Elyana setia berkaki ayam


Terkenal dengan imej berkaki ayam sewaktu membuat persembahan, kata Elyana, dia akan mengekalkan signitur itu sehingga habis GV4.

Bersaing dengan nama-nama besar dalam program realiti nyanyian, Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Elyana berbangga kerana dapat berkongsi pentas dengan idola-idolanya dalam program tersebut.

Kata Elyana atau nama sebenarnya, Emeelya Elyana Emrizal, dia berasa dirinya amat kerdil jika dibandingkan dengan peserta lain yang jauh lebih berpengalaman.

Antara barisan peserta GV4 yang masuk dalam kategori legenda ialah Aishah dan Liza Hanim.

Nekad ingin berkaki ayam sepanjang konsert mingguan GV4, pelantun lagu Kalis Rindu itu bagaimanapun tidak menolak akan menukar imej andai bersesuaian dengan konsep persembahan.

Bintang yang menerima trofi Gelora Vida Vaganza pada konsert minggu pertama itu turut memberitahu bahawa dia banyak menghabiskan masa di Jakarta, Indonesia untuk mengikuti usrah selain berasa senang berada di sana.


Kosmo!: Bagaimana Elyana melihat persaingan dalam GV4 kali ini?

Elyana: Kebanyakan penyanyi dalam program ini merupakan idola dan saya membesar dengan lagu-lagu nyanyian mereka. Semestinya saya berasa amat kerdil bersaing dengan nama-nama besar, namun hal itu juga memberikan motivasi yang tinggi buat saya untuk terus memberikan yang terbaik.

Apabila dapat tahu senarai peserta dalam GV4, saya menggeletar dan terkejut. Bagaimanapun, saya teruja kerana dapat berkongsi pentas bersaing dengan penyanyi legenda tanah air.

Adakah anda akan berkaki ayam pada setiap konsert mingguan?

Buat masa sekarang, saya selesa berkaki ayam. Bagaimanapun, kalau diberi lagu yang sesuai, saya juga tidak akan menolak andai memakai kasut yang sesuai di atas pentas. Saya difahamkan, ada peminat yang hadir berkaki ayam sebagai tanda sokongan kepada saya. Saya amat terharu.

Tidakkah anda mahu move on dan ingin menjadi matang dengan meninggalkan imej berkaki ayam di atas pentas?

Imej berkaki ayam adalah signatur saya. Tidak bermakna tidak pakai kasut, saya tidak matang. Insya-Allah, saya ingin menjadi seorang penyanyi yang lebih bagus dan diharapkan menerusi GV4, ia akan terlaksana.

Dikhabarkan anda sering ke Jakarta, boleh kongsikan mengapa anda ke sana?

Ya, saya selalu pergi ke Tanah Abang (Jakarta) kerana saya suka persekitaran, makanan dan masyarakat di sana. Dalam pada itu, saya mengik uti usrah di sana. Jangan risau, saya ke sana bukan berseorangan. Saya pergi bersama famili dan rakan-rakan dua bulan sekali.

Dengar cerita anda turut mengikuti kelas vokal sebagai persediaan GV4, benarkah?

Ya, saya mengambil kelas vokal kerana ingin belajar teknik nyanyian yang betul sebab sepanjang menjadi seorang penyanyi, saya memang tidak pernah mendapat pelajaran vokal yang formal. Saya sanggup berhabis wang untuk menjadi seorang penyanyi yang lebih baik.

Sejujurnya, adakah penglibatan anda dalam GV4 didorong oleh rakan seperjuangan seperti Siti Nordiana yang menjuarai musim kedua?

Sedikit sebanyak, kejayaan Nana memberi inspirasi kepada saya untuk terlibat sama dalam GV4. Seronok melihat rakan-rakan artis diberi peluang kedua untuk membina nama dalam industri. Kalau ada rezeki, saya juga ingin terus membina nama seperti rakan-rakan lain melalui program ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post