Amir Ukays kecewa stesen radio pilih kasih


Amir Ukays mengharapkan peminat memberi sokongan terhadap showcase solo yang bakal berlangsung di DSaji Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 1 Disember depan.

Hampir 22 tahun menceburkan diri dalam lapangan hiburan tanah air, bekas vokalis kumpulan Ukays, Amir menjadikan tempoh tersebut landasan proses mematangkan diri dan memahami sikap penggiat seni tempatan.

Amir Ukays mengharapkan peminat memberi sokongan terhadap showcase solo yang bakal berlangsung di DSaji Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 1 Disember depan.

Amir atau nama sebenarnya, Mohd. Azmir Muhammad Yusof mengakui berasa kecewa dengan sikap segelintir pihak yang pilih kasih antara golongan artis baharu dan lama.

Menurut Amir, dia berasa kecewa apabila single baharunya bertajuk Kasih Tak Terlihat yang dihasilkan lima tahun lalu tidak berkumandang di corong radio sehingga ke hari ini dengan alasan tidak mampu menandingi lagu hit terdahulu.

Baginya, situasi tersebut tidak berlaku sekiranya pihak stesen radio lebih bersikap terbuka serta membantu artis mempopularkan lagu mereka dalam kalangan pendengar. Stesen radio juga tidak seharusnya mengharapkan lagu tersebut mendapat sambutan di YouTube terlebih dahulu sebelum memainkannya di corong radio.

Dalam pada itu, bekas peserta program realiti Gegar Vaganza musim kedua tersebut turut mengharapkan agar peminat hadir memberi sokongan terhadap showcase solo yang bakal diadakan pada 1 Disember depan di D’Saji Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Bakal mendendangkan sebanyak 12 buah lagu, persembahan tersebut dijadualkan berlangsung pada pukul 8 malam selain menyaksikan kemunculan istimewa komposer Saari Amri yang turut menyanyikan sebuah lagu duet bersama Amir.

KOSMO!: Bolehkah Amir kongsikan mengenai persiapan showcase solo?

AMIR: Secara peribadi saya telah lama merancang untuk mengadakan showcase solo sejak menonton persembahan Zamani di D’Saji Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur sekitar September lalu.

Sejak itu, saya berharap agar diberi peluang melakukan perkara sama. Syukur hasrat berkenaan tercapai apabila pihak D’Saji Titiwangsa KL dan BEST FB KL Conserts dengan kerjasama Indera Management sudi merealisasikan impian saya itu pada 1 Disember depan.

Diadakan di lokasi sama, saya akan mendendangkan sebanyak 12 buah lagu sepanjang persembahan yang berlangsung selama dua jam bermula pukul 8 malam.

Buat masa ini, saya banyak berlatih menghafal kesemua lirik lagu, menjaga kesihatan dan stamina agar tidak menjejaskan persembahan kelak.

Tiket dijual bermula pada harga RM100 hingga RM300 dan boleh didapati secara online di laman MyTicket.Asia.

Boleh anda kongsi lagu yang bakal dipersembahkan kepada audiens?

Saya akan menyanyikan lagu popular daripada kumpulan Ukays, antaranya Seksa, Siapa Yang Rampas Cintamu, Kau Satu-satunya, Bila Diri Disayangi, dan Kekasihku Di Menara Gading. Persembahan akan terbahagi kepada dua segmen iaitu pertama, akustik dan kedua, gitar elektrik.

Adakah anda merancang untuk melakukan sebarang kejutan buat peminat pada showcase itu kelak?

Elemen kejutan itu pasti ada kerana saya ingin memberikan persembahan terbaik kepada pengunjung. Antara kejutan yang akan saya lakukan ialah mengadakan persembahan duet bersama komposer Saari Amri menerusi lagu bertajuk Kita Masih Sama.

Tampil membuat persembahan secara solo, tidakkah anda mempunyai sebarang perancangan untuk bergabung semula dengan bekas kumpulan Ukays?

Sejujurnya saya mempunyai perancangan untuk mengadakan persembahan bersama mereka. Namun, saya tidak mempunyai hasrat untuk kembali menganggotai kumpulan tersebut pada masa akan datang.

Saya akan kembali bersama Ukays sekiranya kesemua anggota serius dan menumpukan sepenuh perhatian kepada kumpulan.

Sekiranya terdapat ahli yang bersifat sementara, saya beranggapan mereka masih tidak serius untuk memperjuangkan muzik Ukays yang menjadi satu jenama kukuh dalam industri hiburan tanah air.

Sekiranya anda dan anggota kumpulan Ukays lain menggunakan nama yang sama, tidakkah peminat akan terkeliru. Bagaimana menurut anda?

Meskipun kedua-duanya menggunakan nama yang sama tetapi saya yakin peminat tidak akan berasa terkeliru kerana mereka mengenali Ukays disebabkan vokalis.

Tiada apa yang membuatkan peminat keliru kerana menurut pandangan peribadi, kekuatan Ukays disebabkan diri saya sendiri.

Tidak bermaksud untuk mendabik dada atau berlagak sombong tetapi pada saya itu adalah kenyataan. Insya-Allah peminat akan tetap memberi sokongan sekiranya saya menjaga kualiti persembahan dan vokal.

Selain bakal membuat persembahan solo, adakah anda mempunyai perancangan untuk menerbitkan album atau single baharu?

Sejujurnya saya telah melancarkan sebuah single baharu ciptaan Saari Amri bertajuk Kasih Tak Terlihat lima tahun lalu, namun ia tidak diketahui umum kerana pihak stesen radio enggan memutarkan di radio. Pastinya sebagai penyanyi saya berasa kecewa.

Pelbagai alasan diberikan dan antaranya mengatakan single tersebut tidak mampu menandingi lagu hit terdahulu. Saya tidak mengatakan kesemua stesen radio kerana ia hanya melibatkan segelintir pihak sahaja. Seharusnya pihak stesen radio perlu memainkan peranan mereka dengan mempromosikan lagu artis kepada peminat.

Adakah sebarang tindakan akan diambil terhadap pihak stesen radio yang enggan memainkan lagu anda?

Pada saya, tiada sebarang tindakan yang perlu diambil kerana mereka seharusnya tahu tanggungjawab masing-masing. Saya hanya meluahkan rasa sedih dan kecewa kerana usaha untuk merancakkan industri seakan tidak dihargai.

Post a Comment

Previous Post Next Post