Izreen Azminda belum sedia kongsi jejaka misteri


Lama tanpa sebarang cerita panas, nama Izreen Azminda kembali menggelegak apabila beberapa keping fotonya bersama seorang jejaka yang sengaja dipotong wajahnya dimuat naik di Instagram dramatis berbakat itu.

Malah, foto tersebut turut disertai dengan kapsyen romantis, sekali gus dia ditebak netizen sedang dilamun cinta
Begitu pun, gosip mula meliar apabila sebuah portal mendakwa jejaka misteri itu seorang ahli muzik yang berstatus suami orang.

Maka, kata-kata negatif mula dilemparkan kepada pelakon drama Jodoh Ke Uolls itu tanpa sempat dia mengelak atau mem­bela diri.

Sensasi Bintang cuba mendapatkan jawapan daripada mulut ibu tunggal kepada seorang cahaya mata lelaki itu mengenai dakwaan yang diperkatakan.

Bagaimanapun, Izreen mengambil langkah untuk mengunci mulut sebelum membuat pe­ngakuan pada waktu yang dirasakan bertepatan.

“Maaf sekarang saya tidak dapat membuat sebarang ke­n­yataan berhubung isu tersebut. Bagaimanapun, pada awal Disember nanti saya akan uar-uarkannya kepada semua,” ulas Izreen sekali gus menimbulkan pertanyaan adakah ia perkhabaran bahagia daripada wanita cantik itu?

Menjawab mengenai kutukan-kutukan yang dilemparkan terhadapnya, Izreen meng­anggap semua itu sebagai lumrah yang harus ditempuhinya sebagai anak seni.

“Saya tidak mahu balas apa sahaja ku­tukan yang dilemparkan. Bukan saya sahaja menerima impaknya, malah ramai lagi artis yang menerima nasib serupa (dikecam dan dikutuk netizen). Cuma saya agak terkilan kerana mereka tidak tahu apa sebenar­nya yang terjadi tetapi seolah-olah me­ngenali dan duduk serumah dengan saya.

“Buat masa ini memang saya tidak dapat beri kenyataan. Tunggu suatu masa yang sesuai saya akan menjawab dan menjelaskan segala-galanya. Bagaimanapun, saya tidak akan menjelaskannya secara terperinci ke­rana ada juga perkara yang harus disimpan kerana ia hal rumah tangga saya. Terpulang kepada netizen jika mahu terus-menerus untuk membuat sebarang spekulasi dan fitnah selepas kenyataan saya itu nanti,” ujarnya lagi.

Izreen pernah berkahwin dengan jurukamera, Muhamad Riza Baharudin pada tahun 2012 dan rumah tangga mereka berakhir pada 2014.

Hasil daripada perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak lelaki bernama Muhammad Adrian Umar yang kini berusia empat tahun.

Dalam perkembangan lain, Izreen yang pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama menerusi Anugerah Skrin 2013 itu bakal muncul menerusi dua drama terbaharu iaitu Geng Tadarus dan Orang London Balik Kampung.

Mengulas sedikit mengenai wataknya dalam drama Geng Tadarus, Izreen memberitahu, dia membawakan watak Maryam seorang yang antisosial dan hanya berkawan dengan geng tadarusnya.

“Dia juga digelar ustazah, bahkan tidak pandai bergaya walaupun mampu membeli pakaian mewah dan berjenama. Namun, dia seorang yang rajin dan suka menjamu rakan-rakan dengan pelbagai makanan ketika sesi tadarus,” jelasnya mengenai drama yang turut dibin­tangi oleh Reen Rahim, Eyka Farhana, Harris Baba dan Ashraf Muslim itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post