Noah membius audiens di Stadium Negara


Sudah hampir lima tahun peminat tegar Noah tidak dapat menyaksikan kumpulan berasal dari Bandung, Indonesia itu berentap dengan muzik dan emosi di atas pentas secara langsung.

Tidak hanya berjaya dari segi komersial sama ada jualan album atau puluhan trofi kemenangan dalam pelbagai anugerah dalam dan luar negara, kumpulan yang pernah dikenali sebagai Peterpan itu boleh dianggap memecah tembok serumpun dalam memperkenalkan hasil-karya mereka kepada pendengar muzik tempatan.

Begitupun, kumpulan yang bertukar nama kepada Noah pada tahun 2012 itu seolah-olah menyepi dari radar peminat muzik negara ini sehinggalah terzahirnya konsert berskala besar Noah Live in Kuala Lumpur pada 25 November lalu.

Noah yang dianggotai Nazril Irham (Ariel), Mohammad Kaustar Hikmat (Uki), Loekman Hakim (Loekman) dan David Kurnia Albert (David) tidak menghampakan peminat dengan persembahan bertenaga apabila Stadium Negara menjadi saksi bahawa kumpulan yang dahulunya dikenali sebagai Peterpan itu masih kuat aura dan menambat hati penggemar muzik tanah air.

Dalam konsert berkenaan, Noah bijak memilih lagu-lagu termasuk daripada kumpulan Peterpan untuk memastikan audiens tidak dibuai perasaan bosan dan ikut menyanyi bersama mereka dan menghangatkan suasana di dalam stadium tersebut.

Bahkan, pemilihan untaian lagu dalam konsert selama hampir dua jam tersebut membius rata-rata peminat yang terdiri daripada penonton tempatan dan warga Indonesia mencecah 10,000 orang.

Paduan pencahayaan dan sistem bunyi juga secara tidak langsung menambahkan kedinamikan persembahan Noah bagi mengubat kerinduan di Kuala Lumpur.

Tirai konsert dibuka dengan paparan klip video pada dua skrin besar di sudut tepi kiri dan kanan pentas utama. Tanpa berselindung, vokalis kumpulan Noah, Ariel meluahkan rasa rindu terhadap peminat-peminat di negara ini sebelum memulakan persembahan.

“Kalau berpisah selama sebulan dua pun sudah cukup untuk membuatkan rasa rindu. Inikan pula selepas beberapa tahun tidak ketemu,” kata Ariel.

Tanpa membuang masa, Ariel terus melantunkan lagu Seperti Kemarin dan Topeng yang mendapat tepukan gemuruh peminat.

Penonton terus dibuai dengan suara serak basah Ariel melalui lagu Hidup Untukmu Mati Tanpamu dan Ada Apa Denganmu.

Stadium semakin hangat dengan jeritan dan sorakan audiens apabila Noah mempersembahkan lagu-lagu seperti Langit Tak Mendengar, Separuh Aku, Bintang di Surga, Jika Engkau, Semua Tentang Kita, Di Atas Normal dan Yang Terdalam.


Kejutan

Ariel terus menggamit persembahan apabila meminta seorang peminat menyanyikan lagu Mungkin Nanti bersamanya di atas pentas.

Peminat yang dikenali sebagai Afiq Ashwin Zainal, 22, melahirkan perasaan teruja apabila mendapat peluang menyanyi bersama penyanyi kesayangannya di atas pentas.

Lelaki berasal dari Shah Alam itu memberitahu, dia tidak sangka dapat menyanyi bersama di atas pentas yang besar dengan disaksikan ribuan penonton.

Persembahan terus dipanaskan dengan lagu Ku Katakan Dengan Indah yang turut dinyanyikan peminat.

Noah terus mengotakan janji dalam menampilkan artis tempatan daripada genre berbeza dalam memberi kelainan menerusi konsert kali ini.

Penyanyi rap terkenal tanah air, Altimet menjadi pilihan apabila muncul menyanyikan lagu medley Khayalan Tingkat Tinggi. Lagu berkenaan mendapat sentuhan versi remix digabungkan dengan lagu Amboi.

Biarpun pada mulanya agak canggung untuk Altimet menguasai pentas, namun sebagai penyanyi rap profesional bahkan muzik rapnya cukup dikenali ramai, Altimet berjaya menyesuaikan lagu berkenaan dengan single Amboi. Lantas, penyatuan Altimet dan Ariel di atas pentas mendapat tepukan gemuruh para peminat.

Dua jam berlalu dan biarpun ada dalam kalangan peminat belum puas dengan persembahan bertenaga daripada pemuzik hebat itu, malam bersama Noah harus diakhiri dengan Tak Bisakah dan Cobalah Mengerti.

Penantian untuk Noah ternyata berbaloi dan sekiranya harus menunggu sebagaimana judul lagu mereka Seperti Kemarin, peminat akan sanggup bertahan biarpun lebih 10 tahun akan datang demi Noah.

Post a Comment

Previous Post Next Post