Nurul Wahab mahu tembusi Perancis


Usia

Kata Nourul, peminat muzik di Perancis lebih menghargai pelaku seni yang lebih berusia.

Sepanjang tempoh dua tahun kebelakangan ini, rutin harian yang dilalui penyanyi Nourul Depp atau Nurul Wahab boleh dikatakan sedikit berbeza jika mahu dibandingkan dengan penyanyi-penyanyi lain.

Wanita kelahiran Pulau Pinang itu masih lagi aktif menyanyi dan kerap menerima undangan persembahan daripada syarikat-syarikat korporat tempatan. Cuma, sebahagian besar masanya telah diperuntukkan bagi menyiapkan pembikinan album sulung bahasa Perancis yang mahu dipasarkan di negara tersebut tidak lama lagi.

“Selepas bertungkus lumus sejak tahun 2015 dan berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Paris, Perancis, akhirnya album sulung bahasa Perancis saya siap dirakamkan.

“Biarpun mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan album tersebut, namun saya sangat berpuas hati dengan hasil akhirnya,” ujar Nourul membuka perbualan ketika ditemui pada majlis makan malam anjuran HVT International di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Memilih perkataan Perancis, Humaine yang bermaksud manusia sebagai judul, Nourul menjelaskan, album dengan tujuh buah trek termasuk sebuah lagu bahasa Inggeris itu merupakan pasport utamanya dalam usaha menembusi pasaran muzik antarabangsa, khususnya di Perancis.

“Impian yang telah lama tersimpan akhirnya bakal tercapai. Album ini bukan sahaja merujuk kepada usaha yang telah lama saya tanam untuk mencuba nasib pada peringkat global, malah membawa nama Malaysia ke mata dunia,” katanya.

Kolaborasi

Bercerita lanjut mengenai Humaine, album yang siap dirakamkan pada Jun lalu itu merupakan kolaborasi perdananya bersama seorang komposer muda kelahiran Perancis, Kirsten Harma.

Menurut Nourul atau nama lengkapnya, Nurul Huda Abdul Wahab, kolaborasi tersebut terjalin secara tidak sengaja, selepas suaminya, Eric Daniel Depp memperkenalkan lagu nyanyiannya berjudul Aujourd’hui kepada rakan-rakannya di sana.

“Saya merakamkan Aujourd’hui beberapa tahun lalu sebagai material pengenalan. Suami saya, Eric menghantar lagu tersebut kepada rakan-rakannya untuk bertanyakan pendapat.

“Tanpa disangka, kawan kepada kawan suami saya telah memperdengarkan lagu tersebut kepada Kirsten. Selepas mendengar, dia terus menyatakan hasrat menerbitkan album penuh untuk saya pasarkan di sana,” ujar Nourul dalam nada teruja.

Disua dengan pertanyaan mengapakah dia berminat untuk menjalinkan kerjasama tersebut, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Kerana Terluka itu berkata, komposer berusia 29 tahun berkenaan mempunyai visi sangat jitu dalam melihat perkembangan kariernya pada peringkat global.

“Kirsten merupakan seorang komposer muda yang bukan sahaja berbakat tetapi bijak mengatur strategi untuk memasarkan saya sebagai satu jenama di sana.

“Saya juga percaya dengan bakat besar Kirsten sebagai seorang pemuzik yang berkebolehan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Nourul mengakui berbesar hati kerana ada komposer luar negara yang mahu menerbitkan album untuknya, tanpa mengenakan sebarang bayaran.

“Alhamdulillah, jalan saya ke sana dipermudahkan. Apabila ada orang yang baik hati untuk menerbitkan album, saya terima dengan hati terbuka,” katanya sambil tersenyum.


Klip video

Beralih bicara mengenai rangka promosi yang akan dijalankan, Nourul kini berada di Perancis untuk merakamkan klip video bagi empat buah lagu serta sesi fotografi bagi rekaan sampul depan albumnya.

Empat lagu tersebut adalah Paris Attent yang bermaksud Paris Sedang Menanti, Aujourd’hui (Dan Kini), Moi Et Toi Et Moi (Saya Dan Kamu Dan Saya) dan Dreams And Hope.

“Di Perancis, saya tidak diwakili oleh mana-mana label muzik. Hal ini kerana saya tidak mempunyai platform dan masih belum dikenali dalam kalangan khalayak.

“Kirsten berpendapat, klip video berkenaan boleh dijadikan sebagai tiket untuk menarik perhatian mana-mana label, seterusnya membuka peluang kepada saya untuk bernaung di bawah syarikat mereka,” tutur Nourul yang mengakui mahu bernaung di bawah label muzik tersohor, Warner Music Perancis.

Sementara itu, Nourul turut memberitahu, pembikinan empat klip video serta rakaman sampul album ditaja sepenuhnya oleh Kelab Pelancongan HVT.

“Saya berbesar hati apabila pihak Kelab Pelancongan HVT mahu menaja sebahagian pembikinan album ini.

“Barangkali ia merupakan satu usaha sama yang tepat memandangkan pihak saya dan Kelab Pelancongan HVT merupakan dua wakil dari Malaysia yang bergabung untuk sebuah produksi pasaran antarabangsa,” katanya.

Ditanya apakah cabaran yang perlu dilalui sepanjang rakaman Humaine, Nourul berkata, selain kekemasan lontaran lirik dalam bahasa Perancis, dia juga perlu lebih komited terutama apabila melihat produser muzik di sana begitu teliti apabila menghasilkan sesebuah karya.

“Jika di Malaysia saya hanya menerima lagu dalam bentuk demo dan sehelai kertas lirik. Berbeza di Perancis, komposer memberikan helaian kertas yang turut disertakan dengan nota-nota muzik.

“Saya pernah belajar untuk membaca nota muzik tetapi tidak pernah selesai. Jadi, untuk berada pada satu taraf dengan mereka, saya mengambil keputusan untuk kembali belajar mengenal muzik,” katanya yang turut menggunakan khidmat guru vokal selebriti, Syafizawati Sharif atau Cikgu Shafi untuk memantapkan kawalan suaranya.

Berkenaan dengan penguasaan bahasa Perancis, Nourul berkata, dia turut memasuki kelas bagi memberikan lebih keyakinan kepadanya untuk bertutur dan menyanyi dengan sempurna.

“Orang di sana begitu tebal dengan nilai patriotisme. Jadi, mempelajari bahasa mereka akan dapat membuka peluang yang lebih besar buat saya di sana,” katanya yang meletakkan karya-karya penyanyi kelahiran Perancis, Shy’m dan Kendji Girac sebagai rujukannya.

Usia

Biarpun bermula agak lambat, iaitu ketika usianya kini menginjak 40 tahun, Nourul tidak melihat angka tersebut sebagai satu halangan baginya.

Bahkan Nourul mengakui berasa bangga kerana khalayak di Perancis lebih menghargai penyanyi yang sarat dengan pengalaman.

“Di sana, mereka percaya bahawa penyanyi yang lebih berusia itu jauh lebih mahal berbanding penyanyi muda. Tambahan pula, mereka juga menghargai anak seni yang mampu bertutur dalam bahasa Perancis tetapi bukan anak tempatan.

“Saya berharap agar perjalanan karier saya kelak dipermudahkan dan dapat kembali menjadi artis baharu untuk bersaing dengan penyanyi-penyanyi sedia ada di sana,” kata Nourul.

Sebelum menutup perbualan, Nourul sempat diajukan soalan, adakah dia bakal menjadikan Anggun, penyanyi kelahiran Indonesia sebagai pesaing terdekatnya.

Jawab Nourul ringkas: “Anggun telah berada dalam kelasnya tersendiri di Perancis dan sudah sedia popular dalam kalangan peminat.

“Dalam erti kata yang mudah, Anggun itu ibarat kini berada di bulan tetapi saya masih lagi menapak di bumi.”

Post a Comment

Previous Post Next Post