Pendam emosi, Nora Ariffin sibukkan diri


Tempoh hampir lapan bulan sudah tersemat rapi dalam lipatan kisah penyanyi Nora Ariffin sejak suami tercinta, Johan Nawawi berpulang ke negeri abadi pada 24 Mac lalu.

Biarpun kelat untuk ditelan dalam-dalam, namun kerinduan Nora terhadap Johan yang menjadi tulang belakang kepada kariernya selama ini tidak pernah padam, bahkan semakin hari semakin kuat membara dalam jiwanya.

Biarpun adakalanya Nora gagal mengawal emosi, namun menyedari masih ada tempat untuk bergantung dan berkongsi kasih sayang, penyanyi berusia 44 tahun itu kembali cekal melawan perasaan.

“Saya akui bukan mudah untuk mengawal emosi lebih-lebih lagi apabila perlu menguruskan keluarga bersendirian. Memang benar, menjadi ibu tunggal pada zaman serba moden ini bukan satu hal yang mudah diterjemah dengan kata-kata. Hanya yang melalui sahaja akan memahaminya.

“Selepas hampir lapan bulan arwah suami pergi, kerinduan saya terhadapnya semakin kuat. Biarpun kata orang, semakin lama seseorang itu tinggalkan kita, ia akan membuatkan kita sedikit okey dan kurang rasa rindu, ternyata tidak bagi saya,” ujarya ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama peminat di Mega Glory Hall, Bangi baru-baru ini.

Mengakui kehidupannya kini beransur pulih dan tenang, namun ibu kepada empat cahaya itu berkata, adakalanya dia masih terbuai perasaan apabila terkenangkan memori bersama arwah suami.

“Tuhan sahaja tahu bagaimana kehidupan saya tetapi setakat ini Alhamdulillah semuanya okey. Saya perlu meneruskan hidup kerana anak-anak memerlukan kasih sayang daripada ibu mereka.

“Sebab itu saya melupakan kesedihan dengan menyibukkan diri sehingga tidak sempat pun untuk melayan perasaan dan berfikir perkara sedih-sedih,” ujarnya.


Lali

Mengakui pernah menerima penghakiman kurang manis segelintir pihak yang tidak menyenangi caranya mendepani hidup dengan ceria ketika ini, Nora bagaimanapun menebalkan hati. Dia lali mendengar kata orang yang tidak mengerti perasaan dan kesusahan yang dilaluinya.

“Apabila saya sedih, contohnya menerusi perkongsian luahan perasaan di laman sosial, orang kata saya meroyan dan tidak habis-habis mahu bersedih walaupun suami sudah lama meninggal dunia.

“Namun, apabila saya cuba bangkit daripada kesedihan dan kelihatan semakin ceria, timbul pula kata-kata mendakwa saya sudah lupakan arwah. Ia membuatkan saya sedih tetapi sampai suatu tahap sudah lali dengan semua itu. Biarlah apa orang mahu kata, saya terima,” ujarnya yang mengakui tidak pernah lupa menziarahi pusara Johan setiap hari.

Mengulas tentang pertemuan bersama peminat yang diadakan baru-baru ini, Nora berkata, program tersebut adalah acara wajib yang sering diadakan bersama kelab peminat setianya selama ini.

Tidak meletakkan jurang antara artis dengan peminat, sebaliknya Nora menganggap aktiviti berkenaan sebagai pertemuan penuh bermakna bagi mengeratkan ukhuwah sesama insan.

“Alhamdulillah, majlis seumpama ini memang setiap tahun dianjurkan kelab peminat saya. Ia bukan untuk wang tetapi lebih ke arah muafakat sesama kami.

“Lagipun, inilah masanya untuk peminat bertemu dan mengenali saya dengan lebih dekat, malah peluang untuk saya mengenali kelompok peminat daripada generasi baharu yang muncul selepas menyertai program Gegar Vaganza (GV),” katanya.

Ditanya tentang perkembangan terkini karier nyanyiannya, pelantun lagu Hanya Satu itu kini muncul dengan sebuah single terbaharu berjudul Ada Dalam Tiada.

Mendapat sentuhan Sirkhan dan lirik oleh Habsah Hassan, menurut Nora, lagu tersebut ditujukan khas untuk suaminya.

“Dengar judul sahaja pun sudah dapat agak lagu ini tentang seseorang yang sudah pergi meninggalkan kita. Biarpun jasadnya tiada bersama, dia tetap berada dekat iaitu dalam hati dan doa,” jelas Nora.

Post a Comment

Previous Post Next Post