Zahirah MacWilson enggan ulas gosip dengan Kamal Adli


Bagi Zahirah, dia lebih suka bercerita tentang kerjaya berbanding gosip mengenai dirinya dengan pelakon lelaki yang dikaitkan dengan dirinya.

Selain gosip percintaan Shahir AF8 dengan pramugari bernama Mona, termometer hiburan juga masih panas dengan gosip Zahirah MacWilson yang didakwa menjadi punca keretakan hubungan Kamal Adli dan Emma Maembong.

Gosip bermula apabila Zahirah didakwa menjadi orang ketiga kepada pasangan itu selepas berlakon bersama Kamal dalam drama Duda Pujaan Dara.

Selepas itu, hubungan Kamal dan Emma didakwa retak selepas pelakon lelaki itu memuat naik status berbaur kecewa di Instagramnya.

Emma pula memilih untuk mengunci mulut tatkala diminta media untuk menjawab status hubungannya bersama Kamal. Malah, pelakon comel itu meminta Zahirah dan Kamal sendiri yang memberi jawapan kepada berlakunya kemelut kontroversi tersebut.

Sensasi Bintang cuba menghubungi Zahirah untuk bertanya lebih lanjut mengenai gosip tersebut. Ironinya, pelakon yang dikatakan sedang intim dengan Zul Ariffin itu memilih untuk tidak mahu mengulas mengenainya.

“Maaf, saya tidak mahu jawab mengenai hal itu,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.

Biarpun diasak, Zahirah memilih untuk terus bungkam daripada memberikan jawapan. Malah, pelakon berusia 22 tahun itu turut tidak mahu mengulas mengenai status hubungannya sekarang bersama pelakon filem Tombiruo, Zul Ariffin.


Kamal Adli

“Pasal Zul pun saya tidak mahu komen kecuali hal kerja sahaja,” katanya yang seterusnya berkongsi pengalaman berlakon dalam drama La Luna.

Menurut Zahirah, pada 25 Oktober ini dia akan ke Bosnia selama sebulan untuk penggambaran drama terbitan TenView Sdn. Bhd.

“Alhamdulillah, ia satu pengalaman baharu buat saya apabila dapat berlakon buat pertama kalinya di Bosnia. Memang agak teruja kerana sambil bekerja saya turut dapat bercuti. Saya akan ke sana bermula 25 Oktober sehingga 25 November untuk drama La Luna.

“Pada masa sama, saya juga akan menjayakan dua telemovie terbitan produksi yang sama di sana. Dua telemovie itu turut dibintangi oleh pelakon yang sama berlakon dalam drama La Luna,” jelasnya sambil ketawa.

Berkongsi lanjut, Zahirah memberitahu, dia juga akan menjalani penggambaran drama Cinta Koko Coklat, bahkan akan bergandingan sekali lagi dengan Azrel Ismail selepas drama La Luna.

“Kiranya ada dalam empat atau lima drama lakonan saya yang bergandingan dengan Azrel. Saya okey sahaja berlakon dengan orang yang sama atau orang baharu sekali pun,” jelasnya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post