Intan Sarafina impi konsert sendiri


Sekitar 17 tahun lalu, nama penyanyi Intan Sarafina pernah berada di puncak. Ketika itu, anak kelahiran Johor Bahru, Johor berkenaan mencipta populariti dengan lagu-lagu hitnya seperti Kembali dan Duhai Malam.

Pada masa itu, lagu-lagu dendangan pemilik nama sebenar Ungku Intan Sarafina Ungku Yahya antara yang kerap diputarkan di corong-corong radio. Sehinggalah pada tahun 2008, selepas penyanyi yang mesra disapa dengan panggilan Intan itu bertemu jodoh dengan jejaka pilihan, landskap kehidupannya mula berubah.

Ketika itu, ramai yang menyangkakan bahawa pelantun lagu Selamanya itu mungkin sudah membuat keputusan untuk bersara dalam dunia nyanyian. Mana tidaknya, selepas bergelar isteri kepada Iskandar Ezzahuddin Ahmad Zulkiflee, Intan terus menyepi daripada radar dunia hiburan.

“Memang agak lama saya tidak aktif dalam dunia nyanyian selepas berkahwin. Walhal, suami sendiri tidak pernah menghalang untuk saya meneruskan minat dan kecintaan dalam dunia nyanyian.

“Cumanya, pada masa itu, saya merasakan sebaiknya biarlah saya memberikan fokus kepada keluarga terlebih dahulu. Lagipun, ketika itu saya perlu berikan perhatian kepada anak-anak yang masih kecil,” kongsi penyanyi yang kini menginjak usia 35 tahun itu.

Berubah

Sepanjang bergelar suri rumah, Intan tidak pernah terfikir untuk meninggalkan terus kerjaya yang menjadi periuk nasinya selama ini. Dek atas kecintaan yang tidak pernah pudar itulah, Intan kemudian membuat keputusan untuk meneruskan cita-cita yang sudah lama tertangguh.

Semestinya, penglibatannya dalam program realiti Gegar Vaganza pada tahun lalu, membuatkan peminat-peminatnya yang selama ini ternanti-nanti kemunculannya dapat melepaskan kerinduan terhadap Intan.

“Memang jauh beza rutin kehidupan saya kini. Pada mulanya, agak terkejut juga kerana jadual saya cukup padat hampir setiap hari sewaktu menyertai program tersebut.

“Maklumlah, selama ini banyak masa habis di rumah, tetapi apabila sudah kena kerja semula, teringat pula ketika zaman mula-mula masuk dalam industri yang perlu ke hulu dan ke hilir. Bagaimanapun, sekarang saya sudah mula dapat ikut rentak semula,” kongsi ibu kepada tiga cahaya mata iaitu Megat Evan, 8; Megat Israfel, 6, dan Megat Noah, 3.

Kongsi Intan, keputusannya untuk kembali giat dalam nyanyian selepas mengambil kira beberapa aspek. Tambahan pula, katanya, suaminya juga memberi sokongan atas apa jua yang ingin dilakukannya.

“Suami sendiri pernah tanya, apabila anak-anak sudah mula membesar, apa yang saya mahu lakukan? Lagipun, sebenarnya sebelum saya menyertai Gegar Vaganza lagi sudah terfikir untuk kembali aktif menyanyi.

“Cuma, secara kebetulan program itu menjadi platform untuk saya buat kemunculan semula. Apabila fikir semula, mengapa tidak saya kembali aktif semula memandangkan anak sulung pun sudah besar,” kongsinya sambil memberitahu dia selesa menguruskan sendiri proses menghantar dan menjemput anak dari sekolah.

Biarpun rakan seangkatan ada yang sudah pergi lebih jauh daripadanya, Intan tidak pernah berasa ralat. Baginya, dia yakin tidak ada yang mustahil untuk dirinya mengejar apa yang diinginkan selama ini.

“Saya pun tidak tahu sama ada saya ini sudah terlewat berbanding rakan lain atau tidak. Cumanya, saya akan sentiasa berusaha untuk pastikan setiap apa yang saya lakukan itu dilakukan dengan sehabis baik.

“Saya belum puas lagi menyanyi. Ada banyak yang saya mahu inginkan. Rasanya, kepuasan untuk saya sebagai penyanyi itu mungkin akan tercapai apabila saya mampu untuk mengadakan konsert sendiri. Itu yang saya cuba sasarkan,” luahnya ketika ditemui dalam satu sesi fotografi bersama Sensasi Bintang baru-baru ini.


Album

Bagi merealisasikan impiannya itu, kata Intan, banyak persediaan yang perlu dilakukannya. Biarpun melihat perjalanan untuk menggapai impian itu masih lagi jauh, Intan tidak pernah berasa lelah.

Apa yang penting, dia sentiasa cuba memberikan yang terbaik buat peminatnya, terutamanya dalam setiap karya yang dipersembahkan kepada umum.

Tidak mahu terus dibuai dengan memori lama ketika zaman kemuncaknya hampir dua dekad yang lalu, Intan mahu terus memikat golongan pendengar dan peminat generasi kini dengan buah tangan baharu.

“Adakalanya, saya terdetik juga bimbang sama ada lagu-lagu nyanyian saya ini dapat mudah diterima oleh pendengar di luar sana atau tidak.

“Atas sebab itu, sebagai penyanyi kita perlu ada material yang baik. Bagi mendapatkan sesuatu yang berkualiti sudah pasti ia mengambil masa yang lama kerana kita mahukan yang terbaik,” kongsinya.

Sudah merakamkan tiga buah single sebagai persediaan album mininya, kata Intan, ia sebagai satu permulaan baharu dalam introduksi dirinya selepas lama berdiam diri.

“Sekarang ini, saya tampil dengan single berjudul Jika Aku Untukmu. Lagu itu dihasilkan oleh komposer Farouk Roman.

“Masih lagi dengan genre balada. Belum terfikir untuk mencuba sesuatu di luar forte saya. Insya-Allah, album mini saya nanti akan dikeluarkan pada awal tahun depan,” katanya.

Ikut peredaran

Mengakui pendekatan sebagai artis sudah jauh berbeza dengan dahulu, Intan akur dia perlu mengikuti peredaran zaman.

“Sekarang boleh kata semua benda boleh diperoleh di hujung jari. Ramai yang menggunakan telefon pintar. Jadi, mahu atau tidak kita sebagai artis pun perlu ikut rentak yang sama. Kalau dahulu, media sosial tidak penting, tapi hari ini, artis sendiri perlu aktif kerana di situlah punca rezeki juga.

“Kalau ikutkan, sebelum ini saya bukanlah orang yang suka mahu mengemas kini status di media sosial. Bagaimanapun, untuk kepentingan kerja dan hubungan dengan peminat, itu semua perlu. Pendekatan artis dengan peminat sudah berbeza,” kongsinya.

Sungguhpun begitu, kata Intan, pada masa sama, dia akan tetap menjaga privasi lebih-lebih lagi melibatkan perihal keluarga.

“Saya memang ada dua akaun berbeza untuk media sosial. Satu untuk diakses kepada umum dan satu lagi akaun peribadi. Saya lebih selesa untuk memuat naik gambar anak-anak di akaun peribadi sendiri untuk tatapan ahli keluarga,” kongsinya.

Dalam perkembangan lain, kata Intan, dia bakal muncul dengan sebuah program televisyen berjudul Pesta Muda Mudi. Program tersebut merupakan sebuah program yang mengundang artis pada masa kini bagi menyemarakkan semula nostalgia zaman 1950-an hingga awal 2000.

“Dalam program itu nanti saya akan menyanyikan lagu nyanyian asal penyanyi Amelina berjudul Rindu. Semua pilihan lagu itu sudah ditetapkan oleh pihak produksi.

“Walaupun bergenre dangdut, saya perlu bawakan lagu itu juga. Pada mulanya nak minta tukar lagu lain, tetapi tak boleh pula,” selorohnya yang memberitahu program tersebut akan disiarkan menerusi saluran Astro Ria.

Post a Comment

Previous Post Next Post