Ferhad mahu terus versatil


Ferhad mahu dilihat sebagai seorang penyanyi yang berkebolehan membawakan pelbagai jenis genre muzik dan bukan hanya R&B.

Lebih sedekad yang lalu, nama penyanyi Ferhad pernah meniti di bibir peminat dek populariti lagu Kasih Berubah dendangannya. Sejak kemunculannya dalam persada industri hiburan tempatan, Ferhad memang sudah cukup sinonim dengan lagu-lagu genre R&B. Dengan erti kata lain, genre tersebut boleh dikatakan sudah menjadi ‘makanan’ buat dirinya.

Bagaimanapun, seiring dengan perkembangan trend muzik, penyanyi yang kini menginjak usia 46 tahun itu akur dengan kehendak pasaran muzik pada masa kini. Justeru, katanya, sebagai penyanyi, dia perlu menjadi seorang yang versatil.

Ini kerana, setiap pendengar mempunyai cita rasa muzik yang berbeza. Justeru, jika seorang penyanyi boleh membawakan kepelbagaian jenis lagu, itu secara tidak langsung dapat memberi kelebihan kepada penyanyi tersebut.

“Dalam setiap undangan persembahan nyanyian yang saya lakukan, saya bukanlah menyanyikan lagu bergenre R&B sahaja. Sebolehnya, saya cuba selitkan pelbagai jenis genre muzik yang saya bawakan.

“Cumanya, walaupun lagu itu merupakan lagu orang lain, saya akan menyanyikan lagu itu mengikut gaya saya sendiri. Apa yang penting, sebagai penyanyi perlu ada kemahiran untuk kita bawakan genre berbeza dengan sentuhan kita sendiri,” katanya ketika ditemui Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.

Menurut penyanyi kelahiran Singapura itu, penyanyi yang versatil memberi kelebihan kepada seseorang untuk mempunyai nilai pasaran dan permintaan yang tinggi.

Bagaimanapun, pada masa sama, katanya, dia perlu mengambil risiko untuk berdepan dengan persepsi orang mengenai cara pembawaan lagu dalam setiap persembahannya.

“Apabila kita menyanyikan lagu bergenre lain daripada kebiasaan, sudah pasti, orang akan cuba menilai keupayaan diri kita. Kita harus berdepan dengan persepsi orang sekeliling terutama pendengar atau penonton yang mungkin tidak boleh menerimanya,” kata Ferhad yang turut menjadi salah seorang peserta Gegar Vaganza pada tahun ini.

Biarpun tidak berjaya meneruskan perjuangan dalam program realiti tersebut selepas tersingkir pada minggu lalu, kata Ferhad, program itu merupakan platform terbaik buat artis lama sepertinya.

“Dengan program seperti itu secara tidak langsung ia dapat menghubungkan semula penyanyi dan peminat. Sesuatu yang menarik kerana saya sendiri sudah lama tidak muncul membuat persembahan di kaca televisyen.

“Selama ini, saya hanya banyak memenuhi undangan nyanyian untuk majlis-majlis korporat sahaja. Sebelum ini, orang mungkin tertanya-tanya di mana saya, sebenarnya saya ada sahaja di sini. Bahkan, saya memang menetap di sini,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post