Pelakon Zarina Zainuddin dilantik ikon program Variation Zone Festival 2017 yang bakal berlangsung pada 13 hingga 17 Disember depan di The Strand, Kota Damansara. Majlis pelancaran diadakan di Tanjung Lounge Riverside, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.
Menyifatkan dirinya bertuah kerana terpilih sebagai ikon di kalangan teman seangkatan sedia ada, pelakon drama Ku Kirim Cinta dan Raisha ini memberitahu, pelantikan ini adalah sebagai simbolik terhadap kepercayaan pihak penaja terhadapnya yang gigih meneruskan kerjaya sebagai pelakon dan ahli perniagaan.
Pada masa sama, bintang ini tetap setia menggalas tugas sebagai suri rumah dan ibu.
Lebih memberi makna, Zarina turut cekal menjaga anak kembarnya, Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai, 21, yang menghidap autisme. Selain mereka, Zarina turut dikurniakan dua lagi cahaya mata iaitu Muhammad Naim Azrai,14, dan Muhammad Adam Azrai, 11.
“Sejujurnya, saya rasa berbesar hati apabila dipilih menjadi ‘wajah’ program berbentuk komuniti ini, apatah lagi ia turut membuka ruang buat wanita yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan untuk explore bisnes mereka.
"Sebagai wanita, kita perlu kuat dan jangan harapkan suami semata-mata. Selagi ada kudrat dan kebolehan, tidak salah terlibat perniagaan. Mulakan dengan bajet kecil terlebih dahulu,” katanya optimis.
Tambahnya lagi, golongan suri rumah terutamanya perlu menggunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin.
“Meskipun sibuk dengan komitmen terhadap keluarga, anda masih punya peluang gunakan masa terluang dengan baik, biar hanya menjalankan perniagaan secara online.
"Saya yakin, menerusi Variation Zone Festival, akan membuka peluang buat wanita di luar sana untuk lebih muka mata di dalam bisnes, seterusnya menjadi usahawan, insya-ALLAH,” jelasnya yang mengakui, sepanjang program tersebut, dia akan menjual Pulut Kuning hasil air tangan sendiri selain menghiburkan pengunjung.
Impak positif
Ditanya apakah yang membuatkan pelakon berusia 46 ini terbuka hati untuk menjadi ikon bagi acara berkenaan, Zarina jujur mengakui pada peringkat awal, dia ragu-ragu untuk menerima pelawaan tersebut memandangkan ikon itu sendiri cukup besar statusnya.
“Mulanya teragak-agak juga untuk terima pelawaan tersebut. Saya tidak rasa mampu nak jadi ikon untuk satu program sedemikian.
Bagaimanapun, apabila mereka memberi penerangan terperinci, saya mulai faham dan terharu. Terima kasih atas kepercayaan ini. “Sebelum ini pun, saya pernah dijemput pihak sekolah untuk memberi ceramah khusus untuk memberi pendedahan dan kesedaran buat ibu bapa di dalam menjaga anak-anak penghidap autisme akhirnya dipandang dari sudut yang lebih bermakna pihak luar.
"Saya turut diberi peluang berkongsi rasa hati bersama mereka yang turut berhadapan dengan situasi sama.
“Ada yang jumpa saya dan cakap ketabahan dan kecekalan saya di dalam menjaga anak istimewa membuatkan mereka menjadi lebih kuat, bersemangat. Malah ada juga yang menangis dan ‘terinspirasi’ bila mendengar luahan hati ini dan sebagainya.
"Bagi saya, anak-anak istimewa ini adalah rezeki tersirat dari-Nya untuk kita. Jadi, bila rezeki sudah dilimpahkan, kita perlulah bersyukur dan terimanya dengan hati terbuka. Insya-ALLAH semuanya akan berjalan sempurna,” terang Zarina terhadap impak positif yang diterimanya.
Tiada istilah demand
Berkongsi mengenai kerjaya seninya pula, aktres kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama 13 episod, Cinta Maya untuk siaran RTM sementara drama Raisha kini disiarkan menerusi slot Lestari di TV3. Selain Zarina, turut sama berlakon di dalam drama berkenaan ialah Diana Danielle dan Hafidz Roshdi.
Melihat kepada perjalanan seninya yang tidak pernah sunyi daripada sebarang tawaran lakonan, Zarina yang sudah pun terlibat dalam dunia lakonan lebih 20 tahun lalu mengakui, pada fasanya sekarang tiada istilah demand yang bukan-bukan. Cumanya, apa yang diutamakan Zarina ialah kualiti sesebuah naskhah drama yang bakal dilakonkan.
“Saya percaya pada rezeki. Rasanya, karyawan di negara ini peka terhadap penghargaan yang sepatutnya buat pelakon-pelakon lama. Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan baik saja. Cuma bila sudah lama terlibat dalam dunia lakonan, sudah pasti saya akan selektif terhadap watak yang bakal dilakonkan itu.
"Perlu lebih peka agar peranan yang bakal dipegang itu sesuai dengan status saya sebagai isteri dan ibu,” akhiri Zarina jujur.