Aktres jelita ini menafikan desas-desus dia merancang kehamilan gara-gara belum dikurniakan rezeki cahaya mata.
Lumrah pesona sang artis, ada saja yang tidak kena pada kaca mata khalayak. Suka atau tidak, dikecam netizen tidak kira kisah karier waima sentimen peribadi sentiasa menjadi kudap-kudapan selebriti berkurun lamanya.
Aktres dan penyanyi jelita, Anis Al-Idrus juga tidak terkecuali daripada menjadi subjek perbualan haters. Terbaharu, single terbaharunya berjudul Tak Guna yang dijangka dilancarkan dalam masa terdekat juga dianggap seakan-akan memerli netizen yang berterusan menjadi wira di laman sosial sejak sekian lama.
Segera menyangkal dakwaan berkenaan, pemilik nama sebenar Sharifah Anis Syed Zainal Al-Idrus, 29, memahami dan memperbetulkan persepsi betapa lagu itu tidak dimaksudkan kepada sesiapa.
“Lagu tersebut merupakan ciptaan sepenuhnya komposer Hafiz Hamidun, jadi bait liriknya langsung tiada kaitan dengan saya. Ia juga tidak ditujukan kepada sesiapa dan sekadar sebuah lagu.
“Cuma, saya memang membuat permintaan untuk tampil dengan genre berbeza kali ini supaya ia berlainan daripada single pertama saya sebelum ini berjudul Mengapa.
“Buat masa ini, sebarang maklumat lanjut berhubung single terbaharu berkenaan hanya dapat dikongsikan sebaik ia dilancarkan kelak, jadi tunggu,” ungkapnya kepada Sensasi Bintang.
Pada masa sama, Anis juga menafikan dirinya dan suami, Mohd. Rafzan Nurhikmal Abdul Halim merancang kehamilan kerana belum dikurniakan rezeki cahaya mata sebaik bernikah pada Julai lepas seperti mana yang diperkatakan netizen.
“Kami tidak merancang keluarga, buat masa ini belum ada ‘isi’ lagi. Yang ada cuma perut dan usus,” getusnya melentur tawa di bibir.
Getus Anis, dia dan suaminya yang mesra dengan panggilan Aiman, 35, juga belum berkesempatan untuk berbulan madu kerana kesibukan karier masing-masing.
“Disebabkan itu, kami ada membuat perjanjian supaya sentiasa bertemu selepas selesai kerja.
“Lazimnya, saya akan ke pejabat suami kerana dia selalu lambat habis kerja. Jadi, kami tetap akan dapat bertemu meskipun masing-masing sibuk,” jelasnya.
Cerita Anis, dia menyerahkan segala-gala urusan berkaitan bulan madu kepada Aiman sepenuhnya.
“Soal bila akan berbulan madu, kami tidak tahu kerana masing-masing masih sibuk. Harap-harap kami akan bercuti di mana-mana pulau di luar negara,” ujarnya seraya menoktah bicara.