Penyanyi Baby Shima tidak berdendam dengan Mas Idayu yang menengkingnya dalam program realiti D’Academy Asia 3 meskipun videonya dimarahi itu viral dan dikecam netizen.
Baby Shima atau Nor Ashima Ramli, 25, menyifatkan penyingkirannya dalam program itu bukan disebabkan komen pedas daripada penyanyi dangdut berkenaan.
“Saya tidak marah dengan Mas Idayu. Saya hormati segala kritikannya dan sedih kerana tidak berjaya memberikan persembahan seperti yang dia harapkan.
“Memang banyak kelemahan saya dalam persembahan itu. Memandangkan ia pertandingan besar, saya gemuruh hingga menjejaskan penyampaian.
“Saya lihat semua kritikan secara positif. Bagi saya ia teguran membina dan tak perlu menyalahkan sesiapa,” katanya.
Terdahulu, netizen mengutuk tindakan Mas Idayu menengking Baby Shima dan menganggapnya keterlaluan.
Pada saingan kumpulan lima dalam program itu, nasib tidak menyebelahi penyanyi Makan Hati itu apabila tersingkir berikutan memperolehi markah terendah.