Pelakon Afifah Nasir menegaskan tidak mahu lagi mengungkit kisah lalu berkaitan kontroversi yang pernah berlaku ke atas dirinya dengan Aliff Aziz dan isteri sebelum ini.
Meninggalkan jauh apa yang berlaku itu sebagai pengajaran berguna buat dirinya, Afifah kini mahu memberikan sepenuh perhatian kepada kerjaya lakonannya.
Meski ada yang beranggapan kontroversi tersebut telah menjejaskan kerjaya lakonannya kerana dilihat agak senyap selepas apa yang berlaku itu, Afifah menafikan perkara tersebut.
“Saya tidak merasakan kerjaya terjejas selepas kejadian tersebut kerana semuanya masih berjalan seperti biasa baik sebelum mahupun selepas kejadian.
“Tak perlulah saya nak tunjuk kat semua orang yang saya sedang bekerja semata-mata nak tutup mulut orang kerana apa yang penting bagi saya, kerjaya berjalan seperti biasa.
“Malah tawaran-tawaran yang telah dipersetujui lebih awal sebelum kejadian itu juga pun tetap diteruskan tanpa sebarang masalah,” katanya yang bakal muncul dalam drama 70 episod, Syurga Yang Kedua.
Tambah Afifah lagi, dia sebolehnya tidak mahu lagi menyebut atau memberikan komen tentang apa yang pernah berlaku sebelum ini meskipun ada pihak yang mendakwa perkara tersebut masih dibangkitkan.
“Saya sebolehnya tidak mahu lagi mengungkit kisah lama. Terpulang orang nak cakap apa, tetapi di pihak saya semua itu sudah berlalu dan saya nak move on.
“Tak guna pun kalau kita masih lagi nak bergaduh, sampai bila? Jadi saya memang dah lupakan apa yang telah berlaku dan tidak menyimpan apa-apa dendam.
“Kita belajar daripada apa yang berlaku itu untuk menjadi orang yang lebih baik pada masa akan datang,” tegasnya yang ditemui ketika majlis pelancaran drama Chor & Chah musim kedua petang tadi.