Datuk Afdlin Shauki menghulurkan bungkusan bekalan makanan asas kepada pelarian di Bangladesh.
Penerbit dan pelakon Datuk Afdlin Shauki menyeru agar rakyat Malaysia terus menghulurkan sumbangan bagi membantu etnik Rohingnya yang menjadi pelarian di Bangladesh dan hidup dalam serba kekurangan.
Afdlin berkata, pengalaman selama lima hari menerusi misi kemanusian di tiga buah kem pelarian etnik itu di Cox Bazar lebih teruk daripada jangkaan terutama bekalan makanan tidak mencukupi.
"Pasukan kami melawat ke tiga buah kem iaitu Bhalukhali, Thangkali, Khutupalong dan dari pemerhatian keadaan lebih teruk daripada apa kami jangkakan.
"Bayangkan agihan 1,000 bekalan makanan di setiap kem dengan menggunakan kupon memang tidak cukup kerana yang beratur melebihi apa yang kami bawa.
Pelarian di kem beratur untuk mendapatkan bekalan makanan.
"Melihat ramai berpusu-pusu merayu agar diberikan makanan membuatkan kami berasa sedih dan sedar bahawa bantuan berterusan perlu diberikan kepada mereka," katanya kepada mStar Online.
Afdlin berangkat ke Bangladesh pada 5 hingga 9 November lalu bersama pasukan Yayasan Afdlin Shauki, Yayasan Kubra dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dalam misi menghulurkan bantuan kepada pelarian Rohingnya di Bangladesh.
Sebanyak 3,600 bungkusan makanan keperluan asas diagihkan di tiga kem pelarian dalam misi mengurangkan beban ditanggung etnik itu.
Menceritakan pengalaman di Bangladesh, Afdlin berkata, setiap hari sekurang-kurangnya 5,000 pelarian tiba di kem-kem disediakan sehingga menyebabkan keadaan bertambah sesak.
Wajah kanak-kanak yang tidak berdosa menjadi mangsa dan hidup sebagai pelarian.
Malah keadaan kem yang kurang memuaskan membuatkan situasi bertambah buruk terutamanya bagi kanak-kanak dan golongan wanita.
"Keadaan memang tidak selesa dan terlalu ramai kerana setiap hari akan ada sahaja pelarian baru tiba membuatkan keadaan bertambah sesak.
"Memang menyayat hati melihat keadaan mereka kerana ditindas kerajaan Myammar sehingga terpaksa hidup sebagai pelarian," katanya.
Atas dasar itu juga, Afdlin berkata, dengan sokongan daripada Yayasan Kubra, MAPIM dan beberapa NGO berkaitan pihaknya berhasrat untuk membawa misi ke Bangladesh sekali lagi pada masa akan datang.
Afdlin bersama pasukan misi kemanusian dari Malaysia.
Jelas Afdlin mereka merancang untuk membawa bekalan makanan selain keperluan asas lain termasuk selimut selepas menilai keadaan di kem pelarian.
"Selain barangan keperluan kami bercadang untuk membina saluran air bagi membolehkan mereka mendapat bekalan air bersih selain membina tandas yang lebih baik.
"Ini kerana keadaan tandas sekarang memang dalam keadaan daif selain tidak sesuai digunakan oleh golongan wanita dan harap-harap projek ini berjaya," katanya.
Tambah Afdlin, dia juga gembira apabila mendapat perkhabaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal berangkat ke Bangladesh pada 25 November ini bagi menghantar bantuan perubatan.
"Lebih menggembirakan misi itu nanti akan dilengkapi pelbagai peralatan canggih bagi membolehkan pemeriksaan dan rawatan dibuat kepada pesakit," ujarnya.
Kepada sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam di atas nama Tabung Pendidikan dan Kebajikan Yayasan Kubra iaitu 14023010012816.