Mas Idayu Saya ada cara tersendiri


Mas Idayu kini giat mengibarkan bendera Malaysia sebagai juri program realiti Indonesia D’Academy Asia (DAA), di Jakarta. Bagaimanapun, nama penyanyi dangdut terkenal itu dikecam netizen gara-gara video kritikan keterlaluan terhadap anak didiknya, Baby Shima yang tular sejak minggu lalu.

Bukan itu sahaja, disebabkan video tular tersebut, nama Mas Idayu menjadi bualan khalayak. Ungkapan ‘ada nampak mummy happy?’ menjadi punchline yang amat popular dalam laman sosial.

Tidak mahu melayan kritikan berlebihan netizen, pelantun lagu Senggol Senggolan Cubit Cubitan itu bersikap tenang. Dia menerima segala cacian dan kritikan yang dilemparkan kepadanya. Katanya, dia lebih mengerti tanggungjawabnya sebagai komentator dalam program tersebut.

Belum reda isu tersebut, Mas Idayu atau nama sebenarnya, Masidayu Mesnun dikecam lagi apabila timbul pula video dirinya bergaduh dengan penyanyi Soimah Pancawati yang mendapat perhatian netizen.

Menjelaskan kepada Kosmo!, penyanyi berusia 48 itu berkata, video tersebut merupakan rakaman daripada program sama tiga tahun lalu. Mengakui terkejut apabila ramai mula mencari kesalahannya, Mas Idayu bersikap positif dan hanya ingin melunaskan tanggungjawabnya dalam program tersebut dengan baik.


KOSMO!: Adakah Mas Idayu sendiri sedar bahawa video anda memarahi Baby Shima menjadi tular di Malaysia dan dijadikan parodi orang ramai?

MAS IDA­YU: Memang kurang tahu dan saya tidak peduli tentang media sosial se­perti Instagram kecuali kalau ada orang yang memberitahu. Saya hanya melihat Instagram untuk mengetahui perkembangan seni dan kemudian saya akan tutup akaun tersebut. Tentang video yang tular atau ada yang menjadikan ungkapan tersebut sebagai parodi, saya biasa sahaja. Lucu juga kerana adik sendiri bikin video parodi, meniru suara dan gaya saya. Lagipun saya marah Baby Shima yang juga mewakili Malaysia untuk kebaikan dia juga. Jika pada pandangan orang lain ia keterlaluan, itu terserah pada penilaian masing-masing.

Tidakkah anda melihat video parodi yang tular menjatuhkan kredibiliti sebagai seorang penyanyi dan komentator pertandingan tersebut?

Pada saya, jika pembikin video parodi itu berniat buruk maka itu urusan dia dengan Tuhan. Saya cuma menjalankan tanggungjawab saya sebagai juri dan memberi teguran mengikut apa yang dirasakan perlu. Baby Shima juga tiada masalah dengan saya selepas peristiwa itu, malah hubungan kami erat seperti biasa kerana dia tahu saya menegur bukan suka-suka tetapi untuk kebaikan dia.

Maaf bertanya, bagaimana anda melihat kuasa media sosial yang sewenang-wenangnya membuatkan sesuatu perkara menjadi tular?

Untuk pengetahuan semua, komentator memainkan peranan yang amat penting dalam program DAA. Saya hanya menjalankan tanggungjawab dan ia bagus untuk rating program. Peranan dimainkan oleh komentator kemudian barulah peserta. Di situ kita harus faham konsepnya.

Bagaimana penerimaan penonton atau peminat di Indonesia berban­ding di Malaysia apabila anda bertindak menengking Baby Shima sekali gus video menjadi tular?

Penonton di Malaysia dan Indonesia berbeza. Tentang kerja, saya hanya mengikut cara sendiri kerana itulah diri saya. Namun, dalam satu hal untuk rating, saya harus memainkan peranan. Insya-Allah, satu hari nanti jika ada artis dari Malaysia diundang menjadi komentator mereka akan tahu cara program DAA beraksi. Apapun, biarlah orang ingin kata, hasilnya daripada kita bukan mereka. Saya sudah biasa dengan kritikan dan Baby Shima selepas insiden itu juga semakin popular.

Baiklah, anda tahu video anda bergaduh dengan penyanyi Soimah Pancawati juga menjadi tular sejak kelmarin (Sabtu). Apa komen anda?

Ya Allah. Itu video tiga tahun lalu, program yang sama. Itu bukan yang terbaharu. Biarlah apa orang mahu komen kerana kalau kita layan, memang tidak jalan kerja. Saya bertahan dalam program DAA selama tiga musim sebagai komentator ada sebab. Ingin puaskan hati semua orang mungkin tidak, saya ada cara sendiri. Hanya mereka yang kuat mental dan fizikal sahaja dapat duduk di bangku komentator DAA.

Post a Comment

Previous Post Next Post