Andi Bernadee Cadang rakam semula lagu Tak Tun Tuang


Tiada Lagi Maaf merupakan single pertama Andi Bernadee

Tiba-Tiba nama anak muda ini, Andi Bernadee menjadi sebutan di media sosial apabila dia menyanyikan semula lagu Tak Tun Tuang nyanyian asal Upiak Isil secara parodi.

Gelagatnya yang selamba dan bersahaja di dalam klip video tersebut telah menarik perhatian ramai terutama daripada kalangan wanita.

Andi ketika dihubungi memberitahu bahawa dia rakamkan lagu parodi tersebut sekadar hanya untuk suka-suka.


“Saya tak jangka langsung akan dapat perhatian seperti ini. Mula-mula letak di Instagram sahaja, dalam masa dua jam, banyak respons yang diterima. Eh, saya dah rasa lain macam.

“Kemudian saya cuba pula letak di Facebook, dalam masa 12 jam itu saya perasan ramai yang komen dan dah mula share.

“Bila dah viral seperti ini, saya terkejut sebab ketika saya rekod video tu, betul-betul baru bangun tidur, tak mandi lagi dan bukan menyanyi bersungguh-sungguh pun.

“Jadi bila viral, saya tak tahu nak cakap apa. Walau apa pun saya tetap gembira dengan perkembangan yang tak disangka ini,” jelasnya.


Tambah Andi, bagaimanapun dia tetap tidak boleh terlalu teruja kerana ada juga yang mengecam dan memberikan komen-komen yang menyakitkan hati seperti nak pijak muka dan sebagainya.

Namun bagi Andi, dia anggap itu sebagai lumrah.

Anak muda kelahiran Sabah ini juga tak kisah jika dikenali melalui lagu ini kerana dalam tempoh setahun bergelar artis, Andi akui masih agak kurang dikenali.

“Mungkin ini tuah, jika dengan cara ini boleh bantu perkenalkan nama saya dalam industri, saya ok sahaja. Terima kasih kepada mereka yang bantu tularkan video ini,” katanya sambil ketawa.

Lagu Tak Tun Tuang itu merupakan sebuah lagu yang ringkas dan catchy. Justeru, Andi berpendapat bahawa orang-orang sekarang dah penat dengan lagu-lagu berat dan mahu dengar lagu-lagu yang santai sahaja.

“Insya-ALLAH, semuanya masih dalam perbincangan lagi. Jika berjalan lancar, kemungkinan besar saya akan rakamkan semula lagu Tak Tun Tuang ini tapi dengan cara saya sendiri,” ujarnya.

Andi mula menempa nama apabila dia banyak melakukan lagu-lagu ‘cover’ di aplikasi SMULE. Andi juga telah meraih ramai peminat dari Indonesia.

Post a Comment

Previous Post Next Post