Syamel ke China, Marsha Milan tunai umrah


Pada malam final AF Megastar 2017, Marsha akan menyanyikan lagu baharu berjudul Hilang, manakala Syamel akan menyampaikan satu lagu lama dan satu lagu baharu.

Dunia muzik sarat nada, lirik yang menyentuh sukma atau apa sahaja yang mampu menjadikan ia bingkisan yang dekat di hati pendengar.

Di sebalik semua inti sari yang dialirkan menjadi nyanyian beremosi itu, berdirinya seorang penyanyi yang menjadi peneraju kepada tukang cerita kepada senaskhah lagu.

Mendekati dua penyanyi berbakat besar, Marsha dan Syamel, mereka berbicara tentang lagu serta misi yang disalurkan. Tekad mereka ternyata pada justifikasi yang sama agar lagu yang disampaikan tidak sekadar menjadi pengisi kamar telinga semata-mata. Sebaliknya, dapat menebarkan makna yang ada di dalam lagu agar menjadi kunci pedoman buat tatapan hati dan akal pendengar.

Maka, menjadi momen terindah buat dua figura ini apabila dipilih untuk menyanyikan lagu Anti Buli bagi kempen yang dijalankan di Astro.

Pada masa sama, Marsha dan Syamel berkongsi tentang persembahan mereka pada final AF Megastar 2017 malam ini di Astro Ria.

Sensasi Bintang: Boleh kalian kongsikan mengenai kolaborasi lagu kempen Anti Buli?

MARSHA: Saya dipelawa oleh komposer Edry Abdul Halim untuk menyanyikan lagu Anti Buli ciptaannya sempena kempen Anti Buli Astro. Bila dipelawa, ia ibarat mimpi menjadi nyata kerana sebelum ini saya pernah berhasrat untuk terlibat dalam kempen seperti ini. Bukan apa, sekarang terlalu banyak kes buli yang berlaku. Diharapkan dengan penglibatan saya menerusi lagu ini, ia sedikit sebanyak dapat memberikan kesedaran kepada generasi muda agar tidak terlibat dalam kegiatan yang tidak sihat seperti itu.

SYAMEL: Selama menjadi artis, inilah detik bermakna pada diri saya apabila dapat melibatkan diri dalam kempen sebegini. Setidak-tidaknya saya dapat mewakili artis dalam memberi kesedaran kepada golongan muda bahawa pentingnya bersikap anti buli.


Marsha Milan turut terlibat sebagai pelakon kameo dalam drama Coffee Prince.

Adakah ini kali pertama kalian berduet di dalam lagu? Adakah sukar untuk mencari keserasian suara di dalam lagu Anti Buli?

MARSHA: Ya, ini kolaborasi pertama kami. Sebelum ini saya tidak pernah membuat sebarang persembahan bersama Syamel. Malah, saya bertemu dengannya juga di atas pentas AF Megastar 2017. Walaupun dia masih muda tetapi saya nampak banyak potensi dalam diri dia. Alhamdulillah, kami mudah mencipta keserasian di dalam lagu duet. Sebabnya bukan mudah untuk seorang penyanyi solo menyanyikan lagu duet. Kena pandai harmonikan dan sesuaikan suara dan dia berjaya melakukannya.

SYAMEL: Keserasian dalam lagu duet terjadi dengan cukup baik. Hanya memerlukan masa setengah jam sahaja, suara kami dapat diadukan dengan harmoni. Pada saya, Marsha seorang penyanyi yang bagus.

Tahniah kerana kalian berjaya ke final AF Megastar 2017? Bagaimanakah perasaan kalian ketika ini?

MARSHA: Saya rasa cukup berdebar untuk buat persembahan pada malam ini. Menang atau kalah tidak menjadi persoalan kerana saya bersyukur dapat lalui pengalaman begitu berharga dalam AF Megastar 2017. Secara tidak langsung, generasi sekarang dapat mengenali saya sebagai seorang penyanyi. Masakan tidak, saya mula menyanyi sejak 2005 dan selepas itu lebih banyak berlakon dan menjadi hos. Barangkali generasi sekarang tidak mengenali saya sebagai penyanyi. Apa-apapun saya akan buat yang terbaik untuk final nanti.

SYAMEL: Memang niat di hati untuk sampai ke final. Alhamdulillah, impian dimakbulkan. Maka, rezeki yang ada ini saya tidak mahu persia-siakannya. Tambahan pula, saya kena bersaing dengan penyanyi yang lebih senior, jadi saya tidak boleh buat silap dan kena buat yang terbaik dari segi persembahan dan nyanyian.

Jika tidak keberatan boleh kongsikan mengenai persembahan pada malam ini?

MARSHA: Saya baru keluarkan lagu baharu yang berjudul Hilang pada minggu lepas. Saya akan menyanyikan lagu ini buat pertama kalinya pada malam final nanti. Diharapkan lagu ini berjaya mendapat tempat di hati pendengar.

SYAMEL: Final malam ini saya akan menyanyikan dua buah lagu. Satu lagu baharu yang dicipta sepenuhnya oleh saya dan satu lagu lagi adalah lagu Datuk Jamal Abdillah yang berjudul Seniman Menangis.


Buat masa ini, Syamel lebih menumpukan perhatian kepada kerjaya seni dan tidak ada masa untuk bercinta.

Selain kempen Anti Buli dan AF Megastar 2017, apakah lagi projek seni kalian selepas ini?

MARSHA: Saya turut terlibat sebagai pelakon kameo dalam drama bersiri Coffee Prince. Pada masa sama, saya juga terlibat dalam penggambaran program travelog tentang perkahwinan etnik. Saya menjadi hos bersama Didie Alias. Malah, filem Tujuh lakonan saya bakal keluar pada tahun depan. Dalam filem itu sekali lagi saya bawa watak hantu selepas filem Jwanita.

SYAMEL: Alhamdulillah, saya terpilih mewakili Malaysia dalam pertandingan Festival Abu TV Song 2017 yang akan diadakan pada 1 November ini di Chengdu, China. Saya akan bersaing dengan 13 lagi artis terbaik dari 13 buah negara. Saya akan nyanyikan lagu Lebih Sempurna dan akan belajar cakap Cina untuk menarik perhatian di negara itu. Selepas itu, saya akan fokus untuk Semi Final Muzik-Muzik. Alhamdulillah, lagu saya iaitu Lebih Sempurna berjaya masuk ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik 32. Jadi, saya kena buat yang terbaik agar lagu itu berjaya dipilih ke final Muzik Muzik 32.

Khalayak terutamanya peminat kalian barangkali mahu tahu sedikit mengenai kisah peribadi kalian. Boleh kongsikan jika tidak keberatan?

MARSHA: Insya-Allah, lagi dua minggu saya akan mengerjakan umrah bersama suami. Saya teringin mendapat cahaya mata, tambahan pula melihat ramai rakan sebaya yang sudah ada anak. Mudah-mudahan, selepas mengerjakan umrah dan berdoa di sana, saya dikurniakan rezeki anak.

SYAMEL: Kalau nak tahu, saya pernah bercinta pada zaman sekolah dan kolej. Namun, untuk sekarang saya masih solo tanpa kekasih. Terlalu tumpu pada kerja membuatkan saya tiada masa untuk mengenali sesiapa.

Post a Comment

Previous Post Next Post