Farid Kamil rujuk adik


Satu kelebihan untuk mereka yang bergelar pelakon ini adalah mendapat peluang untuk mendalami pelbagai jenis watak dan kerjaya.

Katakan apa sahaja, dari kerja pejabat, kerja berat sehinggalah kerja-kerja yang menjadi idaman ramai seperti doktor, peguam, juruterbang, semua boleh dirasai jika diberi peluang.

Namun itu tidak bermakna, setiap pelakon boleh membawa watak yang diberikan secara semberono sahaja kerana masih ada yang memerhati sama ada mereka benar-benar menjiwai watak dan perwatakan atau mengikut pemahaman sendiri sahaja.

Begitu jugalah kisahnya dengan aktor berbakat besar, Farid Kamil yang merujuk bapa dan adiknya bagi mendalami watak sebagai seorang doktor bernama Hasnan dalam filem terbaru lakonannya, Pinjamkan Hatiku.

Biarpun peranannya sebagai doktor tidak terlalu besar di dalam filem berkenaan, namun ia bukan alasan buat aktor berusia 36 tahun ini mengambil mudah untuk membawakan peranannya.

"Dahulu ayah saya mahu saya bergelar doktor sama sepertinya, tapi nak buat macam mana minat saya lebih terarah pada bidang seni. Namun ada seorang adik saya yang menjadi doktor.

"Jadi bagi memastikan saya dapat menjiwai watak doktor dengan baik, saya banyak merujuk kepada mereka tentang etika dan cara seorang doktor bekerja.

"Malah sebelum penggambaran bermula, saya juga menjalani latihan bersama seorang doktor mengenai cara-cara melakukan pembedahan, memegang alatan yang betul.

"Walaupun babak melibatkan pembedahan itu hanya sekejap sahaja, tapi penggambaran dilakukan sehari suntuk juga.

"Apa yang penting saya rasa puas kerana pengalaman itu cukup berharga buat saya," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.


Selain Farid, filem Pinjamkan Hatiku turut diterajui Shaheizy Sam, Ayda Jebat, Lia Natalia, Normah Damanhuri dan ramai lagi. Filem arahan Osman Ali ini akan menemui penonton di pawagam pada 30 November depan.

Selain merujuk pakar perubatan, Farid juga berpeluang berguru ilmu lakonan bersama bintang yang disegani, Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy.

Jelas Farid, sebelum penggambaran dimulakan, mereka memasuki kelas lakonan bersama Ogy dan bintang tersebut banyak membantunya menyampaikan watak Dr Hasnan dengan lebih mendalam.

"Dia terangkan saya satu persatu mengenai watak Dr Hasnan agar saya lebih mudah faham dan dapat apa yang dia mahukan.

"Bila dia uji saya dan kemudian puji bila saya dapat lakukan apa yang dia mahu, ia ibarat satu penghormatan untuk saya.

"Banyak ilmu berguna yang saya timba sepanjang memasuki kelas lakonan bersama," katanya yang tidak kisah dengan penerimaan penonton melibatkan babak romantis bersama Ayda.

Dalam perkembangan lain, Farid berkata, selain sibuk dengan promosi filem ini, dia juga masih sibuk dengan penggambaran drama bersiri 32 episod, Lafazkan Kalimah Cintamu untuk siaran Astro.

Selain itu, selepas selesai semuanya, dia akan terlibat dengan proses pre production untuk sebuah filem baru yang masih dirahsiakan judulnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post