Pelakon utama filem Blok 404, Zamarul Hisham mengharapkan karya terbaru lakonannya itu tidak dijadikan isu seperti pementasan teater Kontena 404.
Filem Blok 404, yang bakal ditayangkan Disember nanti diterbitkan Pengarah Urusan DBI Properties, Datuk Nuruliman A Rahman atau Boy Iman.
Boy Iman kini ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung penipuan jualan rumah membabitkan nilai RM6.2 juta.
Kelmarin, Netizen menyarankan pementasan teater Kontena 404 di Istana Budaya pada 20 Oktober ini dihentikan.
Menurut umum, membenarkan teater yang diarahkan Raja Azrey Raja Kamaruzzzaman yang turut bergandingan dengan Zamarul dalam filem Blok 404, ibarat pihak terbabit menyokong penipuan yang dilakukan DBI Properties.
Kata Zamarul, dia tidak bimbang dengan perkembangan berlaku membabitkan Boy Iman dan kaitannya dengan filem Blok 404.
“Penonton telefilem Blok 404 yang diterbitkan 16 tahun lalu menyambut baik apabila Boy Iman menghasilkan kembali filem itu dengan jalan cerita lebih menarik. Mereka tidak sabar menantikan filem ini ditayangkan di pawagam” katanya.
Zamarul juga sedar dalam situasi sekarang semua orang beremosi sehinggakan ada yang berkempen agar jangan menyokong produk yang punya kaitan dengan Boy Iman.
“Tapi saya dan semua pelakon lain tidak terbabit dan mengapa kami harus diheret sekali dalam isu ditimbulkan. Kami semua tidak bersalah dan karya dan kerja keras yang sudah dilakukan untuk filem itu tidak seharusnya dihukum dan dijadikan mangsa.
"Semua pelakon filem Blok 404 bekerja untuk mencari rezeki halal di samping menjayakan karya yang memang diminati umum.
“Kebetulan apabila filem ini menanti tayangannya, timbul pula isu membabitkan penerbitnya. Saya bagaimanapun cuba memandang situasi ini dari sudut positif. Apa juga keputusan diambil kelak saya tetap terima.
“Saya yakin rezeki sudah ditetapkan dan apabila ditayangkan kelak penonton terutama yang pernah menyaksikan Blok 404, akan datang ke pawagam untuk menyaksikannya dan isu penahanan Boy Iman tidak akan mengganggu gugat keinginan peminat setia,” katanya.
Zamarul juga berharap kes membabitkan Boy Iman dapat diselesaikan dengan segera dan cara paling baik.
“Semua orang ada membuat kesalahan, cuma pada saya niat dia itu baik kerana mahu membantu mereka yang berdepan masalah selepas keluar dari syarikat lamanya. Tetapi sebenarnya masalah yang hendak diselesaikan itu berada di luar kemampuan dia,” katanya.