Fazura Lancar Album Solo


Sesebuah impian yang berjaya direalisasi pastinya menjadi antara momen paling berharga dalam hidup. Apatah lagi angan-angan yang tersemat sejak sekian lama itu akhirnya membuahkan hasil yang tidak pernah disangka-sangka.

Itulah yang boleh disimpulkan Fazura yang mengakui impian mahu melahirkan album solo merupakan antara momen paling bermakna sepanjang bergelar anak seni. Kongsi bintang drama Hero Seorang Cinderella ini lagi, sedari awal dia cukup meminati dunia nyanyian selain lakonan.

“Memanglah setiap filem atau drama yang saya buat merupakan sebuah masterpiece istimewa dalam hidup saya. Masih ramai ingat dengan Gol & Gincu, Pisau Cukur dan sebagainya. Happy bila peminat masih tahu filem tersebut biar ia sudah lama ditayangkan.

“Bagaimanapun, bila lahirnya album sulung ini, saya turut anggap ini sebagai hadiah teristimewa daripada saya untuk peminat. Kalau dulu saya hanya lancar single, tetapi kini siapa sangka, akhirnya saya sudah ada album sendiri. Alhamdulillah, proses rakaman album dipermudah. Teruja dan gementar lihat sejauh mana penerimaan pencinta muzik kita,” kata Fazura kepada Media Hiburan.

Menyifatkan album yang berjudul Fazura itu sebagai projek eksklusif bersama komposer ternama dari Malaysia dan Indonesia, aktres ini juga mengakui album tersebut sepatutnya dilancarkan September lalu.

Namun, tarikh itu terpaksa dianjakkan ke November atas kekangan masa.

“Memang agak rushing juga sebab jadual padat. Selesai saja penggambaran, saya terpaksa rakam lagu pada sebelah malam pula. Apa pun syukur kerana semua berjalan seperti dirancang dan dipermudahkan, Alhamdulillah,” jelas Fazura.

Kongsi Fazura, sudah tentu setiap penyanyi gemuruh apabila diamanah untuk menyampaikan lagu hasilan komposer yang disegani.

Bagaimanapun Fazura jelaskan, situasi itu tidak berlaku kerana rata-rata beri sokongan dan keyakinan dia boleh bawa lagu mereka dengan baik.

“Sudah semestinya tidak boleh nak sembunyikan rasa gementar. Mereka sudah ada nama dalam bidang penciptaan lagu sementara saya pula masih baru dalam nyanyian. Takut kalau kena herdik atau kena kritik dengan mereka. Tapi Alhamdulillah, rasa tersebut bertukar jadi seronok sebab setiap minit bekerjasama dengan mereka adalah suatu tempoh yang banyak mengajar.

Mereka banyak membantu, kongsi tip dan paling penting, mereka memberi kepercayaan dan keyakinan pada saya.


“Nak dikatakan tertekan tu memanglah ada. Tapi bila mereka tunjukkan rasa percaya, ia membuatkan saya lebih yakin dan selesa. Misalnya bila saya rasa sukar untuk capai note yang agak tinggi, mereka kata saya mampu untuk lakukan saya atas dorongan itulah, saya cuba sehabis baik dan Alhamdulillah, mereka berpuas hati,” luah Fazura.


Reset minda di Iran

Dalam perkembangan lain, pelakon filem Ayat-Ayat Cinta 2 ini juga baru sahaja pulang dari Balkan demi memenuhi komitmen terhadap drama terbaru, Lahzeye Bi Payan arahan Bernard Chauly yang bakal ditayang di saluran Astro First tidak lama lagi.

Selain bercerita mengenai wataknya dalam filem itu, Fazura juga terharu dan tersentuh hati apabila menjejakkan kaki ke sana.

“Lebih dua minggu kami berkampung di Iran. Banyak pengalaman baru saya kutip. Misalnya dari segi gaya hidup dan menu di sana.

Kiranya ia boleh dikatakan sebagai kesedaran dan reset button untuk saya juga. Iran adalah negara Timur Tengah yang cukup indah.

Saya sendiri tidak pernah terfikir sampai ke sana. Malah, kebanyakan komen yang saya baca di media sosial pun harapkan saya pulang dengan selamat ke tanah air. Alhamdulillah, kami pulang dengan selamat.

“Apa pun, saya sendiri sebenarnya sudah lama mahukan trip yang boleh reset diri saya sebagai manusia. Jadi bila pulang ke Malaysia, rasa berfikir kita sepatutnya bersyukur dengan apa kita ada,” akhiri Fazura jujur.

Post a Comment

Previous Post Next Post