Bella Astillah 
lupakan kontroversi


Aliff, Bella dan anak mereka, Ayden.

Nama Bella Astillah pernah memanas akibat kontroversi melibatkan suaminya, pelakon dan penyanyi Aliff Aziz dengan pendatang baharu Afifah Nasir.

Namun tidak lama kemudian, wanita itu dilihat semakin matang dan sudah mampu meneruskan kehidupan seperti biasa bersama suami yang dinikahi sejak September 2016 dengan bahagia.

Menelusuri kehidupannya, bagi sesetengah pihak, nama Bella hanya dikenali akibat insiden berkenaan, namun siapa tahu, Bella Astillah sebenarnya terlebih dulu dikenali sebagai penyanyi.

Pemilik nama penuh Dayang Ara Nabellah Awang Astillah itu bagaimanapun selesa menguruskan keluarga lebih-lebih lagi selepas cahaya mata sulungnya, Mohamad Ayden Adrean lahir pada 8 Julai lalu.

Ditemui ketika majlis pelancaran kosmetik IamDNM by Datuk Nadia Marni di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur baru-baru ini, wanita berusia 23 itu berbicara tentang perkembangan terkini dirinya.


KOSMO!: Apa khabar Bella, boleh kongsi perkembangan terkini anda?

BELLA: Alhamdulillah saya sihat. Saya kini sibuk menguruskan keluarga dan jadual seni Aliff. Aliff sedang giat berlatih di gimnasium demi memenuhi tuntutan watak yang perlu dijayakan dalam drama Perempuan Melankolik. Saya harus memastikan dia mengikuti jadual pemakanan yang betul setiap masa. Pada masa sama, saya juga sibuk menjaga anak sulung kami, Mohamad Ayden Adrean yang kini sudah berusia empat bulan.

Bagaimanakah kehidupan anda selepas kelahiran Ayden dan bergelar ibu muda?

Sejak dahulu saya memang sukakan kanak-kanak. Apabila dikurniakan anak sendiri, naluri keibuan itu menjadi lebih teruja. Ayden juga merupakan cucu sulung dalam keluarga saya dan Aliff, hal itu membuatkan dia sentiasa disayangi dan dirindui oleh atuk dan neneknya. Begitupun, satu hal yang saya perasan, biarpun masih muda tetapi saya mengalami masalah mudah lupa selepas melahirkan anak.

Adakah Ayden ada menerima sebarang tawaran menjadi duta produk seperti anak pasangan artis lain. Adakah anda bersikap terbuka dengan tawaran sedemikian?

Buat masa ini memang saya dan Aliff tidak menerima sebarang tawaran untuk Ayden menjadi duta. Saya mahu dia membesar seperti bayi biasa. Bukan itu sahaja, sebagai ibu bapa, saya dan Aliff juga akan cuba mengelakkan penggunaan gajet sepanjang proses pembesaran Ayden.

Beralih terhadap aktiviti seni, biarpun nama anda tidak sebesar nama Didi Astillah (adik), namun rata-rata peminat mengetahui kebolehan anda bernyanyi. Tidak berasa rindu untuk masuk ke bidang berkenaan semula?

Sejujurnya memang rindu kerana nyanyian merupakan bidang yang saya minati sejak kecil. Saya pernah menerbitkan sebuah album kanak-kanak dan penyanyi dalam majlis-majlis khas.

Bagaimanapun selepas berkahwin, kami memang tidak pernah berbincang soal ini kerana Aliff tidak selesa saya berada dalam bidang seni. Saya juga pernah ditawarkan untuk berlakon tetapi terpaksa tolak kerana memikirkan Ayden yang masih kecil dan memerlukan perhatian sepenuhnya.

Jadi, anda selesa bergelar suri rumah sepenuh masa dan meninggalkan minat yang disimpan sejak kecil?

Memang harapan keluarga juga mahukan saya menjadi penyanyi tetapi jodoh sampai awal. Saya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak, jadi tidak mahu pertikaikan aturan yang telah ditetapkan Allah.

Lebih baik saya fokus kepada keluarga. Jika menyanyi sekali pun, saya hanya lakukannya dengan suami.

Maaf bertanya perihal peribadi yang melibatkan kontroversi dalam rumah tangga anda bersama pelakon Afifah Nasir beberapa bulan lalu. Selepas kejadian berkenaan, mungkin ada sesuatu yang hendak anda kongsikan?

Saya sudah mengambil keputusan untuk tidak terus memikirkan atau memanjangkan hal itu. Saya yakin masyarakat juga sudah bosan dengan perkara itu. Saya tidak mahu memikirkan hal tersebut kerana enggan tertekan sehingga menyebabkan badan menjadi kurus.

Bagaimanapun, saya sering mendapat sokongan positif daripada peminat dan mendoakan kebahagiaan kami. Bagi saya semua orang buat silap, perkara yang terjadi tempoh hari biarlah dijadikan pengajaran untuk Aliff. Saya tidak boleh membencinya kerana dia tetap ayah kepada anak saya.

Post a Comment

Previous Post Next Post