Alif baru sahaja melancarkan single keduanya, Buat Selamanya di SukaSucre Event Hall, Kuala Lumpur Selasa lalu.
Landskap industri muzik pada masa kini menyaksikan lagu-lagu genre balada, khususnya yang digarap secara mendayu-dayu semakin mendapat tempat di hati peminat.
Tidak hanya diamalkan oleh penyanyi baharu, trend tersebut turut diaplikasikan oleh penyanyi lama bagi mengekalkan pengaruh dalam kalangan pendengar.
Sungguhpun fenomena lagu-lagu mendayu dianggap oleh sesetengah pihak dapat mengembalikan semula warna industri hiburan tempatan, namun bagi penyanyi dan komposer muzik, Alif ia bukanlah suatu acuan muzik yang mampu bertahan lama.
Alif yang juga bekas ahli kumpulan Sleeq ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu, Buat Selamanya di SukaSucre Event Hall, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, trend tersebut akan pudar dan ia akan digantikan dengan genre muzik lain pada masa akan datang.
Sebagai penerbit dan komposer muzik, lelaki kelahiran Singapura itu yakin generasi baharu yang akan menjadi pelapis bakal memberi kelainan dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Alif atau nama sebenarnya, Muhammad Alif Abdullah, 28, turut menjelaskan bahawa isu keganasan rumah tangga yang diketengahkan dalam single Buat Selamanya tiada kena mengena dengan dirinya atau kenalan rapat.
KOSMO!: Tahniah Alif atas pelancaran single terbaharu anda. Menerusi lirik Buat Selamanya, ia berkisar tentang isu keganasan rumah tangga. Adakah ia diadaptasi daripada kisah peribadi atau bagaimana?
Terima kasih. Lirik lagu Buat Selamanya merupakan rekaan semata-mata. Saya cuba untuk menulis sebuah kisah cinta yang bukan bertemakan kesedihan tetapi lebih ke arah cinta yang dialami oleh kebanyakan orang.
Selain lirik yang berbeza, apakah keistimewaan lagu berkenaan berbanding naskhah anda yang lain?
Lagu ini dicipta tidak berlandaskan genre hip-hop semata-mata. Pada masa sama, ia bukanlah lagu yang memerlukan saya menyanyi seperti penyanyi lagu balada. Ia merupakan sebuah karya yang seimbang.
Selepas berpecah daripada kumpulan Sleeq pada 2015, anda pernah muncul dengan sebuah single berjudul Mama. Kemudian, kelibat anda jarang dilihat dalam mana-mana majlis anugerah mahupun di kaca televisyen. Adakah anda memutuskan untuk berehat selepas kemunculan lagu Mama?
Tidak sama sekali. Saya masih ada, cuma tidak aktif menyanyi. Saya ‘terperap’ di studio untuk mencipta lagu bagi penyanyi lain. Selain Kaka Azraff dan Liyana Jasmay, saya sedang bekerjasama dengan Adira dan Ziana Zain.
Anda kerap mencipta lagu-lagu berentak rancak dan urban walaupun kehendak pasaran pada masa kini tertumpu kepada lagu-lagu balada. Adakah anda tidak berasa rugi apabila gagal bersaing aliran genre dengan komposer lain?
Saya hanya akan berasa rugi jika tidak mencuba untuk mencipta sesuatu yang di luar kotak. Saya faham kehendak industri pada masa kini, namun lagu-lagu balada yang popular sekarang tidak kekal lama. Ia akan berubah seiring dengan waktu terutama apabila generasi muda kini terdedah dengan kemajuan teknologi.
Adakah disebabkan lagu-lagu sedemikian menyebabkan anda sedikit terhalang untuk berkarya?
Sejujurnya, memang ada beberapa label muzik yang meminta saya mencipta lagu balada. Begitupun, saya tidak mahu terikat dengan trend kerana berasa bertanggungjawab untuk masa depan dunia hiburan.
Buatlah sesuatu yang berlainan kerana industri muzik kita tidak banyak persaingan. Jika kita cabar diri, mungkin kita akan dapat menghasilkan sesuatu yang unik dan luar biasa.