Ketegasan Mas Idayu jadi tarikan


Mas Idayu dan Baby Shima.

Terkejut juga membaca respons pengguna Twitter berkenaan kelantangan Mas Idayu ketika memberi komen terhadap peserta D’Academy Asia 3 dari Malaysia, Baby Shima baru-baru ini.

Rata-rata mengkritik tindakan Mas Idayu yang dikatakan keterlaluan memberi pendapat, sehingga menyebabkan Baby Shima yang baru selesai menyanyikan lagu Wulan Rindu itu menangis tersedu-sedan di atas pentas.
Pasti ramai yang dah tengok video berkenaan. Lebih-lebih lagi apabila ia menjadi tular selepas seorang selebriti Instagram memuat naik versi parodinya.

Tapi, menurut pemerhatian rambang, Mas Idayu memang bersifat lantang dalam menyuarakan pendapat. Setiap peserta menerima komen yang setimpal jika mutu vokal tidak menepati piawaian atau standard pertandingan tersebut. Malah, Mas Idayu kini katanya menjadi bahan bualan di Indonesia kerana kelantangan dan ketegasannya dalam memberi tunjuk ajar dan kritikan kepada peserta.

Bukan sahaja peserta, dengan juri lain dan hos program tersebut sekali kena ‘bantai’ dengan penyanyi dangdut tanah air kita ini. Kata Mas Idayu, kalau dia tak bagus dan tak ada kredibiliti, tidaklah pihak produksi memilih dirinya untuk duduk di kerusi juri. Jadi, suka atau tak cara dia yang agak ‘ganas’ tu, sila hadamlah ya peserta, juri lain, hos dan juga penonton.

Walaupun lantang dan tegas, tahu Mas Idayu sebenarnya berbuat begitu kerana mahu yang terbaik, bukan sahaja untuk Baby Shima tetapi juga barisan peserta lain. Maklumlah, ini pertandingan peringkat Asia, bukannya liga kampung. Jadi tentulah dia mahu melahirkan peserta yang ada kualiti dan mampu menjadi penyambung generasi pelaku seni pada masa akan datang.

Tentang Baby Shima pula, percaya walaupun mungkin kecil hati pada hari kejadian, tapi dia tak simpan dendam pada Mas Idayu. Percayalah Baby Shima, satu hari nanti awak akan berterima kasih dengan ketegasan Mas Idayu.

Post a Comment

Previous Post Next Post