Eksklusif Itu perkataan sesuai untuk figura cantik, Maya Karin. Bukan sahaja merujuk kepada penampilan lakonannya, tetapi situasi di belakang kamera.
Maya bukan saja selektif dalam setiap tawaran, malah jarang hadir majlis yang dirasakan tidak perlu untuk dirinya.
Menurutnya lagi, dia tidak pernah merancang untuk meletakkan dirinya dalam situasi begitu, sebaliknya berlaku tanpa disedari apabila memilih untuk menjadi diri sendiri.
“Sebenarnya saya selesa dengan dunia sendiri yang lebih ringkas, santai dan tidak begitu terikat dengan sesuatu yang memerlukan saya jadi orang lain.
“Saya bosan dengan glamor atau kelihatan cantik sepanjang masa kerana itu bukan personaliti saya melainkan semata-mata kerana kerja.
Justeru, kata Maya jujur, itu antara sebab dia jarang mahu terima undangan yang dirasakan tidak perlu dan jarang dilihat seperti artis lain.
Maya juga mengakui tidak begitu aktif di media sosial meski pun sedar kepentingan medium tersebut dalam era masa kini.
“Saya tak ada jutaan pengikut di Instagram, tapi saya yakin sebahagian besar mereka yang tergolong dalam jumlah yang saya ada itu sentiasa setia menyokong kerjaya seni saya.
Tambahnya, dia lebih senang berada di media sosial jika ada sesuatu yang perlu dikongsi.
“Kadang-kadang saya sendiri pun tak tahu nak letak apa kat Instagram sebab tak ada yang menarik untuk dikongsi setiap hari,” katanya.
Watak srikandi Melayu
Menyentuh perkembangan kerjaya seninya juga, penglibatan Maya dalam pementasan Teater Tun Fatimah yang bakal berlangsung di Panggung Bangsawan Melaka pada 20 hingga 21 Oktober ini juga boleh dianggap eksklusif kerana itu naskhah bangsawan pertamanya.
Sebelum ini Maya pernah muncul menerusi pementasan Teater Natrah dan Supermokh yang berlangsung di Istana Budaya.
“Saya jarang buat teater, malah filem juga tidak selalu kecuali untuk naskhah yang ada kelainan dan mampu menarik minat saya untuk terimanya seperti Teater Tun Fatimah ini.
Menyifatkan teater ini memberi peluang membawa watak srikandi Melayu yang cukup ikonik dalam sejarah selain perlu dikongsi dengan masyarakat, Maya mahu melakukan persediaan sebaik mungkin terutama dari segi aksi lakonan dan dialog klasik yang harus diberi perhatian.
Maya yang ditemui pada majlis sidang media Teater Tun Fatimah ini juga mengakui penglibatannya dalam naskhah arahan Lokman Ghani ini kerana ingin lebih mendekatkan dirinya dengan dunia Melayu.
TeaterTun Fatimah juga kata Maya, beri peluang dia belajar jati diri Melayu yang menjadi sebahagian daripada hidupnya. Pelakon yang bakal digandingkan dengan Remy Ishak turut menganggap naskhah ini istimewa.
Cinta dunia seni
Selain itu, Maya turut berkongsi penglibatannya dalam filem Olympic Dream. Maya memberitahu dia tertarik dengan filem ini kerana menampilkan impian kanak-kanak yang mahu beraksi di sukan Olimpik menerusi acara badminton dan toleransi kepelbagaian budaya dalam masyarakat Malaysia.
“Ia memberi saya pengalaman berbeza apabila buat pertama kalinya berpeluang bekerja dengan produksi Cina tempatan yang mempunyai misi yang cukup tersendiri dalam karya mereka.
Bintang utama filem Munafik 2 turut berpegang prinsipnya dan sanggup menolak tawaran yang tidak menepati keinginannya.
Jika tiada tawaran bersesuaian, Maya tumpu perniagaan bidang hartanah yang diceburinya sejak beberapa tahun lalu.