Improvisasi rock Prime Domestic


Latar Belakang - Pernah membina karier bersama kumpulan berbeza kini lima lelaki (dari kiri) Ainol, Aweera, Joe, Hillary dan Fauzi membentuk jenama baharu dengan penuh keyakinan diterima sebagai pemuzik rock.

Biarpun, terdapat keyboard warrior mendakwa Prime Domestic mempunyai persamaan dengan kumpulan legenda rock terkenal tanah air Wings dan Search. Tunjang utama kumpulan yang dilahirkan pada tahun 2012 itu, Joe atau nama sebenarnya, Abd. Zamin Abd. Kadir menolak dakwaan tersebut.

Prime Domestic mengetengahkan genre rock tetapi bukan rock biasa yang boleh dipandang enteng apatah lagi dianggotai dua gitaris tersohor tanah air, Joe dan Hillary Ang. Petikan gitar dua legenda itu sentiasa menjadi ikutan anak-anak muda seawal tahun 1980-an lagi.

Selain dua legenda tersebut, kumpulan yang bakal muncul dengan album sulung berjudul Prima Domestika itu turut dibarisi pemain bes handalan Syed Ahmad Fauzi Syed Zain yang merupakan bekas anggota NRG dan Search.

Pemain dram penuh bertenaga, Ainol Eqraf Ramli yang merupakan bekas anggota kumpulan Kristal dan Deja Voodoo Spells turut diserapkan dalam kumpulan baharu itu.

Tidak lengkap sebuah kumpulan rock tanpa pelantun vokal, penyanyi muda berbakat Nasharul Aweera Noriyissham atau lebih dikenali Aweera menjadi pilihan Prime Domestic dalam menyampaikan karya-karya mereka.

Tiada bayangan Wings, Search

Joe menegaskan muzik Prime Domestic mempunyai kelainan tersendiri berbanding kumpulan yang cukup sinonim dengan dirinya iaitu Wings.

“Pendengar dapat mendengar kelainan tersebut apabila memiliki album sulung Prime Domestic berjudul Prima Domestika. Album sulung ini sama sekali tidak sama dengan album Wings mahupun Search.

“Kadang-kadang mungkin pendengar akan merasakan terdapat pengaruh saya dan Hillary sehingga mengingatkan kembali zaman ketika bersama dua kumpulan terbabit,” katanya.

Bagaimanapun, Joe menyifatkan Prime Domestic mempunyai ramuan tersendiri untuk menambat hati penggemar muzik rock tanah air.

Katanya, himpunan lagu dalam album sulung Prime Domestic dibikin khusus untuk persembahan secara langsung.

“Kumpulan rock perlu melakukan persembahan secara langsung. Semasa pembikinan album, saya meletakkan diri sebagai aundiens yang akan menyaksikan persembahan band di atas pentas.

“Justeru, album yang mengandungi 10 buah lagu, termasuk sebuah lagu instrumental itu bukan dibikin untuk suka-suka tetapi membolehkan audiens menyanyi bersama,” ujarnya lagi.

Konsert dalam taman

Dalam pada itu, lelaki yang lebih dikenali sebagai Joe Wings atau Jo Branko itu menjelaskan, Prime Domestic akan bergabung tenaga bersama kumpulan legenda rock legenda tanah air, XPDC dalam sebuah konsert pada 9 Disember depan di Oasis Square, Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Katanya, konsert yang diberi nama Public Distortion 2017 tersebut akan mengetengahkan konsep di dalam taman untuk memberi pengalaman baharu kepada khalayak dengan sistem bunyi sekeliling (surround sound system) dan penataan cahaya menarik.

“Konsep berkenaan ingin direalisasikan kerana ingin memastikan khalayak terhibur dengan persembahan Prime Domestic dan XPDC dalam suasana santai tanpa rasa terkongkong. Mereka juga boleh membawa keluarga untuk bersama-sama menikmati persembahan kelak,” ujarnya.

Ditanya mengenai kelainan konsert berkenaan, Joe menjelaskan, sistem bunyi sekeliling yang diaplikasikan merupakan antara kelainan untuk memberi impak kepada audiens.

“Saya merasakan ini merupakan kali pertama sistem bunyi sekeliling diaplikasikan dalam sebuah konsert.

“Apabila audiens menyaksikan konsert ini kelak, ia seperti berada di dalam pawagam.

“Alunan muzik yang didendangkan akan kedengaran daripada depan, tepi dan belakang. Itu yang mahu kami berikan, sesuatu yang dapat dijadikan memori kepada penonton,” katanya.

Gitaris kidal legenda itu menambah konsert berkenaan tidak mempunyai sebarang gimik tertentu untuk menarik minat audiens malah akan mendendangkan himpunan lagu-lagu daripada album sulung, Prima Domestika.

Selain itu, dia tidak menolak akan mempersembahkan lagu-lagu daripada kumpulan Wings dan Search.

Biarpun, konsert berkenaan tidak mempunyai gimik, persembahan yang akan mengambil masa kira-kira tiga jam tersebut bakal memiliki jalan cerita tersendiri.

“Kalau hendak tahu jalan ceritanya, audiens perlu datang sendiri menyaksikan konsert Public Distortion 2017,” katanya sambil ketawa.

Tekanan

Sementara itu, Aweera tidak menolak dibuai perasaan tertekan sejak bergelar vokalis kumpulan Prime Domestic sejak awal tahun ini.

“Saya akui terdapat satu tekanan tersemat di dalam jiwa. Saya ingin memberikan yang terbaik kepada kumpulan baharu yang dianggotai ‘otai-otai’ seni tanah air.

“Saya tidak pernah bermimpi dapat bersama dengan penggiat seni yang sudah lama berkecimpung dalam lapangan rock. Saya membesar dengan alunan petikan gitar Joe dan Hillary. Mereka merupakan idola saya,” kata Aweera seraya melemparkan senyuman.

Aweera juga tidak dapat membayangkan dirinya bersatu tenaga sebagai sebuah kumpulan dengan nama-nama hebat tersebut untuk mengadakan persembahan di atas satu pentas.

Bekas vokalis kumpulan Mojo itu bagaimanapun mengambil pendekatan positif menangani debaran yang dirasainya.

Baginya, cabaran tersebut adalah sebahagian daripada proses pembelajaran dalam menyesuaikan diri dalam kumpulan baharu.

Katanya, ia sama sekali berbeza berbanding menjadi penyanyi solo mahupun ketika bersama Mojo.

Lantas, lelaki berusia 26 tahun itu nekad menjadikan Prime Domestic sebagai lembaran baharu dalam karier nyanyiannya.

“Sebagai permulaan, saya akan memanfaatkan kesempatan dikelilingi legenda muzik tanah air untuk mempelajari selok-belok dan lenggok lapangan muzik tempatan dengan lebih mendalam.

“Saya tidak merasakan diri bagus dan masih orang baharu dalam bidang ini. Banyak lagi yang perlu saya baiki dan pelajari dalam industri muzik tanah air,” ujarnya.

Bekas peserta program realiti One In A Million musim ketiga itu memberitahu, Prime Domestic telah membuka jalan untuknya merasai pengalaman baharu merakamkan album penuh dalam sebuah kumpulan.

“Sebelum ini, saya hanya berpeluang merakamkan single tetapi bersama Prime Domestic dapat menikmati momen merakamkan album penuh.

“Selain itu, saya juga banyak belajar daripada perspektif susunan muzik, kawalan vokal dan kebersamaan dalam sebuah kumpulan rock,” ujarnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post