Imran Ajmain, Najwa Mahiaddin 
punya pendirian


Setiap individu seni memiliki identiti dan pendirian tersendiri dalam menghasilkan karya untuk dipersembahkan kepada pendengar.

Sentuhan ditampilkan dalam hasil karya mereka dapat memberikan kelainan, sekali gus memberi nafas baharu dalam lapangan seni muzik tanah air.

Ia sudah pasti memberi pilihan kepada pendengar muzik yang sentiasa ‘disogok’ aliran muzik lentok seolah-olah mundur ke tahun 1990-an.

Dua artis berbakat, Imran Ajmain dan Najwa Mahiaddin yang berduet dalam lagu Sentiasa Merinding tidak

terkecuali memiliki kotak fikiran tersendiri untuk memberi kelainan kepada pendengar muzik.

Pendirian

Penyanyi kelahiran Singapura, Imran memberitahu bahawa sesebuah karya yang dihasilkan akan mendapat sambutan dengan menampilkan lagu berkualiti.

“Terdapat sesetengah pihak meminta saya menyanyikan lagu cover dan memuat naik video tersebut di laman YouTube.

“Terus terang saya rasa tercabar sedikit kerana perlu mengikuti strategi orang lain, malah timbul perasaan terkilan. Walaupun lama menyepi tetapi penggemar muzik saya masih ada dan setia menanti,” katanya.

Imran berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran lagu duet terbaharunya bersama Najwa

berjudul Sentiasa Merinding di SukaSucre Event Hall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pemilik nama sebenar, Imran Ajmain Ahmad Husaini Ajmain, 35, itu menambah, dengan menghasilkan sebuah karya yang berkualiti bersama strategi pemasaran yang betul, peminat sendiri akan menghargai lagu tersebut.

Katanya yang memiliki pengalaman lebih 10 tahun dalam lapangan seni, dia sama sekali tidak akan mengikuti strategi menyanyikan lagu cover untuk dimuat naik dalam laman YouTube.

Pelantun lagu Seribu Tahun itu menegaskan, dia hanya akan menyanyi lagu cover yang diminati untuk tontonan peminat ketika melakukan persembahan secara langsung.


“Sebagai pengkarya, kita sama sekali tidak boleh berputus asa dalam apa jua yang diperjuangkan. Tidak kira genre muzik rock, pop atau R&B.

“Justeru, saya dan Najwa ingin memberikan kelainan dalam lagu duet Sentiasa Merinding ini. Kami ingin memperjuangkan muzik yang digemari agar dapat dikongsi bersama pendengar,” ujarnya.

Katanya, dia bersama Najwa ingin membikin sesuatu karya yang bukan sahaja berkualiti tetapi diketengahkan sehingga peringkat global.

Trend
Dalam pada itu, Najwa yang melahirkan pandangan sama menjelaskan terdapat banyak karya-karya berkualiti dalam pasaran tanah air.

Dia menambah, ramai pemuzik yang kreatif dalam aliran indie tetapi kemungkinan tidak diberi peluang dan platform mengetengahkan hasil karya mereka.

Pelantun lagu After The Rain itu berkata demikian selepas ditebak soalan trend industri muzik tanah air yang dilihat seperti kembali kepada era 90-an.

“Saya berada pada kedua belah pihak iaitu muzik indie dan arus perdana (mainstream). Saya lihat banyak pemuzik indie yang bagus tapi mereka tidak diberi peluang.

“Barangkali kerana pengalaman yang diharungi mereka menyebabkan pengkarya-pengkarya indie ini tidak mahu memasuki aliran arus perdana.

“Kemungkinan juga mereka terpaksa berubah dan mengikut kehendak serta permintaan pihak-pihak tertentu yang mahu mengikut trend muzik semasa, jadi mereka selesa duduk dalam aliran sama,” ujarnya.

Pada hakikatnya, Najwa menjelaskan, masih terdapat banyak pendengar yang dahagakan muzik baharu untuk halwa telinga mereka.

Sebagai contoh, wanita berusia 31 tahun itu berkata pernah dituduh cuba merosakkan lagu asli Seri Mersing apabila memberi nafas baharu kepada karya berkenaan.

Dia menambah pernah dikritik apabila menyanyikan lagu tersebut dengan memberi nafas baharu termasuk mengetengahkan beberapa elemen muzik dan visual moden.

“Sejujurnya, saya tiada niat untuk merosakkan lagu berkenaan. Melodi dan lenggok saya menyanyi masih sama, cuma menambah elemen-elemen baharu kepada muzik ini.

“Niat saya murni. Ia adalah sangat penting untuk bergerak ke hadapan. Kita perlu melakukan pembaharuan agar muzik yang diketengahkan bertaraf global,” ujarnya.

Dia berkata, semua pihak perlu memainkan peranan dan memberi peluang untuk menerima sesuatu yang baharu.

Sentiasa Merinding
Menyentuh mengenai single terbaharu mereka, Najwa dan Imran tidak sabar menanti reaksi pendengar serta berharap ia dapat diterima ramai.

“Sebenarnya ia projek cukup istimewa kerana dilakukan secara tidak sengaja lebih tiga tahun lalu.

“Pada mulanya kami hanya mencuba, namun kemudiannya jatuh hati dengan hasil rakaman tersebut,” ujar Najwa.

Tambah Najwa, selepas mendengar keseluruhan rakaman lagu tersebut, dia dan Imran mengambil keputusan untuk memasarkannya.

“Saya dan Imran rasa ia sesuai untuk kami kongsi lagu tersebut bersama peminat. Jadi, kami lagukan sedikit penambahbaikan gubahan muzik agar lebih cantik untuk diperdengarkan,” ujarnya.

Najwa yang pertama kali mempertaruhkan penulisan lirik dalam bahasa Melayu berkata, rakan duetnya itu banyak memberi pandangan dan tunjuk ajar.

“Saya jarang menulis lirik dalam bahasa Melayu dan selesa menulis lirik dalam bahasa Inggeris.

“Imran banyak mengajar saya mengenai cara penulisan dalam bahasa Melayu. Bahasa yang digunakan sangat indah dan saya gembira kerana dapat mempelajari sesuatu yang baharu,” jelas Najwa.

Dia juga tidak menolak akan bekolaborasi lagi bersama Imran dalam membikin karya-karya menarik untuk peminat.

Imran Ajmain dan Najwa Mahiaddin yang berpadu tenaga dalam penghasilan lagu Sentiasa Merinding ingin sentiasa mempunyai pendirian artistik dalam membikin karya-karya baharu untuk memberi kelainan kepada pendengar.

Post a Comment

Previous Post Next Post