kemudian wanita itu diusik soal jolokan anak emas TV3.

Selain program berkenaan, Sherry juga merupakan pengacara rancangan Muzik-Muzik, Perang Bibir, malah pernah mengacarakan Melodi suatu ketika dahulu.

“Pelbagai dugaan saya lalui dalam mencipta nama sebelum sampai ke tahap ini. Saya percayakan rezeki dan apabila mendapat kepercayaan TV3, itu adalah apa yang telah ditetapkan.

“Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi ‘anak emas’ TV3 sehingga stesen televisyen lain tidak mahu memanggil saya. Selagi boleh bekerja dengan baik, menjaga disiplin, hormat orang lain, saya yakin dapat menjaga hubungan baik dengan semua orang,” terangnya.

Disebabkan terlalu sibuk dengan dunia pengacaraan, Sherry juga tertawa saat mengakui begitu merindui dunia lakonan sebagaimana yang dilakukan pada awal kemunculannya dahulu.

Kongsi Sherry, kali terakhir dia mencurahkan bakat dalam bidang lakonan adalah ketika menjayakan drama rantaian seram komedi berjudul Misteri Wan Peah yang ditayangkan sekitar bulan Februari lalu.

“Sejujurnya sudah lama saya tidak mendapat tawaran lakon dalam mana-mana drama.

“Saya memang rindu untuk berlakon semula tetapi mungkin disebabkan terlalu sibuk mengacara membuatkan saya tidak dipanggil,” jawabnya seraya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post