Tombiruo: Penunggu Rimba filem wajib tonton!


Selepas berakhirnya Festival Filem Malaysia ke-29 lalu, dapat dilihat bahawa industri perfileman negara tetap meriah dengan banyaknya jumlah filem-filem yang diterbitkan.

Tahniah kepada filem Adiwiraku yang dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada festival kali ini. Walaupun filem tersebut tidak meraih kutipan tinggi di pawagam namun pengiktirafan ini pastinya lebih manis dan tinggi nilainya.

Gempal tidak hairan apabila filem ini diangkat terbaik kerana sememangnya ia adalah sebuah filem yang benar-benar menyentuh rasa. Oleh itu Gempal setuju dengan pemilihannya.

Bercerita mengenai filem menyentuh rasa, ketika ini pula filem yang sedang menjadi sebutan adalah filem Bisik Pada Langit (BPL) yang membuatkan ramai mengalirkan air mata kerana menontonnya.

Gempal sendiri sudah menonton filem ini. Ketika itu di dalam panggung hanya ada empat orang sahaja (sedihkan). Suasana sangat sunyi. Jadi satu kelebihan untuk lebih menghayati filem tersebut.

Ya, Gempal akui bahawa pada permulaan cerita sahaja Gempal sudah merasakan kesedihannya yang semakin lama semakin meresap dalam jiwa sehingga akhirnya membuatkan Gempal tanpa sedar turut menitiskan air mata tanpa segan silu.

Begitu kuat kisah BPL. Walhal kisahnya sederhana sahaja iaitu mengenai kehidupan sebuah keluarga yang terdiri daripada ayah, ibu, abang sulung, seorang anak perempuan dan seorang adik lelaki. Watak-watak lain hanyalah pembantu.

Namun oleh kerana garapan filem tersebut yang berkesan secara keseluruhannya membuatkan filem ini sempurna buatannya di tangan Kabir Bhatia.

Tidak dilupakan juga barisan lima pelakon utamanya terutama Jalil Hamid yang membawakan watak ayah. Sangat berkesan dan itulah watak ayah yang sebenar, yang tidak langsung dibuat-buat.



Pendek kata, secara keseluruhan BPL harus diberikan pujian melangit.

Satu lagi filem yang bagi Gempal harus mendapat pujian melangit adalah filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang bakal menjengah di pawagam pada 12 Oktober ini.

Gempal telah menonton filem ini dan Gempal berpendapat filem ini mempunyai sentuhan seperti sebuah filem antarabangsa yang seterusnya membuatkan Gempal cukup berasa amat bangga.

Inilah antara filem yang wajib ditonton pada tahun ini. Secara keseluruhan, Gempal yakin filem ini akan memberikan persepsi baru terhadap industri perfileman negara masa kini.

Bagi mereka yang merupakan peminat novelis terkenal Ramlee Awang Murshid, pastikan anda tidak ketinggalan untuk menonton, kerana beliau sendiri sebagai penulis cukup berpuas hati dengan filem ini.

Filem Tombiruo: Penunggu Rimba membariskan bintang popular tanah air seperti Zul Ariffin, Farid Kamil, Datuk M Nasir, Nabila Huda, Faizal Hussein dan Faye Kusyairi.

Tombiruo: Penunggu Rimba memaparkan kisah Ejim yang digelar Tombiruo kerana dianggap penunggu rimba.

Lelaki bertopeng itu disisihkan penduduk kerana memiliki wajah bukan manusia.

Ingin tahu apakah kisah selanjutnya, kenalah tonton dan rasai sendiri suasana di dalam hutan tersebut.

Post a Comment

Previous Post Next Post